ANAK muda kini menjadi suatu blok sosial yang disegani oleh parti politik akan tetapi kuasa undi mereka tersekat jika didaftarkan di bandar. Jumlah pengundi di seluruh Malaysia telah meningkat sebanyak 5.8 juta pada 16 Januari lalu ataupun... Klik di sini untuk terus membaca

ANAK muda kini menjadi suatu blok sosial yang disegani oleh parti politik akan tetapi kuasa undi mereka tersekat jika didaftarkan di bandar.

Jumlah pengundi di seluruh Malaysia telah meningkat sebanyak 5.8 juta pada 16 Januari lalu ataupun pertambahan sebanyak 37 peratus daripada 15.8 juta sebelumnya. Jika dibandingkan dengan 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kadar pertambahan kira-kira 45 peratus. Bilangan pengundi baharu bertambah setiap hari dengan sambutan hari jadi untuk mereka yang genap 18 tahun.

Daripada 5.8 juta pengundi baharu ini, 1.2 juta (21 peratus) adalah belia berumur 18 hingga 20 tahun manakala baki 4.6 juta adalah mereka yang sudah layak mengundi tetapi tidak mendaftarkan diri sehingga berlakunya pendaftaran pengundi automatik (AVR) berkuat kuasa.

Dalam kata lain, kebanyakan daripada pengundi baharu AVR kurang berminat dengan politik. AVR memberi peluang mereka untuk mengundi jika terpanggil untuk menyokong atau menolak calon dalam jam terakhir.

Ini cukup menakutkan parti politik kerana apabila orang yang tidak minat politik keluar mengundi, kebarangkalian besar mereka didorong oleh kemarahan untuk menghukum penyandang asal yang tidak cakna atau tidak cekap, tak kira itu kerajaan atau wakil rakyat, di peringkat Persekutuan atau negeri.

Sungguhpun pengundi AVR boleh berumur lebih 21 tahun, kebanyakan mereka tetap orang muda. Menurut analisa atas data populasi hasilan Jabatan Statistik oleh Pengerusi Bersih, Thomas Fann, bilangan pengundi berumur 18 hingga 40 tahun akan mencecah 58 peratus kalau PRU berlaku tahun ini, jauh lebih tinggi daripada 41 peratus pada PRU14.

Adakah ini bermakna anak muda akan menjadi ‘penabal raja’ (kingmaker) dalam PRU dan PRN akan datang?

Jawapannya bergantung kepada tiga faktor: (a) kadar mengundi mereka; (b) kehebatan persaingan di kawasan; dan (c) lokasi mereka mengundi.

Mengapa kuasa politik tertakluk kepada lokasi pengundi kerana perbezaan bilangan mengundi dalam kawasan?

Bayangkanlah, kalau 200,000 orang pengundi di kawasan A dan 20,000 orang pengundi di kawasan B sama-sama memilih seorang ahli Parlimen, maka kuasa pengundi kawasan A adalah 10 kali lebih besar daripada kuasa pengundi kawasan B.

Masalah anak muda ialah mereka lebih tertumpu di kawasan bandar yang tepu dengan pengundi seperti kawasan A kerana kewujudan peluang pendidikan dan pekerjaan di bandar.

Sebagai contoh, bayangkan seorang Siti Fatimah yang asalnya tinggal di Tenang, Segamat telah ubah alamat pendaftaran pengundinya ke Skudai, Johor Bahru kerana menyambung pelajarannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dalam pilihan raya negeri (PRN) ini, NO5 Tenang (terkecil di Johor) mempunyai 33,734 pengundi (sebelum ini 23,668) manakala N48 Skudai (keenam terbesar di Johor) mempunyai 102,893 pengundi (sebelum ini 71,012), ataupun tiga kali lebih ramai daripada Tenang.

Maka, kerana mengejar pendidikan, kuasa undi Siti Fatimah di Skudai telah mengecut sampai tinggal sepertiga berbanding undi datuk neneknya di Tenang.

Bukankah ini satu kezaliman kepada anak muda jika kuasa mereka menentukan nasib negeri atau negara dikecutkan semata-mata kerana berhijrah ke bandar? Bukan tiada sebab mengapa lepasan kolej sekarang ramai yang bekerja sebagai penghantar makanan apabila pembuat dasar gagal mencipta peluang pekerjaan lebih baik.

Semua pihak yang memperjuangkan hak anak muda, bermula daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Parti Muda yang menjayakan Undi18 dan AVR pada 2019, mesti mencari penyelesaian untuk mengatasi kepincangan ini.

* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca