SHAH ALAM - Tiada jaminan sekiranya berlaku senario kelesuan politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan memberi kelebihan besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memenanginya.
Exco Pemuda UMNO Pusat, Bastien Onn berkata, kehadiran 700,000 pengundi baharu sememangnya mengubah landskap politik negeri Johor apabila sehingga kini tiada satu kajian dan indikator boleh digunakan untuk menentukan sokongan mereka bakal memihak kepada parti mana.
Jelas beliau, situasi ini bukan sahaja menjadi persoalan kepada UMNO dan BN bahkan juga parti pembangkang kerana kecenderungan golongan ini untuk mengambil bahagian dalam politik negara masih sukar dijangka.
"Terus-terang saya katakan, bukan sahaja Pemuda UMNO dan BN, bahkan pemimpin pembangkang pun tidak berpeluang untuk mendekati golongan pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan mereka masih berada di alam pembelajaran serta faktor Covid-19 menyukarkan kami melibatkan mereka dalam program-program politik.
"Saya turut menafikan senario kelesuan politik sepanjang PRN Johor akan menghakis minat golongan pengundi baharu ini keluar mengundi, sekali gus memberi kelebihan untuk UMNO dan BN menang.
"Perlu diingat, golongan pengundi baharu terutama berusia 18 tahun ke atas sangat teruja untuk mengundi buat kali pertama dan sekiranya BN gagal memperkenalkan naratif perjuangan PRN yang mengutamakan kepentingan mereka, ada kemungkinan mereka akan menggunakan platform pilihan raya untuk melontarkan suara hati mereka," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas pandangan beberapa pemerhati politik yang melihat kehadiran lebih 700,000 pengundi baharu tidak akan menjejaskan peluang UMNO dan BN untuk menang besar pada PRN Johor sekiranya trend kelesuan politik masih terus berlaku.
Mengulas lanjut, Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Segamat menegaskan BN sebaliknya sentiasa mengalu-alukan partisipasi pengundi-pengundi baharu pada PRN Johor kerana parti itu yakin memiliki kelebihan untuk menawan hati mereka.
Jelas beliau, hal ini dapat dibuktikan menerusi jasa UMNO dan BN yang mewujudkan stuktur pendidikan bersistematik sehingga membolehkan mereka mendapat pendidikan sehingga ke menara gading tanpa ibu bapa mereka perlu berdepan bebanan kewangan.
"Sikap 'gentleman' UMNO dan BN dibuktikan lagi apabila kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada awal tahun ini meluluskan usul pelaksanaan Undi18 walaupun ia didakwa memberi kelebihan kepada pembangkang.
"Paling penting, MNO dan UMNO perlu berani mempertaruhkan lebih ramai muka baharu dalam kalangan calon muda yang lebih mudah memahami kehendak serta keperluan golongan pengundi baharu ini.
"Strategi peletakan calon-calon muda sebagai muka baharu adalah resepi untuk menawan hati pengundi muda, walaupun saya mengakui kudrat serta pengaruh calon lama berpengalaman juga sama penting," katanya.
CALON MUDA
Sementara itu, seorang lagi Exco Pemuda UMNO Pusat, Noor Azleen Ambrose mengakui harapan sayap parti itu pastilah mahu melihat seramai mungkin calon muda diketengahkan pada PRN Johor kali ini,
Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tertakluk kepada formula dan strategi yang akan digunakan parti bagi memenangi PRU15, termasuk formula 'wali' (winnable, acceptable dan likeable).
"Kena faham, strategi politik yang akan diguna pakai UMNO dan BN pada PRN Johor adalah berbeza dengan PRN Melaka kerana faktor kehadiran 700,000 pengundi baharu.
"Jadi perlumbaan parti-parti politik untuk memenangi PRN Johor akhirnya kembali kepada garisan permulaan sama kerana tiada parti yang terbukti memiliki kelebihan dalam menawan sokongan segmen pengundi baharu berkenaan," ujar Ketua Pemuda UMNO bahagian Pasir Gudang itu lagi.
Klik di sini untuk terus membaca