DUKE of York, Putera Andrew telah lama digambarkan sebagai anakanda kesayangan pemerintah England, Ratu Elizabeth II yang kini berusia 95 tahun. Pun begitu, Ratu yang paling lama memerintah dalam sejarah Britain itu sanggup bertindak... Klik di sini untuk terus membaca

DUKE of York, Putera Andrew telah lama digambarkan sebagai anakanda kesayangan pemerintah England, Ratu Elizabeth II yang kini berusia 95 tahun.

Pun begitu, Ratu yang paling lama memerintah dalam sejarah Britain itu sanggup bertindak melucutkan gelaran kehormat tentera milik Putera Andrew baru-baru ini.

Keputusan itu dibuat seorang hakim di New York, Amerika Syarikat (AS) setelah beliau enggan menolak satu saman sivil yang menuduh Putera Andrew, 61, melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita yang dikenali Virginia Giuffre pada tahun 2001.

Ratu Elizabeth II (tengah) melucutkan gelaran kehormat tentera anakandanya, Putera Edward (kanan) selepas berunding dengan Putera Charles (kiri). - Foto AFP/Getty Images

Ketika kejadian, Guiffre berusia 17 tahun dan gadis tersebut mendakwa dia diserang secara seksual sebanyak tiga kali tetapi putera raja tersebut menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan mendakwa tidak ingat bahawa beliau pernah bertemu dengannya.

Kes itu mendapat liputan meluas di Britain dan gadis berkenaan memberitahu kejadian tersebut berlaku di London, Britain; New York dan Kepulauan Virgin, AS manakala Putera Andrew mengetahui bahawa dirinya ketika serangan berkenaan masih berusia di bawah umur.

Berikutan penarikan balik gelaran kehormat tersebut, Duke of York itu tidak akan menjalankan sebarang tugas-tugas awam, malah Putera Andrew akan mempertahankan dakwaannya tidak bersalah sebagai seorang warganegara tanpa mendapat sebarang naungan diraja.

Akhbar Daily Mail menyatakan bahawa keputusan Ratu Elizabeth II itu merupakan kelangsungan institusi diraja dan ia akan sentiasa berlaku di Britain.

Bagaimanapun, seorang ahli sejarah diraja, Bob Morris menyatakan tindakan itu menyebabkan Putera Andrew kehilangan naungan diraja dan tidak akan lagi menggunakan gelaran 'Duli Yang Teramat Mulia' selain memberitahu AFP bahawa: "Masanya telah tiba untuk menolaknya kembali daripada menjadi tumpuan."

Skandal itu juga menyebabkan seorang penulis buku-buku mengenai monarki England, Penny Junor berpendapat bahawa adalah sesuatu yang amat memalukan bahawa terdapat kakitangan-kakitangan tentera yang sudah bersara menuntut supaya gelaran kehormat Putera Andrew ditarik balik.

Ratu Elizabeth II telah membuat keputusan tentang perlucutan tersebut selepas mengadakan perbincangan dengan Putera Charles iaitu anakanda pertamanya dan pewaris pertama takhtanya serta cucunya, Putera William yang merupakan pewaris kedua takhta England dan juga anakanda Putera Charles, kata media Britain.

Putera Andrew, dilaporkan telah dipanggil ke Istana Windsor, Berkshire dan beliau telah pergi ke ke sana bersama peguamnya.

Istana Buckingham merupakan pusat pentadbiran Ratu Elizabeth II di England. - Foto AFP

Beliau yang berkahwin dengan Sarah Ferguson, mempunyai dua anak perempuan.

Ratu Elizabeth mempunyai dua lagi anak iaitu Puteri Anne, 71 dan Putera Edward, 57 hasil perkahwinannya dengan Putera Philip pada tahun 1947 .

Jubli Platinum bagi meraikan pemerintahannya itu bermula pada 6 Februari depan iaitu tarikh Ratu Elizabeth II menjadi pemerintah pada tahun 1952 berikutan kematian ayahandanya, Raja George VI.

Ratu itu menjadi satu-satunya pemerintah England paling lama berkhidmat dalam sejarah iaitu selama 70 tahun.

Justeru, sudah pastinya, ulang tahun sambutan perayaan pemerintahannya yang ke-70 tahun kali ini diselubungi dengan skandal yang menyelubungi anakandanya, Putera Edward. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca