SHAH ALAM - Keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir adalah untuk membolehkan beliau mahu menyusun strategi berkesan bagi memastikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir adalah untuk membolehkan beliau mahu menyusun strategi berkesan bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, beliau melihat tiada keperluan untuk Muhyiddin mempertahankan kerusi DUN Gambir kerana beliau mempunyai misi lebih besar untuk menewaskan BN dalam PRN Johor.

Badrul Hisham berkata, strategi Muhyiddin turun bertanding di kerusi DUN dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah kerana beliau bukan tokoh dominan bakal Menteri Besar atau Perdana Menteri dan sebagainya kerana Pakatan Harapan (PH) ketika itu memiliki ramai tokoh berwibawa seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Badrul Hisham

"Justeru itu kita kena 'standby' kepimpinan Muhyiddin di pelbagai tempat. Apabila PH menang di Johor dan ada tokoh lebih layak menjadi Menteri Besar kita beri laluan. Itulah watak sebenar Muhyiddin.

"Jika dia kalah di Parlimen Pagoh dan gagal menjadi Perdana Menteri dia boleh menjadi Menteri Besar Johor.

"Biarpun Muhyiddin tidak bertanding di DUN Gambir namun kita sudah ada senarai calon individu layak dan berkaliber untuk menjadi Menteri Besar Johor jika Bersatu dan PN menang PRN nanti," katanya kepada Sinar Premium.

Ketua Penerangan Bersatu Negeri Johor, Mohd Solihan Badri pula percaya Muhyiddin mampu menyusun strategi lebih baik untuk memastikan kemenangan PN kerana beliau tidak menjadi calon dalam PRN kali ini.

Mohd Solihan

"Tanpa terikat sebagai calon, mantan Perdana Menteri kelapan itu boleh memberi fokus sepenuhnya tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.

"Muhyiddin berpendirian, dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan UMNO yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang," katanya.

Mohd Solihan berkata, keputusan Presiden Bersatu itu berundur juga tidak menjejaskan prestasi atau memberi kesan negatif, sebaliknya mampu menggandakan pengukuhan dan kekuatan jentera parti bagi menewaskan BN pada PRN Johor kali ini.

Justeru, apabila tidak lagi terikat sebagai calon pilihan raya, Muhyiddin mempunyai lebih banyak masa untuk fokus kepada perancangan strategi dan tindakan-tindakan untuk memperkukuhkan peluang calon PN memenangi PRN Johor.

"Bersatu Johor yakin, sebagai ahli politik dan pemimpin parti yang berpengalaman mengarahkan pengurusan pilihan raya kecil, PRN serta PRU, Muhyiddin mampu memberi kemenangan kepada calon-calon PN dalam PRN ini.

"Jadi inilah kesan positif tindakan Muhyiddin kepada Bersatu Johor dan akhirnya meraih kemenangan pada PRN Johor dan seterusnya pada PRU15," katanya.

Mengenai DUN Gambir, Mohd Solihan berkata, Muhyiddin telah meminta kepimpinan Bahagian Bersatu Ledang menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepada beliau kerana DUN Gambir terletak di bahagian ini.

"Saya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Ledang telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Muhyiddin di DUN Gambir kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca