PENTAGON memaklumkan kira-kira 8,500 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) diletakkan dalam keadaan siap siaga jika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengaktifkan Pasukan Tindak Balas sebagai respons terhadap situasi keselamatan di Eropah yang semakin terancam.
Rancangan penempatan pasukan tentera Amerika itu diumumkan selepas Rusia dikatakan telah menempatkan pasukan tentera mereka di setiap lokasi bersempadan Ukraine termasuk Belarus selain menghantar bantuan ketenteraan tambahan kepada kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Kiev.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell bagaimanapun cuba meredakan kebimbangan Barat menerusi perbincangan bersama Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
"Kami tahu tahap sebenar ancaman konflik itu dan cara tepat untuk bertindak balas. Tidak syak lagi kita perlu mengelakkan respons yang mencemaskan. Kita perlu bertenang dalam membuat sebarang keputusan untuk mengelakkan situasi menjadi lebih buruk,” ujarnya.
Pada Isnin, sekutu NATO mengumumkan ia turut meletakkan pasukan masing-masing dalam keadaan siap siaga selain menghantar kapal dan jet pejuang tambahan bagi memperkukuhkan pertahanan di Eropah Timur berikutan ketegangan semakin memuncak susulan tindakan provokasi Moscow menempatkan kira-kira 100,000 tentera mereka di sempadan Kiev.
Langkah persediaan itu dibuat setelah Britain mula memanggil pulang sebahagian kakitangan kedutaan mereka di Ukraine malah Washington juga membuat saranan sama terhadap diplomat dan rakyat mereka di negara tersebut.
Sehingga kini, Kremlin berulang kali menafikan ia merancang untuk melakukan pencerobohan berskala besar ke atas Kiev walaupun beberapa maklumat risikan membongkar pelan tersebut yang dikhuatiri bakal mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Menerusi sidang secara maya antara Presiden AS, Joe Biden dan pemimpin NATO serta Eropah, Rumah Putih memberitahu sekutu mereka menzahirkan kesepakatan bersama untuk mencapai resolusi diplomatik bagi menyelesaikan krisis bersama Moscow.
Namun, mereka turut memberi amaran keras jika Rusia meneruskan pencerobohan terhadap Ukraine.
"Kesemua pemimpin juga membincangkan usaha bersama untuk menghalang kempen tersebut termasuk bersedia mengenakan ‘hukuman berat’ ke atas Moscow jika ia tetap melaksanakan rancangan tersebut selain memperkukuhkan tahap keselamatan di sayap timur NATO,” menurut kenyataan Rumah Putih.
Biden turut menyatakan perbincangan bersama sekutu Eropah menunjukkan perkembangan yang sangat positif kerana mereka mencapai persetujuan bersama dalam menghadapi ancaman ketenteraan Rusia di sempadan Ukraine.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Negara AS, Wendy Sherman yang menghubungi Setiausaha Agung Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), Helga Schmid dilaporkan berbincang tentang usaha ‘memujuk’ Moscow bagi memilih jalan diplomasi untuk meredakan konflik itu secara aman.
Pada masa ini, beberapa pakar memberi amaran krisis Rusia-Ukraine dikhuatiri mencetuskan krisis kemanusiaan terbesar yang menyaksikan kebanjiran pemohon suaka di sempadan negara blok EU.
"Gelombang migrasi secara besar-besaran akan berlaku di seluruh sempadan negara anggota EU jika Rusia meneruskan pencerobohan di Ukraine tidak kira di Kiev atau Kharkiv atau bahagian lain di negara itu.
"Golongan yang terkesan konflik itu akan mencetuskan gelombang tsunami pelarian yang paling dibimbangi Barat,” tegas penganalisis hal ehwal global, Michael Bociurkiw yang bimbang krisis itu akan merebak ke rantau lain. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca