SHAH ALAM - Kedudukan Malaysia yang jatuh ke tangga 62 menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 bukan sahaja menjejaskan pelaburan dalam dan luar negara tetapi turut membantutkan pertumbuhan ekonomi dan juga pekerjaan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kedudukan Malaysia yang jatuh ke tangga 62 menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 bukan sahaja menjejaskan pelaburan dalam dan luar negara tetapi turut membantutkan pertumbuhan ekonomi dan juga pekerjaan.

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, ia berikutan negara akan semakin tersisih daripada arus utama pertumbuhan ekonomi dunia, berbanding negara lain seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam yang semakin maju.

"Persepsi rasuah yang tinggi dan kerangka undang-undang yang tidak membanteras rasuah secara telus serta adil atau melindungi mereka yang melaporkan rasuah bukan sahaja menjejaskan pelaburan, tetapi pertumbuhan ekonomi dan juga pekerjaan.

"Justeru, dalam keadaan dunia sedang kembali pulih daripada pandemik, kita mahu berada dalam kedudukan yang meyakinkan semua pihak seperti rakan dagangan ataupun pelabur,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan memaklumkan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 yang dikeluarkan TI merudum ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.

Menurutnya, antara sebab kemerosotan skor adalah kerana tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan sedia ada dan kerajaan sebelum ini dalam membendung aktiviti rasuah politik serta mengukuhkan hak asasi manusia di Malaysia.

Nungsari berkata, cadangan memperbaiki tahap rasuah di Malaysia cukup jelas, namun ia tidak diberi perhatian serius.

Mengulas isu sama, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat dari Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, sekiranya CPI tersebut terus mencatatkan kemerosotan, maka Malaysia yang suatu ketika dahulu terkenal dalam pelbagai aspek akan tercemar kerana amalan rasuah.

Menurutnya, masyarakat luar akan mula memandang rendah terhadap keupayaan dan kredibiliti rakyat Malaysia kerana segalanya dikaitkan dengan rasuah.

"Yang lebih merisaukan lagi adalah pelabur-pelabur sedia ada di Malaysia mula menghentikan operasi, malah berpindah ke negara jiran yang mempunyai indeks rasuah yang lebih baik.

"Justeru, isu pengangguran di Malaysia akan meningkat. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula akan menunjukkan penurunan kerana kos barang dan perkhidmatan yang mahal dan semakin meningkat kerana faktor rasuah.

"Akhirnya masyarakat menjadi tidak sejahtera,” katanya.

Bagi menangani isu tersebut, Mohd Faisol berkata, kepercayaan masyarakat dan pelabur luar perlu dikembalikan dengan meningkatkan semula imej serta integriti sesebuah institusi yang mempunyai kuasa dalam membasmi rasuah.

"Keadilan dan sifat telus perlu ditonjolkan dengan lebih kerap menerusi media arus perdana, selain meningkatkan lagi hukuman semaksimum mungkin kepada pemberi dan penerima rasuah,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca