SHAH ALAM - Isu ketagihan menonton pornografi dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun membimbangkan kerana tidak menunjukkan perubahan ke arah lebih positif.
Ahli Sekretariat Malaysians Against Pornography (MAP), Abdullah Azzam Sufyan berkata, apa yang lebih merisaukan pihaknya ialah berlaku normalisasi menonton pornografi dalam usia berkenaan.
"Dalam isu ini jika mahu dibandingkan dengan lima tahun lalu, situasi sekarang tidak memberikan gambaran yang baik buat anak-anak. Umum mengetahui statistik Google Trends melaporkan Malaysia menduduki tangga kelapan bagi negara paling banyak pencari maklumat berkaitan pornografi.
"Dunia semakin canggih, capaian dan carian di internet juga mudah serta jumlah kanak-kanak di bangku sekolah rendah mempunyai telefon pintar pada masa kini juga telah bertambah. Ini antara perkara yang merisaukan,” katanya.
Beliau berkata, ada dalam kalangan kanak-kanak ini terjebak dengan ketagihan menonton pornografi kerana pernah melihat ibu bapa dan adik beradik mereka yang lebih tua melihatnya di telefon pintar dan televisyen.
"Anak-anak di bangku sekolah rendah ini mereka masih berada dalam fasa perkembangan, ingin tahu dan ingin mencuba.
"Mereka tahu apa yang dilakukan salah tetapi disebabkan oleh keseronokan dan keterujaan ia menyebabkan anak-anak secara berterusan menonton pornografi. Normalisasi ini berlaku apabila mereka secara terus melakukan kesalahan tanpa ada rasa bersalah,” katanya.
Jelasnya, kanak-kanak terlibat dengan ketagihan menonton pornografi ini berdepan dengan pelbagai kesan terutama soal kesihatan mental yang menjadi aspek utama kepada proses pembelajaran dan sosial bersama rakan sebaya.
"Ada dalam kalangan mereka bersendirian dan bertemankan gajet untuk mencari keseronokan dengan cara menonton pornografi berbanding keluar dan bermain bersama rakan.
"Kita tidak mahu salahkan ibu bapa sepenuhnya kerana ada dalam kalangan mereka ini benar-benar berusaha memastikan anak mereka tidak dapat membuat carian di internet tetapi ada juga berada dalam penafian bahawa anak mereka pernah menonton pornografi.
"Senario ini tidak membawa kepada sebarang kebaikan malah ia lebih teruk jika anak-anak mereka berterusan menonton dan tidak dipulihkan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah Azzam berkata, pelbagai usaha dijalankan pihaknya dalam memerangi pornografi seperti menyediakan silibus untuk kanak-kanak dan ibu bapa.
"Jika sebelum pandemik Covid-19, kami turun ke lapangan seperti di sekolah dan ceramah kepada ibu bapa bagi memastikan mereka tidak terjerumus aktiviti yang amat bahaya ini.
"Kami juga menjalankan kursus dalam talian dan menghasilkan video-video untuk memberikan didikan kepada umum berkenaan bahaya pornografi, penjagaan ruang peribadi diri dan bijak dunia siber,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca