SHAH ALAM - Susulan keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nama seorang bekas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Susulan keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nama seorang bekas Exco Kerajaan Negeri daripada parti itu disebut-sebut bakal menggantikan 'bos' mereka.

Sumber pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) Johor memberitahu Sinar Premium bahawa nama bekas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri itu, Mohd Solihan Badri kini disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk bertanding di DUN Gambir, walaupun beliau sebelum ini merupakan penyandang DUN Tenang.

Pemimpin PN Johor enggan dinamakan itu turut mengetepikan dakwaan keputusan Muhyiddin menarik diri bertanding pada PRN Johor dibuat saat akhir, sebaliknya cadangan memberi ruang kepada Ketua Penerangan Bersatu itu bertanding di kerusi DUN Gambir sudah lama dirancang.

"Keputusan Muhyiddin tidak bertanding kerusi DUN sudah dirancang lama oleh beliau dan Bersatu sendiri.

"Bahkan calon pengganti beliau pun sebenarnya sudah dikenal pasti iaitu bekas Exco Kerja Raya (Mohd Solihan) yang juga (bekas) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang.

Pemimpin kanan PN Johor menafikan keputusan Muhyiddin tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir dibuat mengejut pada saat akhir.

"Malahan, beliau (Mohd Solihan) pun sudah lama buat kerja parti dan turun padang di DUN berkenaan. Jadi, keputusan Muhyiddin tidak bertanding bukan kejutan saat akhir," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Sebelum ini, terdapat spekulasi mengaitkan keputusan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir pada PRN Johor disebabkan kerusi berkenaan dijangka ditandingi UMNO melalui proses pertukaran kerusi pilihan raya dengan MIC.

Sumber pemimpin muda UMNO mendakwa Muhyiddin dan Bersatu menjadi berbelah-bahagi untuk mengekalkan kerusi berkenaan susulan mereka menyedari sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO di Johor kini semakin utuh.

Spekulasi pertukaran kerusi DUN Gambir di antara UMNO dan MIC juga tidak dinafikan Ketua UMNO bahagian Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri meskipun beliau kemudiannya beranggapan perkara itu hanyalah 'khabar angin'.

Bercakap dengan Sinar Premium, Ir Hamim mengakui pihaknya amat berharap kerusi DUN Gambir akan diserahkan MIC kepada UMNO demi mengukuhkan peluang kemenangan BN.

Sementara itu, Mohd Solihan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang mengetepikan spekulasi berkenaan dan menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti untuk menentukan kerusi DUN mana yang bakal ditandingi beliau selepas ini.

Jelas beliau, dari peringkat Bersatu Bahagian Ledang, pihaknya sudah mengemukakan senarai tiga nama calon dikenal pasti berkualiti serta memiliki ciri 'winnable candidate' untuk dipertaruhkan bertanding di DUN Gambir.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

"Ketiga-tiga calon disenaraikan juga merupakan pemimpin berpengalaman dan amat dikenali Tan Sri Muhyiddin sendiri.

"Mengenai dakwaan UMNO bakal bertanding DUN Gambir, kita tidak tahu siapa daripada Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding namun Bersatu sebenarnya mempunyai peluang besar mengekalkan kerusi itu walaupun terpaksa berhadapan dengan UMNO sekali pun," katanya.

Mohd Solihan turut menegaskan kecemerlangan prestasi Muhyiddin dan kesungguhan Bersatu Bahagian Ledang bekerja menjaga kebajikan rakyat DUN Gambir merupakan faktor utama kerusi itu diyakini mampu dipertahankan parti itu.

"Selain itu, kehadiran Pas bersama PN juga memainkan peranan penting untuk mengekalkan sokongan pengundi Melayu di samping kewujudan PN sendiri sebagai alternatif kepada pengundi atas pagar menyokong PH sebelum ini.

"Namun saya tidak menolak kemungkinan dengan pelbagai isu dalaman melanda UMNO ketika ini, tidak mustahil undi penyokong mereka yang muak dengan sikap tamak kuasa pemimpin atasan parti berkenaan akan berpaling kepada Bersatu dan PN," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca