KERAJAAN komunis China mengamalkan pendekatan 'tiada belas kasihan' dalam kempen antirasuah yang kini sedang berjalan di negara berkenaan. Pendekatan itu dilaksanakan sejak Xi Jinping menjadi Presiden negara itu berkuasa pada tahun 2013 dan... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN komunis China mengamalkan pendekatan 'tiada belas kasihan' dalam kempen antirasuah yang kini sedang berjalan di negara berkenaan.

Pendekatan itu dilaksanakan sejak Xi Jinping menjadi Presiden negara itu berkuasa pada tahun 2013 dan menyebabkan sejumlah ahli politik terkenal dan taikun yang berpengaruh telah menerima hukuman kerana terlibat dalam perbuatan tersebut.

Lebih sejuta pegawai negara berkenaan juga telah dihukum di bawah kempen antirasuah setakat ini sepanjang pemerintahan Jinping menjadi Presiden, 68.

Presiden China, Xi Jinping memerangi perasuah tanpa belas kasihan di negaranya. - Foto AFP

Sidang pleno keenam Jawatankuasa Pusat di Beijing pada hujung tahun lalu dilaporkan membuka jalan bagi Jinping yang juga Setiausaha Agung Parti Komunis China untuk memerintah buat penggal ketiga walaupun sesetengah pihak di Barat menganggap ia sebagai cara untuknya berkuasa buat seumur hidupnya.

Agensi berita rasmi Xinhua pada Khamis lalu melaporkan tentang kenyataan daripada sebuah badan pemerhati disiplin Parti Komunis bahawa pihak berkuasa negara tersebut akan menghukum sebarang pesalah rasuah yang berkaitan dengan 'pengembangan modal yang tidak teratur' dalam pelbagai industri dan 'memutuskan hubungan antara kuasa dan modal'.

Sehubungan itu, Beijing mesti tidak menunjukkan belas kasihan kepada rakyatnya yang terlibat dalam politik dan mempunyai kepentingan dalam parti sambil memberi amaran mengenai siasatan lanjut terhadap rasuah dalam sektor kewangan serta perusahaan milik kerajaan.

Bagaimanapun, terdapat kritikan yang berpendapat kempen antirasuah China itu sebenarnya berfungsi sebagai cara untuk menghapuskan musuh-musuh politik Jinping.

Amaran baharu itu dikeluarkan selepas satu program televisyen kerajaan disiarkan pada Rabu lalu yang membayangkan penglibatan gergasi teknologi, Ant Group yang mempunyai kaitan dengan bilionair Jack Ma dalam skandal rasuah, menurut AFP.

Syarikat itu dilaporkan membuat 'bayaran tinggi yang tidak munasabah' kepada saudara kandung lelaki bekas ketua parti Komunis China di Hangzhou iaitu sebuah bandar di timur China yang menempatkan ibu pejabat Ant Group sebagai balasan untuk mendapatkan insentif dasar kerajaan dan sokongan bagi membeli hartanah.

Menurut rekod awam dan dua sumber, sebuah unit Ant Group membeli dua bidang tanah pada harga diskaun di Hangzhou pada tahun 2019 selepas mengambil bahagian dalam dua bisnes pembayaran mudah alih yang dimiliki oleh adik setiausaha parti itu yang dinamakan dalam program dokumentari televisyen berkenaan.

DIPECAT, DIPENJARA ATAU DIHUKUM MATI

Pihak berkuasa negara itu juga telah mengetatkan peraturan untuk pelbagai industri daripada bidang pendidikan kepada penghantaran makanan menjelang Kongres Parti Komunis yang akan datang.

Para pesalah rasuah di negara berkenaan boleh dilucutkan harta mereka dan keahlian dalam Parti Komunis dan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup atau mati.

Dalam program televisyen kerajaan itu juga, seorang bekas Timbalan Menteri Keselamatan Awam, Sun Lijun yang pernah menyelia keselamatan di Hong Kong pada tahun 2019 memaparkan pengakuannya menerima beberapa siri rasuah bernilai AS$14 juta (RM58.65 juta).

Dia turut dipecat dan dibuang daripada Parti Komunis kerana didakwa mengambil rasuah, memanipulasi pasaran saham, memiliki senjata api secara haram serta membayar wang untuk tujuan seks.

Antara taikun yang dipaparkan dalam program televisyen itu ialah Lai Xiaomin iaitu Pengerusi Huarong yang merupakan salah satu firma pengurusan aset di China dan dia telah dihukum bunuh pada Januari 2021 kerana menerima rasuah sangat besar.

Sebuah mahkamah di bandar Tianjin memutuskan bahawa bekas ahli Parti Komunis itu telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak AS$260 juta (RM1.08 bilion).

ANAK JENERAL

Seorang anak kepada seorang jeneral berpangkat tinggi dan seorang pemimpin politik yang dianggap sebagai pemimpin masa depan China, Bo Xilai dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana kesalahan rasuah pada tahun 2013 di tengah-tengah skandal pembunuhan yang melibatkan isterinya dan kematian seorang ahli perniagaan Britain.

Xilai, 72, yang karimastik dan bekas Ketua Parti Komunis Chongqing serta menteri China telah mendedahkan perpecahan mendalam dalam Parti Komunis manakala jawatannya telah dilucutkan serta disabitkan hukuman mati sebelum ditukar menjadi penjara seumur hidup.

Bekas ketua perisik, Zhou Yongkang, 79, turut disabitkan dengan beberapa siri pertuduhan rasuah termasuk rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan rahsia negara dan dipenjarakan seumur hidup pada tahun 2015.

Mantan Ketua Interpol dari China, Meng Hongwei juga dijatuhi hukuman penjara lebih 13 tahun kerana rasuah pada Januari tahun 2020 dalam kes yang menggegarkan organisasi polis antarabangsa.

Dia mengaku bersalah menerima rasuah sebanyak AS$2.1 juta (RM8.80 juta) dan semasa memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Biro Keselamatan Awam China, agensi itu menangkap dan menyoal siasat beberapa penentang China yang terkenal termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Liu Xiaobo yang kemudiannya meninggal dunia akibat kanser semasa dalam tahanan polis.

Pada Isnin lalu, tiga pegawai kanan China termasuk bekas pengawal selia perbankan tertinggi telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah atas dakwaan rasuah dan diletakkan di bawah siasatan jenayah, kata badan pemerhati rasuah negara itu.

Cai Esheng iaitu bekas Naib Pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Perbankan China, bekas Pegawai Mahkamah Agung, Meng Xiang dan bekas Timbalan Pengarah Pentadbiran Makanan China, Xu Ming telah dipecat kerana melanggar disiplin dan undang-undang yang serius.

Suruhanjaya Pusat bagi Pemeriksaan Disiplin berkata, ketiga-tiga lelaki itu disyaki menerima rasuah dan 'menerima aset bernilai besar secara haram' serta menggunakan kedudukan mereka untuk membantu orang lain memajukan kepentingan peribadi mereka.

Tindakan menyiarkan dokumentari televisyen yang disaksikan ratusan juta penopnton itu dengan ada yang marah dengan kemewahan yang dinikmati para perasuah tersebut, menurut AFP. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca