APABILA bencana banjir melanda negara penghujung tahun lalu, umum dikejutkan dengan ‘kecelaruan’ beberapa kementerian dan agensi yang secara tradisionalnya dikaitkan dengan tindak balas terhadap sesuatu bencana alam. Antara pihak yang... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA bencana banjir melanda negara penghujung tahun lalu, umum dikejutkan dengan ‘kecelaruan’ beberapa kementerian dan agensi yang secara tradisionalnya dikaitkan dengan tindak balas terhadap sesuatu bencana alam.

Antara pihak yang paling awal bertindak balas menghulurkan bantuan operasi menyelamat adalah pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sememangnya memberikan bantuan dalam kejadian sedemikian telah dengan jelas termaktub pada muka surat 62 dalam Kertas Putih Pertahanan negara.

Kenyataan berkaitan isu ini adalah terang lagi bersuluh. "ATM juga bertanggungjawab membantu pihak berkuasa awam menguatkuasakan undang-udang, memberi bantuan semasa bencana alam dan membantu memelihara ketenteraman awam apabila diperlukan, yang secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara Bangsa”.

Aset-aset yang dimiliki ATM sebenarnya mempunyai aplikasi yang tidak hanya terhad kepada operasi-operasi bersifat ketenteraan, tetapi juga kemanusiaan. Ini termasuklah dalam mengumpul maklumat, membuat peninjauan, merancang dan menguruskan aset apabila berlaku sesuatu bencana alam.

Malangnya kepimpinan dan agensi awam kadang kala tidak mampu berfikir dari luar kotak pemikiran tradisional mereka dan melihat aset pengangkutan ATM seperti bot dan lori sebagai aset yang hanya boleh diguna ketika banjir.

Salah satu aset yang telah sedemikian lama diguna oleh pihak ATM ialah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV -Unmanned Aerial Vehicles) atau untuk sistem yang lebih komprehensif, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAS – Unmanned Aerial Systems).

Persoalan yang boleh diajukan ialah kenapa aset sedemikian tidak digunakan dalam menangani masalah bencana alam seperti banjir oleh agensi-agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana negara (Nadma) bagi tujuan mengkoordinasikan tindak balas terhadap bencana banjir.

Lebih pelik ialah kenapakah aset UAV dan UAS boleh digunakan oleh pihak ATM dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu pihak Kementerian Kesihatan dalam memantau dan mengawal pergerakan awam ketika Pandemik Covid-19 pada 2020 tidak diguna untuk memantau keadaan sebelum dan ketika banjir pada 2021? Penggunaan UAV ketika bencana alam telah pun digunakan dengan efektif sejak sekian lama.

Ketika gempa bumi yang terus berlaku di Sichuan, China pada 2008, UAV telah digunakan dengan meluas untuk mengenal pasti sama ada sesuatu laluan itu selamat atau tidak untuk digunakan.

UAV diguna untuk mengenal pasti kelompok atau kumpulan penduduk yang menyelamatkan diri di lokasi tertentu agar operasi menyelamat dapat disusun dengan efektif dan dan kadar segera.

JALAN UDARA

Pesawat UAV dengan perkembangan teknologi hari ini tidak lagi hanya mampu memberi maklumat elektronik, foto atau video. Ia juga berkemampuan untuk mengangkut beban melalui jalan udara dan menyampaikan pada titik koordinat tepat di permukaan.

Pada 2020, ketika wabak Covid-19 di Scotland, UAV telah digunakan untuk menghantar bantuan perubatan kritikal dalam bentuk pakaian perlindungan penuh serta alat ujian Covid-19 ke kawasan terpencil di tanah tinggi Scotland.

Penggunaan UAV dalam penghantaran bekalan perubatan ini hanya mengambil masa 15 minit dari titik pelancaran ke lokasi sasaran. Sekiranya kenderaan darat digunakan dan bertolak dari titik sama, ia akan ambil masa sehingga enam jam menggunakan jalan darat dan feri.

Di negara ini penggunaan UAV digunakan dengan meluas ketika kerajaan berusaha mengawal Covid-19. Bukan sedikit jumlah yang digunakan untuk Covid-19, malah 92 pelbagai jenis UAV digunakan di seluruh negara ketika itu! Sistem-sistem ini digunakan dengan kerjasama tiga firma tempatan melibatkan sehingga 90 individu termasuk dari ATM dan PDRM.

Persoalan yang perlu diketengahkan ialah kenapa pihak berwajib tidak dapat melihat atau menilai kepentingan penggunaan UAV dalam situasi bencana seperti banjir? Dengan hanya menerbangkan sebuah UAV dilengkapi kamera infra-merah atau pengimbas haba, pengendali akan dapat melihat berapakah jumlah bumbung rumah yang dipenuhi orang awam pada malam kejadian banjir buruk melanda.

Maklumat ini sahaja sudah cukup untuk pihak berkuasa mengenai jumlah mangsa terperangkap dan lokasi mereka dengan tepat. Berbekalkan maklumat ini aset seperti bot dan kenderaan utama boleh digerak untuk operasi menyelamat.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca