DALAM ucapan dan rencana saya sejak 2012 iaitu dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya secara konsisten berkata bahawa UMNO berada di atas landasan betul tetapi masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya.
Untuk pulih semula, UMNO perlu membersihkan dirinya daripada pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka hendaklah berundur atau disingkir.
Terus terang saya telah menyebut nama Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Penyokong mereka terutama orang-orang Ahmad Zahid sangat marah dan mengutuk saya tetapi saya tidak kisah.
Saya memuji Najib kerana melepaskan jawatan Presiden UMNO. Saya juga memuji Ahmad Zahid kerana bercuti apabila beliau dituduh di mahkamah.
Kebetulan dalam tempoh beberapa bulan itu, apabila Datuk Seri Mohamad Hassan memangku jawatan Presiden UMNO dari 20 Disember 2018 hingga 30 Jun 2019, BN tegasnya UMNO, memenangi tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) secara berterusan.
Tiga PRK tersebut ialah PRK Parlimen Cameron Highlands, Pahang pada 26 Januari 2019, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor pada 2 Mac 2019 dan PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan pada 13 April 2019.
Saya lega dan mengharapkan itu tanda UMNO sudah mula pulih tetapi melihat perkembangan tersebut, Ahmad Zahid kembali memegang teraju UMNO. Najib pula dibawa balik sebagai Penasihat UMNO.
Saya melihat ia sebagai tanda UMNO tidak akan berubah. Apa yang berlaku sejak itu hingga kini menunjuk ke arah tersebut.Najib dan Ahmad Zahid nampak seperti mula menggunakan UMNO untuk membebaskan diri daripada pertuduhan terhadap mereka, manakala ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menurut perancangan mereka. Dalam keadaan itu, saya tidak fikir UMNO akan berubah.
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di luar dugaan menyebabkan saya menulis, antara lain: "Pengajaran paling penting kepada UMNO adalah ia mesti sedar bahawa orang Melayu memberinya peluang sekali lagi.
"UMNO bukan indispensable. Pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh serta mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser merebak dari dalam. Pemimpin UMNO juga hendaklah berhenti terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-dua faktor itulah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO pada PRU14.”Kemenangan UMNO/BN pada PRN Melaka bukanlah kemenangan Ahmad Zahid. Ia adalah in spite of him kerana PRN itu bukanlah untuk membolehkannya menjadi Ketua Menteri Melaka atau Perdana Menteri. Orang Melayu mengundi UMNO/BN kerana sumbangan UMNO sejak merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.
Dalam kata lain, orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah. Untuk berubah, Ahmad Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden UMNO. Demikian juga pemimpin yang menjadi liabiliti kepada UMNO. Hanya dengan cara itu, UMNO akan dapat menarik semula pengundi yang lari daripadanya pada PRU14.
Mereka boleh membantu kempen UMNO dari belakang tabir. Elok juga mereka memberi balik apa yang mereka peroleh daripada UMNO selama ini.
Kepada ahli-ahli UMNO, ingin saya memperingatkan bahawa memekik ‘Hidup Bossku’ sebagai merayakan kemenangan PRN Melaka bukan cara yang betul. Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi.
Seorang bekas ahli MKT UMNO menyeru ahli-ahli UMNO supaya tidak mempedulikan saya kerana saya sudah bedridden. Tidak mengapa, saya tidak mahu menjawabnya. Saya tidak akan turun ke tingkat itu. Biarlah pembaca berfikir sendiri.
Saya cuma hendak mengemukakan satu soalan kepada pemimpin UMNO tersebut. Jika itulah sebabnya Ahmad Zahid dituduh, mengapa dari awal lagi beliau tidak guna alasan itu untuk mem-buat permohonan mengetepikan pertuduhan terhadapnya atau membangkitkan isu itu dalam soal balas saksi-saksi pendakwaan bagi membolehkannya membangkitkan alasan tersebut dalam pembelaannya jika dan apabila beliau dipanggil membela diri?
Apa pun, Ahmad Zahid telah dipanggil membela diri dalam 47 pertuduhan, maka terserahlah kepada beliau untuk membela dirinya.
Pada masa sama, DUN Johor telah dibubarkan dan kemungkinan PRU15 diadakan dalam masa terdekat semakin kuat. Pas tidak boleh diharap untuk berganding bahu bagi menghadapi PRN Johor dan PRU15. Sebab-sebabnya saya telah beri dalam ‘Keputusan PRN Melaka: Pengajaran kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU15’. Maka, UMNO perlu menghadapinya sendirian.
UMNO boleh berasa lega dengan keputusan PRN Melaka dan mengharapkan ia akan berulang di Johor tetapi ada faktor lain yang mungkin menjadi penghalang. Pertama, Johor adalah negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pengaruhnya tentu masih ada, cuma kita tidak tahu setakat mana kuatnya.
Kedua, ia kali pertama pengundi 18 hingga 21 tahun mengundi. Kita boleh meneka dengan yakin pengundi muda keturunan Cina akan bersepadu mengundi calon DAP dan Pakatan Harapan (PH).
Tetapi, perkara seperti itu tidak mungkin berlaku kepada pengundi muda Melayu. Undi mereka akan berpecah, paling kurang kepada empat kumpulan, mungkin lebih.
Pertama, ada yang idealistik berasa mereka lebih pandai daripada semua penjawat awam dan hendak mengubah dunia. Mereka mungkin tertarik dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang juga berpusat di Johor.
Kedua, ada sekumpulan menggelar diri mereka liberal, yang tidak mahu dikenali sebagai Melayu lagi dan telah lupa daratan walaupun hanya baru keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi.
Mereka tentu akan mengundi PH ‘untuk menentang politik rasis, merobohkan sistem feudal yang lapuk dan mewujudkan sebuah kerajaan lebih adil kepada semua orang tanpa mengira kaum.’Ketiga, ada satu kumpulan yang taksub dengan jenama Islam, sedangkan isinya tiada apa beza dengan lainnya. Mereka akan mengundi Pas dan Parti Amanah Negara.
Keempat, kumpulan yang rasa terhutang budi kepada BN, khususnya UMNO yang telah mengubah nasib datuk dan ibu bapa mereka hingga membolehkan keluarga dan diri mereka berada di mana mereka berada sekarang.
Mereka tahu UMNO tidak sempurna tetapi sekurang-kurangnya ia mempunyai track record yang boleh menjadi asas ukuran. Mereka akan mengundi UMNO/BN.
Perpecahan akan lebih buruk jika Pejuang, Perkasa dan Warisan juga turut serta. Walaupun tidak berapa banyak undi yang mereka akan peroleh tetapi dalam pertandingan banyak penjuru, ia cukup untuk memberi kemenangan kepada PH. Malays never learn.Faktor yang akan amat sangat mempengaruhi golongan muda adalah perkataan ‘rasuah’, ‘penyalahgunaan kuasa’ dan ‘integriti’. PH akan menggunakan perkataan-perkataan itu sebagai senjata paling tajam mereka terhadap UMNO dan golongan muda akan termakan dengannya.
Sekarang pun PH telah memulakan perang urat saraf itu dengan membesar-besarkan tuduhan terhadap Tan Sri Azam Baki. Bagi saya, inilah faktor utama, jika tidak ditangani dengan tegas akan menyebabkan kekalahan UMNO/BN dan memungkinkan berulangnya pe-merintahan PH.
Maka, UMNO tiada pilihan. Ia mesti buang imej rasuah yang ada padanya. Mesti rehatkan pemimpin yang terlibat atau terpalit rasuah. Najib dan Ahmad Zahid mestilah berundur atau direhatkan.
Diharap Majlis Tertinggi UMNO dan/atau Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan 16 hingga 19 Mac ini akan dapat menyelesaikan isu tersebut sebelum PRN Johor dan PRU15.
Menunggu Perhimpunan Agung UMNO 2022 mungkin terlalu lewat.
* Tun Abdul Hamid ialah bekas Ketua Hakim Negara
Klik di sini untuk terus membaca