PENGUMUMAN Transparency International (TI) yang menyatakan Malaysia jatuh ke tangga 62 untuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 adalah satu perkara serius dan sangat membimbangkan. Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF),... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUMUMAN Transparency International (TI) yang menyatakan Malaysia jatuh ke tangga 62 untuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 adalah satu perkara serius dan sangat membimbangkan.

Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, penurunan anak tangga CPI Malaysia kepada 62 berbanding di tangga ke-57 pada 2020 merupakan satu petanda buruk berhubung isu rasuah yang berlaku di negara ini.

Tegas beliau, isu rasuah di Malaysia pastinya akan menjadi semakin membimbangkan kepada rakyat apabila melihat peratusan CPI yang dikeluarkan oleh TI tersebut.

"Oleh sebab itu, MCCF menyarankan agar ujian sistem Psikometrik RBTAG Rasuah Busters diimplikasikan oleh pihak kerajaan.

"Sudah tiba masanya ujian ini dilakukan kepada semua agensi kerajaan termasuk semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negara ini bagi melihat sejauh mana tahap integriti pemimpin.

"Sistem psikometrik ini adalah amat berkesan dan telah diguna pakai di 22 buah negara maju termasuk negara jiran Singapura," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.

Mengulas lanjut, Halim berkata, MCCF sangat berharap usaha memerangi rasuah perlu disokong penuh oleh kerajaan dan semua kepimpinan masyarakat.

Tambahnya, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga penting dalam memperkasakan komuniti untuk membenci amalan rasuah.

Selain itu, kata Halim, masyarakat perlu terus meletakkan keyakinan kepada agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meskipun imej badan utama pencegahan rasuah itu tercalar dengan isu saham ketua pesuruhjayanya, baru-baru ini.

Jelasnya, biarpun isu tersebut begitu hangat dan menjadi topik perbualan di media sosial, namun perkara itu tidak seharusnya mendorong masyarakat daripada tidak mempercayai petugas dan warga kerja SPRM itu sendiri.

"Biarlah pihak berkuasa sahaja menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan.

"Kita sebagai rakyat marhaen seharusnya terus membantu SPRM dalam menyampaikan maklumat sekiranya tahu berlakunya perbuatan rasuah di tempat kerja atau di kawasan kita bermastautin," katanya.

Sehubungan itu, beliau sangat berharap agar orang ramai terus menyokong usaha NGO yang melaksanakan tanggungjawab dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada seluruh lapisan masyarakat.

Jelasnya, usaha yang dijalankan oleh kumpulan gabungan NGO bersama Rasuah Busters perlu disokong penuh bagi memastikan usaha mendidik komuniti masyarakat dalam jihad basmi rasuah.

Klik di sini untuk terus membaca