PADA 25 Januari lalu, pihak Transparency International (TI), sebuah badan masyarakat sivil yang berpangkalan di Berlin telah meluncurkan dapatan hasil perkiraan mereka untuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2021. Peluncuran di... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 25 Januari lalu, pihak Transparency International (TI), sebuah badan masyarakat sivil yang berpangkalan di Berlin telah meluncurkan dapatan hasil perkiraan mereka untuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2021.

Peluncuran di Malaysia dilakukan oleh Presiden Transparency International-Malaysia, Dr Mohan Abdullah. Malaysia jatuh lagi dari segi skor, daripada skor 51 pada 2020 kepada 48 tahun ini. Dari segi kedudukan, daripada 180 buah negara, Malaysia jatuh lagi dari kedudukan ke-57 tahun 2020, kepada kedudukan 62 pada 2021.

Indeks Persepsi Rasuah atau lebih dikenali sebagai CPI yang dihasilkan oleh TI mengukur 180 buah negara menggunakan sekurang-kurangnya sembilan hingga 13 indeks lain.

Tiap-tiap negara yang diukur itu mempunyai data yang boleh dibandingkan antara satu sama lain. Tiga buah negara terbaik di dunia, Denmark, Finland dan New Zealand mencatat skor 88 untuk meletakkan mereka berada di tangga teratas, manakala South Sudan berada di kedudukan tercorot dengan skor 11/100.

Persoalan penting yang kita perlu tanya adalah bagaimana pada 2019, kita berjaya mencatat skor 53 berbanding 2018, kita hanya mencatat skor 47.

Peningkatan enam markah seperti ini jarang-jarang berlaku untuk Malaysia. Apakah yang kita lakukan sehingga berjaya membantu negara untuk melonjak naik enam markah dan 10 tangga kedudukan daripada tempat 61 naik ke tempat 51.

Di sinilah pentingnya ilmu dan maklumat digunakan dengan sebaiknya bagi mewujudkan satu strategi yang dapat memberi kesan dan impak positif kepada negara.

Pada waktu itu (2019 dan usaha ini bermula dari Jun 2018), apa yang kita lakukan adalah melihat secara teliti sembilan indeks yang digunakan untuk mengukur Malaysia.

CPI melihat rasuah secara total dan bukan seperti fahaman ramai daripada kita yang hanya beranggapan bahawa rasuah itu berkait dengan kerja-kerja dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja.

CPI juga melihat data daripada Economist Intelligence Unit Country Risk Service. Ia menilai data daripada IMD World Competitiveness Yearbook.

Mereka mengambil kira pandangan pakar daripada Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence dan Varieties of Democracy.

Semua itu ada kaitan antara satu sama lain. Sistem demokrasi sesebuah negara jika terus-terusan dibelenggu pimpinan yang memerintah sesuka hati akan menghasilkan sebuah negara ditadbir dengan menyalahgunakan kuasa.

Begitulah juga sekiranya birokrasi dalam pentadbiran sesebuah negara tidak dibendung, pentadbir akan mengambil kesempatan untuk memeras dan menyusahkan rakyat, dan hanya apabila rakyat membayar duit kopi, barulah birokrasi itu dipermudahkan.

Perkara sebegini kita dapat lihat di sekeliling kita. Kaitan antara ekonomi, politik dan cara kita mengurus sesebuah negara mempunyai korelasi penting kepada hasil pencapaian sesebuah negara.

Jika dilihat daripada awal, terdapat indikator-indikator penting yang menggalakkan kepada penyelewengan, salah guna kuasa dan suapan, maka sudah tentu negara tersebut mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk menggalakkan rasuah.

Perkara ini yang perlu kita fahami. Sebab itu pada penghujung 2018 dan awal 2019, kita bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Malaysian Productivity Corporation (MPC) yang telah berusaha bertahun-tahun untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kerenah birokrasi dalam negara.

Mereka telah berjaya mengurangkan proses-proses yang merumitkan dan menyusahkan orang yang ingin memulakan perniagaan dalam negara umpamanya dan usaha itu membantu meningkatkan pencapaian kita dalam beberapa indeks disebut tadi seperti IMD World Competitiveness Yearbook.

Apakah kesannya jika kita tidak melakukan usaha secara holistik? Kesannya adalah bagaimana pelabur menggunakan data daripada indeks-indeks tersebut untuk membuat keputusan negara mana yang mereka ingin melabur.

Siapa yang akan datang melabur di negara yang penuh dengan rasuah dan salah guna kuasa atau yang menyusahkan mereka untuk berurusan dan memulakan perniagaan.

Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dan 115 inisiatif yang digariskan pada 2019, sekiranya dilaksanakan kesemuanya, kita mungkin akan meningkat naik.

Sebab di dalamnya terkandung pelbagai usaha yang melihat rasuah secara total. Melambatkan usaha dan mengubah apa yang kita telah rancang telah mengakibatkan kita jatuh berturut-turut dari tahun 2020.

Indonesia pada 2007 hanya berada di skor 23 tetapi setiap tahun mereka meningkat naik. Kini mereka berada di skor 37. Lima tahun akan datang tidak mustahil Indonesia memintas skor Malaysia jika trend dua tahun kebelakangan ini berterusan.

Kita hanya mampu berdoa agar kita diberi orang-orang yang mampu faham dan mempunyai iltizam politik tinggi untuk membawa negara keluar daripada semua masalah berkenaan.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca