KALAU kita lihat di luar tingkap sekarang, hujan lebat masih berlaku di kebanyakan tempat dan sama ada kita sedar atau tidak, ia bukan lagi cuaca yang menggembirakan atau ditunggu-tunggu oleh masyarakat. Kalau dulu-dulu, setiap kali hujan... Klik di sini untuk terus membaca

KALAU kita lihat di luar tingkap sekarang, hujan lebat masih berlaku di kebanyakan tempat dan sama ada kita sedar atau tidak, ia bukan lagi cuaca yang menggembirakan atau ditunggu-tunggu oleh masyarakat.

Kalau dulu-dulu, setiap kali hujan mesti Mat Taici akan masak mi segera sambil merenung ke luar tingkap menikmati suasana sejuk sambil melayan perasaan dengan mendengar lagu cinta.

Kadang-kadang Mat Taici tak sabar-sabar menunggu hari hujan kerana Mat Taici percaya bahawa hujan itu satu rahmat dan membawa rezeki kepada penduduk bumi, terutamanya petani.

Namun, perkara sudah berubah dan hujan yang berpanjangan merupakan keadaan yang kita mahu elakkan. Mengapa hujan bukan lagi kawan? Jawapannya hanya satu, banjir.

Banjir tahun lalu telah meragut 37 nyawa di seluruh negara dan dikatakan antara sejarah banjir paling teruk yang pernah berlaku di negara ini yang mana hampir 70,000 mangsa banjir direkodkan di pusat pemindahan sementara seluruh negara.

Lebih membimbangkan apabila banjir kali ini tidak mengira tempat di mana kawasan bandar seperti Sri Muda di Shah Alam juga tidak terkecuali dilanda banjir yang teruk sehingga kawasan tersebut hampir tenggelam.

Sekarang ini, setiap kali hujan, Mat Taici sendiri pasti rasa berdebar-debar dan teringat akan nasib mereka yang duduk di kawasan yang mudah dinaiki air.

Semalam, Mat Taici lalu di sebuah kawasan ‘hot spot’ banjir di bandar dan alangkah terkejutnya Mat Taici apabila melihat longgokan sampah bertimbun. Mat Taici terfikir, mana datang sampah-sampah ini sebab tak mungkin ia turun dari langit. Nak salahkan siapa? Adakah ia angkara alam juga?

Ramai menyangka punca banjir hanyalah kerana faktor alam semula jadi seperti hujan namun sekarang baru Mat Taici sedar yang tabiat sesetengah masyarakat membuang sampah merata-rata juga boleh menyumbang kepada berlakunya banjir di bandar.

Hari itu kecoh apabila ramai yang musykil kenapa banjir boleh berlaku di kawasan bandar? Ada pula pak ustaz ekspres yang mengatakan ia adalah pembalasan kepada dosa-dosa yang banyak berlaku di bandar tanpa fikir logik akal bahawa sikap suka membuang sampah merata-rata yang seterusnya memasuki longkang dan sungai menjadi faktor banjir kilat meningkat.

Bayangkanlah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebelum ini pernah mengutip 82,850 tan sisa pepejal di enam negeri yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Timbunan itu mampu memenuhi satu Menara Berkembar Petronas (KLCC). Namun, memandangkan ramai syarikat suka membina bangunan-bangunan mencakar langit di bandar, mungkin kita boleh menggunakan sampah-sampah terkumpul ini pula untuk jimat kos.

Itu belum lagi masuk bahagian di mana orang menebang pokok sesuka hati untuk 'pembangunan'. Kita sibuk kejarkan dengan bangunan mencakar langit hingga terlupa bumi ini semakin tenat dan boleh memuntahkan segala isinya seperti banjir hasil tindakan manusia sendiri.

Betul lah kata orang, tinggal di bandar tidak semestinya mentaliti kita setaraf pembangunan bandar. Netizen selalu marah kononnya negara kita tidak maju tetapi adakah kita sebagai rakyat mempunyai pemikiran yang maju sedangkan kita masih membuang sampah merata-rata?

Pss: Pemikiran harus selari dengan kemajuan teknologi dan sama-sama kita mengubah cara pemikiran serta menjaga kebersihan alam semula jadi.

Klik di sini untuk terus membaca