SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini perlu menampilkan segala bentuk pembelaan yang boleh meyakinkan mahkamah bahawa beliau tidak melakukan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini perlu menampilkan segala bentuk pembelaan yang boleh meyakinkan mahkamah bahawa beliau tidak melakukan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ia tertakluk pada fakta-fakta dan rentetan peristiwa yang perlu dihuraikan oleh pihak pembelaan.

"Sekarang tugas Ahmad Zahid adalah menampilkan apa-apa bentuk pembelaan yang boleh meyakinkan mahkamah beliau tidak melakukan pecah amanah.

"Saya difahamkan Ahmad Zahid memilih untuk memberi keterangan dari kotak saksi.

"Maksudnya, beliau akan memberi keterangan dan memanggil saksi yang diperlukan untuk mengemukakan pembelaan berkaitan ketiga-tiga set pertuduhan.

"Ketiga-tiga set ini mempunyai elemen yang berbeza, jadi tanggungjawab pihak pembelaan sekarang adalah untuk menampilkan jika ada apa-apa keraguan pada set berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Isnin, bekas Timbalan Perdana Menteri itu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan perkara tersebut selepas memihak kepada pasukan pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie berhubung kes tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff menjelaskan, pihak pembelaan akan memanggil saksi di mana Ahmad Zahid dan saksi berkenaan akan memberi keterangan di dalam mahkamah.

"Jadi beliau perlu beri keterangan membabitkan soalan utama peguamnya, kemudian akan disoal balas oleh pendakwa raya dan disoal semula oleh peguam bela hingga habis setiap saksi bergantung kepada pasukan peguam beliau hendak memanggil berapa ramai saksi.

"Selepas selesai proses tersebut, barulah pihak pembelaan berhujah semula sama ada Ahmad Zahid melalui pembelaannya berjaya atau tidak menampilkan apa-apa kesangsian atau keraguan terhadap keseluruhan kes pendakwaan.

"Kalau dia tidak dapat menampilkan keraguan, maka mahkamah akan mendapati Ahmad Zahid bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan akan mensabitkan kesalahan.

"Kemudian, mahkamah akan menentukan hukuman setimpal yang boleh dikenakan selepas mendengar semula hujah kedua-dua pihak iaitu pihak peguam bela dan pendakwa raya pada hujung kes dan selepas itu mahkamah akan membuat keputusan,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca