GENEVA - Pandemik Covid-19 yang diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global boleh berakhir pada tahun ini.
Jaminan itu diberikan Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada lembaga pengarah agensi kesihatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun wabak berkenaan meragut satu nyawa dalam tempoh 12 saat pada minggu lalu.
"Untuk menamatkan pandemik ini, setiap negara antarabangsa perlu bekerja keras untuk memastikan kesaksamaan rawatan dan akses kepada bekalan vaksin. Selain itu, usaha mengesan kemunculan varian baharu dan langkah melaksanakan sekatan dapat membendung penularannya,” jelasnya.
Sejak beberapa bulan lalu, WHO telah meminta komuniti antarabangsa terutamanya negara kaya supaya mempercepatkan pengagihan bekalan vaksin Covid-19 kepada negara miskin untuk memastikan setiap negara dapat memvaksin kira-kira 70 peratus populasi mereka menjelang pertengahan tahun ini.
Gesaan tersebut dibuat selepas separuh daripada 194 negara anggota pertubuhan itu gagal mencapai sasaran untuk memberikan inokulasi kepada 40 peratus populasi masing-masing sehingga akhir 2021 manakala 85 peratus penduduk rantau Afrika masih belum menerima suntikan dos pertama.
"Kita tidak akan dapat menamatkan fasa kecemasan pandemik ini dengan mudah melainkan kita merapatkan jurang sedia ada,” ujarnya yang turut merujuk kepada kes secara purata pada minggu lalu yang menyaksikan sebanyak 100 kes baharu dilaporkan pada setiap tempoh tiga saat dan satu kematian akibat Covid-19 direkodkan pada setiap tempoh 12 saat.
Sejak wabak itu pertama kali muncul pada akhir 2019, lebih 5.5 juta kematian dicatatkan malah jumlah kes menunjukkan lonjakan luar biasa disebabkan kemunculan virus bermutasi Omicron yang diisytiharkan sebagai varian yang membimbangkan (VOC) oleh WHO pada akhir tahun lalu.
Dr Tedros memaklumkan sebanyak 80 juta kes jangkitan direkodkan sejak strain itu pertama kali dikesan di Afrika Selatan sejak sembilan minggu lalu sekali gus mengatasi jumlah kes keseluruhan dilaporkan pada 2020.
"Ancaman Omicron adalah lebih rendah berbanding varian sebelumnya. Lonjakan kes jangkitan juga tidak menyebabkan peningkatan kes kematian,” katanya lagi sambil menjelaskan komuniti antarabangsa perlu belajar untuk hidup dengan Covid-19.
Menurutnya, komuniti antarabangsa perlu menguruskannya dengan strategi berterusan dan bersepadu untuk menangani penyakit pernafasan akut.
"Kita juga tidak boleh menganggap Omicron akan menjadi varian terakhir yang muncul atau pandemik ini sudah berada pada fasa terakhir. Situasi semasa menyebabkan lebih banyak virus bermutasi akan muncul. Potensi kemunculan varian yang lebih mudah menular dan lebih berbahaya masih tinggi,” jelasnya lagi.
Penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan keciciran dalam pendidikan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia.
Kebimbangan itu disuarakan Tabung Kecemasan Kanak-Kanak PBB (UNICEF) setelah data menunjukkan lebih 616 juta pelajar masih terkesan akibat penutupan penuh atau separa sesi persekolahan.
Di kebanyakan negara, gangguan sesi pembelajaran itu turut memberi kesan kepada kesihatan mental murid dan pelajar selepas golongan itu juga terlepas peluang untuk mendapatkan kemahiran asas.
"Keadaan itu meletakkan mereka kepada risiko lebih besar untuk menjadi mangsa penderaan dan menghalang mereka mendapatkan akses kepada sumber nutrisi tetap,” jelas agensi itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pendidikan UNICEF, Robert Jenkins berkata, mereka melihat tahap keciciran murid dan pelajar yang hampir tidak dapat diatasi.
"Langkah membuka sekolah sahaja seperti biasa masih tidak mencukupi,” katanya yang menggesa sokongan intensif untuk memulihkan masalah keciciran pendidikan tersebut akibat pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada golongan murid dan pelajar sejak kira-kira dua tahun lalu.
Data UNICEF juga menunjukkan masalah keciciran itu telah menyebabkan sehingga 70 peratus kanak-kanak berusia 10 tahun masih tidak dapat membaca atau memahami teks mudah berbanding 53 peratus ketika sebelum wabak itu melanda negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Negara kaya juga tidak terkecuali berdepan masalah itu.
Di Amerika Syarikat (AS), isu membimbangkan itu turut dikenal pasti di beberapa negeri termasuk Texas, California dan Maryland.
Keciciran pendidikan juga dilaporkan di Afrika Selatan yang menyaksikan antara 400,000 dan 500,000 pelajar berhenti sekolah antara Mac 2020 dan Julai 2021.
Penutupan sesi persekolahan secara bersemuka juga menyebabkan lebih 370 juta pelajar di seluruh dunia tidak mendapat bantuan program makanan yang disediakan di sekolah.
"Bagi segelintir murid, mereka bukan hanya tercicir dalam pembelajaran malah sumber makanan dengan nutrisi harian yang lengkap,” ujar UNICEF. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca