HARIMAU menduduki takhta Raja Segala Haiwan di kebanyakan budaya Asia timur, melambangkan kerajaan, keberanian dan kemarahan. Keunggulan harimau sebagai pemangsa hebat terletak pada rahangnya yang amat kuat serta giginya yang amat tajam.... Klik di sini untuk terus membaca

HARIMAU menduduki takhta Raja Segala Haiwan di kebanyakan budaya Asia timur, melambangkan kerajaan, keberanian dan kemarahan. Keunggulan harimau sebagai pemangsa hebat terletak pada rahangnya yang amat kuat serta giginya yang amat tajam.

Justeru, harimau diangkat sebagai haiwan kebangsaan bagi beberapa negara seperti Bangladesh, Nepal, India (Harimau Benggala), Malaysia (Harimau Malaya), Korea Utara dan Korea Selatan (Harimau Siberia).

Baru-baru ini, lebih 30 keluarga orang asli di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang hidup dalam ketakutan selepas salah seorang penduduk di situ maut dibaham harimau belang.

Konflik harimau dan manusia berlaku disebabkan perbuatan manusia sendiri yang terlalu ghairah meneroka hutan yang merupakan habitat semula jadi haiwan itu.

Kemusnahan habitat yang berpunca dari kegiatan manusia termasuk penggunaan tanah untuk tujuan pembalakan, perlombongan, pertanian, rebakan bandar, pembangunan prasarana, dan bermacam-macam lagi perubahan buatan manusia kepada kecirian tanah.

Degradasi, fragmentasi dan pencemaran habitat pula merupakan aspek-aspek pencemaran akibat manusia yang tidak semestinya melibatkan pemusnahan habitat terang-terangan, namun tetap mengakibatkan kemusnahan habitat.

WILAYAH HARIMAU

Hakikatnya, harimau memerlukan keluasan ruang legar tertentu sebagai kawasan wilayah mereka. Seekor harimau betina boleh menguasai wilayah seluas 20 kilometer persegi, manakala harimau jantan pula lebih luas wilayahnya, iaitu sekitar 60 hingga 100km persegi.

Saiz hutan semakin mengecil, kewujudan kepulauan hutan dan habitat berdekatan dengan penempatan manusia memberi kesan kepada kawasan rayau bagi harimau.

Tiga faktor utama mengapa harimau menyerang manusia adalah kerana mahu melindungi anaknya, usia tua selain cedera akibat dijerat.

Dalam keadaan biasa, harimau akan beredar jika menyedari kehadiran manusia. Namun dendam akibat luka dijerat menyebabkan tindak tanduknya sukar dijangka. Hal ini menunjukkan manusia adalah punca utama terhadap perlakuan ganas harimau yang 'mengamuk' akibat cedera dijerat.

Jerat dawai atau jerat kabel besi yang popular dalam kalangan pemburu haram misalnya bukan hanya digunakan untuk menangkap kijang atau rusa malah turut digunakan untuk menjerat harimau.

Sepanjang tahun 2013 sehingga 2017, lebih 2,000 jerat dimusnahkan dalam 630 operasi jerat dilakukan pihak Perhilitan.

Di alam semula jadi, harimau biasanya memakan haiwan bersaiz besar atau sederhana seperti seladang, rusa bintik dan babi hutan. Namun, harimau yang berusia lanjut atau tercedera, hingga tidak mampu mengejar mangsa semula jadinya, boleh bertukar menjadi pemakan manusia.

Walaupun jarang memakan manusia, harimau telah membunuh lebih ramai orang, khususnya di kawasan yang mana pertumbuhan kependudukan manusia, kegiatan pembalakan, dan pertanian telah menjejaskan habitat mereka.

Kebanyakan harimau pemakan manusia lanjut usia dan kehilangan gigi, dan beralih ke daging manusia kerana tidak mampu menawan jenis mangsa yang lebih digemari.

Berikutan kemusnahan habitat secara mendadak dan perubahan iklim, tidak mustahil pada masa depan akan berlaku lebih banyak lagi serangan harimau terhadap manusia, semuanya akibat tindak tanduk manusia yang tidak menjaga alam.

Hakikatnya, harimau jika terancam tidak mustahil akan merayau ke kawasan penempatan penduduk.

Dalam hal ini, kerajaan negeri perlu semak semula keluasan hutan di negeri masing-masing adakah mencukupi untuk kelestarian hidupan liar.

Ternyata harimau yang terancam, bukan mengancam! Gangguan terhadap habitat asal akan menimbulkan lebih banyak konflik harimau-manusia pada masa hadapan.

Bagi menghadapi situasi ini, semua pihak perlu memahami makna sebenar konsep pembangunan lestari bagi mewujudkan situasi 'menang-menang' antara manusia dan hidupan liar.

Ternyata mengambil kira faktor keseimbangan alam sekitar setempat, kesejahteraan penduduk dan kelestarian adalah kunci kepada 'permasalahan' ini.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca