KEBELAKANGAN ini pasti ramai penggemar media sosial kerap menerima pesanan tentang angka 2045. Angka itu adalah ramalan kononnya pandemik akan berlarutan sehingga tahun 2045.
Tidak kurang juga yang saling bertelagah tentang kesan dos penggalak. Ada juga menyatakan Covid-19 rekaan semata-mata. Justeru, apabila The Economic Times News menyiarkan berita tentang Covid-19 pada 20 Januari lalu, penulis rasa sangat teruja.
Penulis rasa terpanggil untuk mendedahkan kejayaan sekumpulan saintis University of the West of Scotland (UWS). Diketuai Profesor Naeem Ramzan, kumpulan penyelidik UWS menemukan teknologi artificial intelligent atau kecerdasan buatan (AI) yang mampu mendiagnosis Covid-19 dengan keputusan tepat dalam tempoh beberapa minit.
Ia jauh lebih pantas daripada ujian polymerase chain reaction (PCR) yang mengambil masa lebih dua jam sebelum seseorang boleh mengetahui keputusannya. Apakah kepentingan teknologi terbaharu menggunakan AI ini?
Adakah ia mampu mengurangkan tekanan frontliners, sekali gus menyebabkan mereka boleh bekerja secara maksimum demi memerangi Covid-19?
Secara konsepnya, sistem pengujian AI menggunakan perbandingan imbasan X-ray dengan pangkalan data melebihi 3,000 kali imej seperti data daripada pesakit positif Covid-19, individu sihat dan pesakit menghidap radang paru-paru.
Seterusnya, aplikasi AI ini dikenali algoritma Rangkaian Saraf Konvolusi atau convolutional neural network (CNN) digunakan untuk mendiagnosis dan menganalisis imej secara realiti visual (VR). Ia menghasilkan ketepatan lebih 98 peratus atau hampir 100 peratus.
Sebenarnya, selama ini wujud keraguan tentang cara bagaimana Covid-19 dapat dikesan dengan cepat dan tepat. Ia penting tatkala dunia bergelut dalam memerangi varian Omicron.
Naeem percaya sudah sampai masanya peralatan canggih yang dihasilkan daripada penyelidikan bersandarkan tenaga dalaman dan asal fitrah kejadian manusia segera diketengahkan. Ia jelas mudah mengesan kehadiran Covid-19.
Teknologi AI ini dikatakan boleh membantu beberapa negara miskin yang tidak dapat menjalankan pengujian virus Omicron dalam jumlah besar kerana alat diagnosis sangat terhad.
UWS juga menjelaskan tujuan penyelidikan itu berorientasikan ‘maksud dan tujuan’. UWS juga menekankan kesedaran inner drive agar teknologi AI itu boleh memberi manfaat kepada manusia bagi memerangi Covid-19.
Penulis juga ingin menjelaskan kepentingan inner drive yang bermaksud suara hati fitrah manusia atau kecerdasan spiritual (spiritual intelligence) atau kecerdasan rohani (spiritual quotient). Ia boleh menghasilkan getaran, sekali gus menghasilkan ‘tenaga dalaman’.
Ia juga boleh menggerakkan emosi manusia. Proses ini memberi tenaga kecerdasan kepada intelek atau intellectual quotient (IQ) yang akhirnya menghasilkan ciptaan sistem AI mengikut kehendak atau fitrah manusia.
Perkara itu telah dijelaskan ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat [02:74] yang bermaksud: "Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal di antara batu-batu itu sungguh ada mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada ALLAH. Dan ALLAH sekali-kali tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan.”
Penulis percaya kejayaan terbaharu ini boleh memecahkan kebuntuan tentang Covid-19. Sebelum ini banyak berita tentang kesengsaraan dihadapi frontliners khususnya doktor. Ia juga cabaran kepada saintis Malaysia supaya lebih banyak melaksanakan penyelidikan berdasarkan aplikasi AI.
Kesimpulannya, AI bukan sahaja berperanan dalam bidang kejuruteraan tulen, malah ia boleh membantu meringankan beban frontliners memerangi Covid-19.
* Profesor Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre Selangor
Klik di sini untuk terus membaca