SHAH ALAM - Rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah rendah berkongsikan kerisauan mereka terhadap risiko kemungkinan anak-anak mereka terjebak dalam aktiviti menonton pornografi.
Seorang pekerja swasta dari Sungai Petani, Kedah, Hassherylawati Che Me, 40, berkata, penggunaan gajet tanpa pengawasan menyebabkan anak-anak mudah mendapatkan apa sahaja maklumat yang diingini.
"Isu ini agak membimbangkan memandangkan pelajar sekolah rendah sekarang ini hampir kesemuanya memiliki telefon pintar sendiri.
"Jadi, kadang-kadang ada ibu bapa sendiri yang tidak mengambil berat apa yang ditonton atau dilayari oleh anak mereka kerana mereka sendiri terleka dengan gajet ini,” katanya.
Seorang guru dari Taiping, Perak, Nurul Huda Yahaya, 40 berkata, isu pornografi sememangnya wujud dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah.
Beliau yang turut memiliki seorang anak berusia 11 tahun itu berkata, situasi itu juga menjadi semakin membimbangkan kerana ada ibu bapa yang tidak langsung mengawal penggunaan gajet seperti telefon bimbit anak-anak.
"Ada ibu bapa yang mempercayai anak-anak mereka sahaja tanpa usul periksa. Ini bahaya kerana mereka boleh akses bahan-bahan pornografi ini pada bila-bila masa tanpa diketahui oleh ibu bapa,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, di samping ibu bapa perlu menghadkan penggunaan gajet anak-anak, mereka juga perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak ketika menggunakan alatan elektronik tersebut.
Dalam pada itu, seorang pegawai media, Muhammad Taufiq Badri, 38, berkata, kekangan ibu bapa untuk melakukan pemantauan terhadap penggunaan gajet anak-anak juga menyebabkan isu berkenaan menjadi barah dalam masyarakat.
"Ada sesetengah ibu bapa yang dua-dua bekerja. Jadi menyebabkan kawalan sukar dibuat. Kadang-kadang kita beri orang jaga pun, mereka sendiri perlu jaga ramai anak-anak.
"Tambah pula anak-anak ini sekarang boleh terdedah kepada unsur boleh menjuruskan mereka dengan bahan pornografi yang boleh dilihat di platform popular sosial media seperti wanita berpakaian terlampau seksi dan sebagainya,” ujarnya.
Seorang suri rumah di Kajang, Azima Ramli, 34, berkata, kanak-kanak kini lebih bijak dalam menggunakan internet dan ada yang turut memiliki keupayaan untuk mengakses bahan pornografi pada bila-bila masa tanpa pengetahuan ibu bapa.
"Situasi ini juga diburukkan lagi dengan tindakan segelintir ibu bapa yang memanjakan anak mereka dengan penggunaan gajet tanpa kawalan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca