SHAH ALAM - Biarpun kini berlainan wadah politik, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Chong Fat Full menghormati keputusan bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang mengumumkan keluar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun kini berlainan wadah politik, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Chong Fat Full menghormati keputusan bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang mengumumkan keluar parti pada Khamis.

Menurut bekas Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor itu, Mazlan wajar dianggap bersikap 'gentleman' dengan membuat keputusan keluar parti hanya setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terbubar dan tidak sesekali melakukannya semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Dr Chong Fat Full

Jelas Chong Fat, tindakan Mazlan juga sekurang-kurangnya menunjukkan bekas rakan Exco Kerajaan Negeri beliau itu mementingkan kestabilan kerajaan sewaktu belum terbubar dan mendahului kepentingan rakyat.

"Saya bukan mahu bersetuju dengan tindakan Mazlan. Tetapi secara peribadi, saya harus hormati keputusan 'gentleman' beliau untuk keluar parti hanya setelah DUN Johor terbubar.

"Saya pun kena puji beliau kerana masih meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan diri dan sekiranya Mazlan hendak menyokong mana-mana parti lain, itu hak beliau.

"Mungkin ada ketidakpuasan hati beliau kepada parti yang menyebabkan keputusan itu dibuat. Saya fikir keputusan beliau tidak akan menjejaskan Bersatu dan berharap Mazlan selaku rakan lama mengekalkan amalan politik secara sihat jika bertanding lagi," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Mazlan yang mmeletak jawatan ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha Bersatu Bahagian dan 23 ketua cawangan, ahli jawatan kuasa serta pegawai Bersatu Bahagian Tebrau.

Desas-desus Mazlan bakal menarik diri daripada Bersatu sudah tercetus apabila bekas Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu dikatakan akan menarik sokongan terhadap kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) dan BN sebelum DUN Johor terbubar.

Ditanya mengenai perkembangan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Chong Fat yang juga Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Pusat mendedahkan proses pembahagian kerusi pilihan raya di antara parti-parti dalam PN sudah hampir selesai.

Bahkan, beliau yakin Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi kepercayaan kepada Sayap Bersekutu Bersatu Johor untuk bertanding di beberapa kerusi DUN campuran pada PRN Johor kelak.

"Sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Johor, pastinya saya perlu menunjukkan teladan dengan bertanding mewakili sayap itu pada PRN Johor. Namun persoalan sama ada saya akan mempertahankan DUN Pemanis, ia terserah kepada budi bicara Pengerusi PN dan Bersatu.

"Kami turut mencadangkan lebih ramai ahli Sayap Bersekutu Bersatu diberi ruang bertanding terutama pada kerusi-kerusi campuran di mana segmen pengundi Cina adalah lebih tinggi.

"Apa pun, perkara paling penting adalah setiap parti wajib mengemukakan calon boleh menang dan diterima pengundi. Cuma kami berharap Sayap Bersekutu Bersatu Johor diberi peranan lebih dominan berbanding PRN Melaka sebelum ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca