SHAH ALAM - Ketagihan menonton pornografi dalam kalangan kanak-kanak boleh merencatkan tumbesaran selain memberi kesan terhadap kesihatan mental mereka. Pakar Perunding Psikiatri dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketagihan menonton pornografi dalam kalangan kanak-kanak boleh merencatkan tumbesaran selain memberi kesan terhadap kesihatan mental mereka.

Pakar Perunding Psikiatri dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, mental dan fizikal kanak-kanak terutamanya yang berumur 12 tahun ke bawah masih dalam proses perkembangan.

Menurutnya, sama seperti individu dewasa, otak manusia akan merembeskan dopamine iaitu satu bahan kimia yang akan dikeluarkan apabila menyaksikan sesuatu yang memberi rasa gembira atau ghairah.

"Jadi ia boleh diperolehi dalam beberapa cara termasuk menonton pornografi. Dalam keadaan ini, dopamine akan dirembes dengan terlalu banyak dan menyebabkan ketagihan.

"Ini akan menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah dari segi mental dan tumbesaran kerana mereka akan kerap memberi fokus pada pornografi.

"Mereka juga cenderung untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti fizikal seperti bermain atau berinteraksi bersama rakan dan ibu bapa.

"Malah mereka lebih menumpukan perhatian atau memencilkan diri dalam bilik dan hanya untuk menonton pornografi,” katanya.

Mengulas lanjut, Andrew berkata, rembesan dopamine yang tinggi dalam badan kanak-kanak tersebut boleh menyebabkan mereka akan mencari keghairahan yang sama dalam hal yang lain.

"Ini termasuklah ketagih dadah dan alkohol semata-mata untuk mendapatkan keghairahan yang sama,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Psikiatri daripada Klinik Alaminda, Dr Hazli Zakaria berkata, ketagihan pornografi akan mengganggu proses pembelajaran kerana masa dan fokus sering digunakan untuk aktiviti tersebut sekali gus menjejaskan prestasi mereka.

Katanya, remaja merupakan tempoh waktu yang tepat untuk belajar berinteraksi sesama rakan sebaya dan menjalin hubungan persahabatan yang akan menjadi salah satu faktor sokongan sosial yang penting untuk mengelak daripada menghadapi masalah mental pada masa hadapan.

Klik di sini untuk terus membaca