SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor tidak akan terkesan biarpun Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang, mengumumkan beliau keluar parti hari ini.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, tidak pelik dengan tindakan Mazlan berkenaan kerana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu sudah lama tidak terbabit dengan aktiviti Bersatu.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard menjelaskan Mazlan sudah lama 'hilang dari radar' dan aspirasi Bersatu kerana lebih suka bersama parti UMNO di kawasan terbabit.
"Bagi kami di Johor biarpun Mazlan hari ini mengumumkan beliau keluar parti, itu bukanlah masalah besar. Malah, kerja politik menyantuni rakyat dan pengundi bagi pihak Bersatu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa sudah lama diambil alih oleh parti sejak sekian lama.
"Jadi bagi saya jika Mazlan keluar daripada Bersatu, ia tidak menambah atau mengurangkan sokongan rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan terhadap parti. Saya bukan kata bagus dia buat macam itu (keluar parti) tetapi Bersatu memang tidak terjejas jika beliau keluar parti," katanya kepada wartawan Sinar Premium.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham juga mengesahkan Mazlan membuat kenyataan enggan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN Johor kali ini adalah kerana beliau tidak sebulu dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor.
Badrul Hisham mendakwa, Mazlan memilih untuk mengasingkan diri daripada Bersatu kerana merasakan dirinya pemimpin hebat dan paling layak menjadi Menteri Besar Johor suatu ketika dulu.
"Bagi saya Mazlan beranggapan dia ada kelas tersendiri dalam politik dan paling hebat tetapi tidak mengapa kita biarkan sahaja. Saya juga mahu melihat parti mana sanggup ambil dia menjadi calon dalam PRN Johor kali ini walaupun kemungkinan besar tiada satu pun sudi berbuat demikian.
"Saya rasa tiada satu parti pun sanggup ambil Mazlan menjadi calon mereka, jika dia mahu bertanding pun mungkin atas tiket bebas dan akan kalah," katanya.
Badrul Hisham menambah, Bersatu kawasan tersebut sudah sedia dari awal mempersiapkan jentera sendiri dan kini kawasan Tebrau dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian iaitu Kamaruzzam Abu yang sebelum ini aktif sebagai Pengarah Pilihan Paya Bersatu Tebrau.
Mazlan pada Khamis mengumumkan keluar parti dan meletak jawatan ketua bahagian berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Mazlan menyatakan tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong Barisan Nasional (BN).
Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha Bersatu Bahagian serta pegawai dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian Tebrau.
Turut menyertai sidang akhbar tersebut 23 ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Tebrau.
Mazlan yang juga Exco Kebudayaan, Pendidikan, Warisan dan Penerangan berkata, sokongan turut diberikan kepada Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.
Klik di sini untuk terus membaca