BIARPUN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengumumkan tarikh keramat hari penamaan calon dan pengundian, namun penganalisis politik melihat peluang Barisan Nasional (BN) meraih majoriti dua pertiga atau lebih 40 kerusi Dewan Undangan... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengumumkan tarikh keramat hari penamaan calon dan pengundian, namun penganalisis politik melihat peluang Barisan Nasional (BN) meraih majoriti dua pertiga atau lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah amat cerah.

Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, beliau percaya kerajaan negeri sebelum ini, pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, tidak akan memohon Sultan Johor membubarkan DUN jika mereka tidak yakin mampu menang selesa dengan majoiti lebih dua pertiga kerusi DUN dan kembali mentadbir Johor semula biarpun bertanding secara solo.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, BN juga mahu menjadi keputusan positif di PRN Melaka dan Johor untuk mengekalkan 'momentum' atau rentak kemenangan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15) nanti.

"BN juga menjangkakan mereka akan meraih kemenangan besar jika peratusan jumlah keluar mengundi rendah di PRN Johor nanti sama seperti apa berlaku semasa PRN Melaka baru-baru ini.

"Mereka juga beranggapan sekarang adalah masa sesuai untuk melaksanakan PRN Johor kerana pihak pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berada pada tahap paling lemah dan tidak mampu bekerjasama seperti pada PRU14 lalu," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Biarpun isu kes Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang akan dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi kini hangat diperkatakan, namun Sivamurugan berkata, kes berkenaan tidak menjadi 'kudis' dan menjejas peluang BN menang PRN Johor nanti.

Keputusan mahkamah yang mengarahkan Zahid membela diri diramal tidak memberi kesan kepada BN pada PRN Johor.

"Saya rasa kes Ahmad Zahid tidak memberikan kesan signifikan atau impak besar kepada sokongan rakyat terhadap BN pada PRN Johor nanti. Tambahan pula, kes membabitkan Presiden UMNO berkenaan sudah 'sejuk', mengambil masa lama dan sudah diketahui umum.

"Malah, pada PRN Melaka sebelum ini pun kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba dimainkan oleh parti pembangkang, namun kurang mendapat tempat dan perhatian pengundi.

"Justeru, saya berasa isu setempat seperti pengangguran, peningkat kos sara hidup, pembangunan kemudahan asas, kes penularan Covid-19 dan banjir melanda negeri Johor baru-baru ini akan lebih mendominasi dan mempengarusi polar sokongan pengundi di Johor nanti," katanya.

PENGUNDI MUDA PILIH MUDA?

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu lagi faktor yang mungkin menjadi penentu kemenangan BN atau parti lain dalam PRN Johor adalah sokongan lebih 700,000 pengundi baharu berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Pertama, saya rasa angka lebih 700,000 pengundi muda ini boleh memberi kesan kepada kemenangan BN, PN, PH mahu pun mana-mana parti jika mereka semua keluar mengundi.

"Keduanya saya rasa besar kemungkinan ramai dalam kalangan pengundi terutama genarasi muda akan memboikot PRN sebagai tanda protes dan menunjukkan rasa muak terhadap apa berlaku di Johor sekarang ini.

"Jadi buat masa sekarang kita tidak ramai peratusan pengundi muda akan keluat menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian nanti," katanya.

Beliau juga menjangkakan sebahagian pengundi muda akan memilih untuk mengundi calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang kini menjadi sebahagian daripada PH dalam PRN Melaka nanti.

"Saya juga percaya penyertaan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan menggugat kedudukan parti lain terutama BN/UMNO dalam PRN Johor kerana masih baharu dan tidak mempunyai jentera akar umbi yang kukuh.

"Malah, biarpun Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan mereka mengumumkan akan bertanding di 42 kerusi DUN namun peluang mereka untuk menang adalah tipis dan besar kemungkinan hilang wang pertaruhan," katanya.

HIDUP MATI BERSATU

Sivamurugan juga melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghadapi saingan hebat daripada UMNO untuk mempertahankan 11 kerusi DUN dimenangi mereka, pada PRU14 lalu.

"Kita juga dapat lihat PRN Johor ini bakal menyaksikan pertembung sengit dan penuh epik termasuklah Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dijangka bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Gambir dimenanginya pada PRU14 lalu," katanya.

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Klik di sini untuk terus membaca