"APA pekerjaannya? Hakim? Majistret? Doktor? Loyar? Kalau itu semua emak tak nak.”
"Habis tu, mak nak yang macam mana jadi menantu mak?”
"Influencer atau YouTuber...Paling kurang pun gamer yang pernah bersaing di League of Legends World Championship atau Electronic Sports World Cup.”
Mungkinkah itu dialog-dialog yang akan dapat kita dengar beberapa tahun akan datang. Syarat lain pula bukan lagi tentang berapa gajinya atau kemampuan melunaskan hantaran, tetapi berapa juta pengikutnya di media sosial.
Dalam dunia yang pantas berganjak ini segala-galanya serba mungkin. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kita melihat begitu banyak sesuatu yang dahulunya hanya bermain di imaginasi dan dalam fantasi – malah sebahagiannya tidak pernah terbayang langsung di fikiran - kini benar-benar muncul di depan mata dan menjadi sebahagian daripada kehidupan.
Kira-kira 40 tahun yang silam, ketika zaman kanak-kanak saya, jika ditanya tentang cita-cita, jawapan diberikan oleh budak-budak kebanyakannya sama. Yang lelaki lazimnya akan menjawab guru, polis, askar dan sekali-sekala kedengaran menyebut ahli bomba. Yang perempuan pula selalunya akan menyebut guru atau jururawat. Yang malu-malu sedikit mungkin menjawab ustazah.
Bukan tidak ada yang bercita-cita menjadi lebih tinggi, misalnya menjadi doktor, peguam atau jurutera. Ada, tetapi bilangannya kecil. Mereka jarang menyebutnya di depan kawan-kawan sebab takut ditertawakan sebab pada masa itu wujud persepsi bahawa yang layak bercita-cita besar hanyalah budakbudak bandar. Budak-budak kampung kena pilih cita-cita yang sesuai dengan persekitarannya.
Seorang rakan saya semasa darjah dua misalnya memberitahu guru kelas kami yang cita-citanya hendak menjadi angkasawan. Satu kelas ketawakan dia, bukan sehari dua, tetapi hampir sebulan. Mungkin disebabkan itu pada tahun berikutnya, apabila ditanya oleh guru lain tentang cita-citanya, dia terus tukar bidang - hendak jadi drebar ambulans. Tiada siapa ketawakan dia.
Pada tahun 1990-an, ketika saya muda belia, guru, polis dan askar tidak lagi menjadi trend cita-cita kanak-kanak pada masa itu. Mereka mula menyebut pakar bedah, pakar IT, ahli perniagaan, hos televisyen, DJ radio dan pelbagai jawatan atau kedudukan lain yang gayat hendak disebut oleh kanak-kanak sebaya mereka sedekad atau dua dekad sebelumnya.
ANAK ZAMAN SEKARANG
Perubahan demi perubahan berlaku. Malah skala anjakan itu menjadi lebih pesat dan pantas terutama sejak Jerman memperkenalkan konsep Industri 4.0 pada tahun 2011 yang membawa kepada terciptanya istilah Revolusi Industri 4.0 oleh pengasas dan pengerusi eksekutif Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab lima tahun berikutnya. Sejak itu dunia seolah-olah berlari ke hadapan tanpa berpaling ke belakang lagi.
Anjakan-anjakan yang berlaku dalam hampir semua bidang kehidupan turut meninggalkan kesan besar kepada kanak-kanak dan remaja. Mereka secara umumnya dapat menikmati pengalaman baharu yang jauh berbeza daripada generasi sebelumnya ketika berada sebaya mereka.
Tetapi tidak begitu dengan anak-anak zaman sekarang. Apa yang dilalui oleh anak-anak pada dekad 2010-an, tidak sama dengan mereka yang membesar 10 atau 20 tahun sebelumnya. Perbezaannya umpama stiker tol RFID dengan kad Touch 'n Go.
Ketika melihat komputer desktop buat pertama kalinya pada akhir tahun 1980-an, saya teragak-agak hendak menyentuhnya sebab takut ia rosak. Ketika itu saya telah menamatkan pelajaran peringkat menengah. Budak-budak sekarang? Umur baru tiga tahun sudah pandai muat turun dan pasang perisian sendiri. Yang jadi hacker pun mungkin sudah ada.
Peluang yang berbeza sudah tentu memberikan pengalaman berbeza. Ia kemudian mempengaruhi fikiran dan pemikiran, sekali gus membentuk gaya hidup. Hasilnya adalah apa yang kita sedang lihat sekarang. Gen Y dan Gen Z yang sedang mencorakkan dunia berasaskan perspektif mereka, yang dalam banyak keadaan mewujudkan jurang cukup luas antara kita dengan mereka.
Bukan sekali dua saya mendengar ibu bapa mengeluh kerana apabila anak mereka dihantar belajar tinggi-tinggi, setelah tamat pengajian memilih untuk bekerja sendiri.
Tidak kurang yang menerima tawaran kerja makan gaji untuk setahun dua kemudian berhenti bukannya disebabkan mendapat tawaran kerja baharu yang lebih baik, tetapi untuk menjadi pemandu grab atau penghantar makanan. Itu belum lagi dicampur dengan yang mahu menjadi pemain e-sukan profesional dan pemain media sosial sepenuh masa, sama ada sebagai YouTuber, TikToker, Facebooker, Blogger dan sebagainya.
Tidak sukar difahami keluh-kesah itu. Puncanya adalah jurang yang saya katakan tadi. Ibu bapa itu datang dari zaman di mana hidup ini dianggap lengkap jika seseorang itu mempunyai pekerjaan tetap. Tidak mengapa jika gajinya kecil. Yang penting, tetap. Lebih baik lagi jika selepas tetap itu ada pula perkataan ‘dah berpencen’. Bukan setakat emak bapa sendiri yang suka, emak bapa orang lain pun mungkin berebut hendak tumpang suka dengan menjadikan kita calon menantu.
Bagi generasi dahulu, ‘tetap’ adalah simbol keteguhan dan kestabilan. Tetapi anak-anak muda zaman kini melihatnya dengan cara berbeza. Dalam kefaha-man mereka, ‘tetap adalah ‘statik’. Dan bagi mereka sesuatu yang statik sering dikaitkan dengan unsur-unsur negatif. Pada pandangan mereka, ia sesuatu yang kaku, beku dan membosankan. Mereka mendambakan perubahan. Sepantas yang mungkin.
Itulah yang berlaku. Hasil peruba-han-perubahan itu muncullah pekerjaan baharu, pada masa sama mengurangkan peranan, atau dalam sesetengah kes melenyapkan terus pekerjaan-pekerjaan lama. Usahkan di bilik pejabat berhawa dingin, di tengah sawah pun banyak kerja yang dahulunya dilakukan oleh manusia telah diambil alih oleh mesin. Contoh mudahnya, penggunaan dron untuk menabur baja dan racun.
Kita tidak tahu berapa banyak dan apa jenis pekerjaan baharu lagi yang akan muncul selepas ini. Setakat sekarang telah ada banyak restoran menggunakan khidmat robot untuk menghantar makanan ke meja pelanggan. Esok lusa barangkali akan muncul robot yang tugasnya membancuh air dan menggoreng mi. Apa lagi selepas itu?
Sementara kita orang lama ini melalui perubahan itu dengan keliru, anak-anak pula menyambutnya dengan ghairah. Kita mempunyai alasan untuk berasa gusar, mereka pula mempunyai sebab untuk berasa tidak sabar. Kita takut perubahan membawa kerosakan, mereka takut rosak jika tiada perubahan. Peribahasa ‘orang tua lebih dulu makan garam’ tidak boleh lagi dijadikan perisai untuk melindungi ego. Sekarang ini ada pelbagai perasa yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada garam. Malah, dalam banyak keadaan orang sering berusaha menghindari garam kerana ia boleh mengakibatkan darah menjadi tinggi.
Jadi sebagai garam, pandai-pandailah kita membawa diri. Kitalah yang menentukan sama ada di mata generasi muda kita ini menjadi garam buluh yang nilainya ribuan ringgit atau sekadar garam biasa yang disimpan hanya untuk membunuh siput babi. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca