BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tampil dalam program ‘Bersama Johan Jaaffar’ di Studio F, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Rabu.
Dalam temu bual selama setengah jam itu, beliau berkongsi mengenai topik sistem pendidikan negara, tentang generasi yang hilang dan juga rahsia di sebalik buku Memori Bukan Memoir: 20 Bulan Reformasi Pendidikan.
Wawancara tersebut dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
JOHAN: YB adalah seorang yang boleh membuat perubahan dan akan menentukan pola pendidikan sewaktu YB menjadi Menteri Pendidikan selama 20 bulan. Apa yang sebenarnya berlaku dalam tempoh 20 bulan itu hingga memungkinkan YB meletakkan jawatan?
MASZLEE: Pada saya perjalanan kehidupan itu adalah satu pengalaman. Di mana pun kita, sama ada ukuran kejayaan atau kegagalan tidak terletak kepada keputusan yang kita raih tetapi kepada usaha yang telah kita lakukan.
Kalau kita berikan yang terbaik dalam usaha kita, apa pun natijahnya kita akan rasa puas hati. Cuma saya ralat kerana tempoh 20 bulan itu tidak boleh memungkinkan satu perubahan yang besar berkaitan polisi apatah lagi berkaitan dengan pendidikan melibatkan perjalanan atau keputusan intra generasi dan inter generasi.
Jadi, ia perlu kepada tahap serta kesinambungan dan lebih penting perlu kepada perancangan teliti supaya kita pastikan natijahnya nanti akan membuahkan hasil berpanjangan.
Jadi, kalau nak ringkaskan kepada persoalan, saya cadangkan beli buku inilah (Memori Bukan Memoir: 20 Bulan Reformasi Pendidikan).
Tetapi, kalau kita singkatkan pada persoalan Tan Sri, saya telah cuba lakukan yang terbaik, memberikan diri, jiwa dan raga malah mengambil sebahagian besar daripada kehidupan berkeluarga dan sosial saya untuk saya tumpahkan kepada usaha untuk lakukan perubahan kepada pendidikan yang mana cita-cita saya untuk mengangkat martabat pendidikan Malaysia.
Ia supaya Malaysia ini yang penuh dengan segala potensi dapat berdiri sama tinggi dengan negara maju.
Bukan hanya sekadar potensi, lebih pada itu sumber-sumber yang berada di Malaysia ini memang sebenarnya memungkinkan kita untuk menjadi sebuah negara maju dan pemaju tamadun. Malangnya ia perlu dimulakan dengan langkah yang tersusun, terancang rapi dan konsisten.
Tempoh 20 bulan itu tidak membolehkan YB mengatur strategi untuk memungkinkan konsistensi dalam perancangan?
Mengatur strategi, ya. Bahkan dalam buku ini saya ada sebutkan perancangan kita untuk melaksanakan Model Pendidikan Baharu seperti yang saya sebutkan dalam buku Generasi Yang Hilang. Buku ini dihasilkan selepas berlaku pandemik yang mana saya melihat bahawa suasana wabak itu menuntut daripada kita untuk melakukan permulaan yang baharu.
Maka, saya cadangkan perkara yang telah kita rancang dalam 20 bulan iaitu laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan.
Kalau kita lihat laporan itu sangat komprehensif dan juga cadangan yang berkaitan dengan Model Pendidikan baharu yang mementingkan pendidikan wajib 12 tahun, proses pembangunan dan menyuburkan potensi sejak daripada darjah satu sehingga persekolahan yang terakhir berdasarkan kompetensi data.
YB tidak lagi menjadi Menteri Pendidikan. Salah satu masalah kita adalah continuity. Apabila sekali air bah, sekali pantai berubah. Apa yang boleh YB buat?
Itu sebenarnya berkaitan isu struktur. Kita di Malaysia apa yang berlaku ketika saya masuk ke Kementerian Pendidikan, ada perkara yang saya kekalkan.
Contoh blueprint Pelan Pendidikan Negara kerana ia dirancang sehingga 2025, jadi segala elemen itu kita teruskan cuma kita tambah baik dan dengan datangnya laporan kajian dasar pendidikan negara itu berserta dengan Model Pendidikan Baharu adalah tambahan untuk memangkinkan dan memugar.
Apa yang berlaku selama ini ialah perubahan itu berlaku ketika di peringkat pelaksanaan. Peringkat pelaksanaan ini bukan melibatkan ahli politik sebaliknya pelaksana dasar.
Dalam tempoh 20 bulan itu memang singkat, tetapi saya nampak di mana kita boleh ubah suai.
Kita boleh ubah suai di peringkat pelaksana iaitu golongan di peringkat penjawat awam. Perlu ada penghayatan daripada mereka bahawa mereka berada di sana bukan sekadar menjalankan tugas sebagai penjawat awam tetapi memacu perubahan dan memastikan masa depan yang lebih baik.
Kita bercakap tentang ratusan ribu petugas iaitu para guru, pentadbir pendidikan dan sebagainya. Apakah mesej itu dapat kepada mereka sewaktu YB berada di situ?
20 bulan tak cukup. Saya pernah ketika berdialog dengan seorang profesor Universiti Malaya. Dalam komentar beliau di luar negara menyebut di waktu itu belasan bulan pemerintahan Pakatan Harapan.
Jadi, saya bertemu dengan beliau dan tanya dia. Saya kata ahli politik datang dan pergi begitu juga dengan kerajaan.
Tetapi, yang kekal adalah struktur, yang kekal adalah pelaksana dasar serta yang kekal adalah pegawai pentadbir dan sebagainya.
Jadi, kita kena pastikan tiada kekurangan dalam memenangi hati, memahamkan dan memastikan mereka menjiwai serta melakukan itu daripada naluri mereka tanpa paksaan. Tempoh 20 bulan itu terlalu singkat dan jika kita bawa contoh yang klasik adalah di Selangor dan Pulau Pinang.
Kita lihat bagaimana berlaku perubahan 2008, penentangan itu dalam penggal pertama daripada golongan pelaksana ini kerana dia rasakan mereka sudah selesa 50 tahun lebih waktu itu, tiba-tiba naik orang baharu nak buat perubahan dan dia tak nampak perubahan itu baik untuk dirinya kerana dia belum diyakinkan lagi.
Jadi, apa yang dilalui di Selangor dan di Pulau Pinang perlu dipelajari iaitu memenangi hati.
Kedua, memahamkan mereka dan ketiga meletakkan di dalam jiwa mereka bahawa mereka ini ejen perubahan. Ia kerana orang politik dan kerajaan datang dan pergi, tetapi mereka kekal.
Apa salahnya sistem pendidikan kita? Kita banyak mendapat kritikan orang buat perbandingan di antara sistem pendidikan dengan jiran kita dan sebagainya. Apa sebenarnya YB melihat masalah pendidikan di negara kita?
Ada banyak faktor dan untuk saya tunjukkan bahawa ini adalah satu-satunya sebab, kita akan bersikap tidak adil kepada pendidikan, negara dan rakyat kita sendiri. Saya lihat di Malaysia dan disebutkan dalam kedua-dua buku saya, antara masalah pendidikan kita adalah keengganan untuk melakukan perubahan penstrukturan.
Ia kerana perubahan penstrukturan memerlukan pemahaman. Sebab itu saya memberi tempoh untuk pelaksanaan Model Pendidikan Baharu itu pada tahun 2021.
Kita rancang pada tahun 2018 dengan segala input dan usaha memberi pemahaman kepada pelaksana dasar selain memenangi hati guru.
Mana yang lebih penting daripada segi struktur atau pemikiran?
Ia datang sekali. Ia tidak boleh dipisahkan.
Kita pun tahu kita ada pelan induk pendidikan, apa yang perlu YB lakukan hanya adalah untuk menambah baik sistem yang ada?
Sebab itu saya sebutkan tadi kita kekalkan blueprint yang ada, tetapi kita perbaiki. Sebab itu kita munculkan dengan hasil daripada libat urus seluruh rakyat yang terlibat dalam laporan jawatankuasa kajian dasar itu untuk dilakukan pada 2021. Pada 2021, ia untuk memangkinkan blueprint sehingga 2025.
Apabila berlaku pandemik, senggang itu seharusnya digunakan bagi membuat lonjakan tersebut.
Tetapi, malangnya peluang itu tidak diambil sebaiknya oleh mereka yang berkuasa dan mentadbir Kementerian Pendidikan pada hari ini.
Apakah YB telah melakukan secukupnya dalam 20 bulan itu untuk memungkinkan tahun 2021 itu berjaya sekiranya tiada berlaku perubahan dalam kerajaan pada 2020?
Tidak. 20 bulan kita memberikan segalanya daripada diri kita, tetapi itu tidak mencukupi. Ia perlu perjalanan berterusan kalau sepenggal itu ibarat marathonlah.
Selagi kita tak sampai, walaupun lima atau 10 kilometer kita tidak boleh kata dah beri secukupnya. Istilah secukupnya adalah sampai ke destinasi.
Pendidikan adalah sesuatu yang sangat rumit. Setiap orang mempunyai tafsiran dan pandangan serta harapan mereka sendiri. Tentu YB faham hakikat itu. Tetapi apa yang YB mahu daripada pendidikan?
Saya mahu daripada pendidikan untuk memugarkan kemanusiaan dalam jiwa setiap rakyat yang memungkinkan mereka menjadi warga bertamadun, yang boleh menggilap potensi dalaman mereka sehingga meletakkan nusa di mata dunia setaraf dengan negara lain.
Dalam bahasa mudah, saya ingin Malaysia setaraf dengan Jepun dalam bab pendidikan nilai. Setaraf dengan Finland dalam keguruan dan sekolah. Setaraf dengan Singapura dalam bab Matematik dan Sains. Setaraf dengan Jerman dalam Pendidikan TVET dan juga setaraf dengan Amerika dari segi kebebasan akademiknya.
Di mana pada penghujungnya. Saya meletakkan tahun 2030, orang tidak cakap pasal Finland, Singapura, Jepun tetapi mereka akan katakan lihat Malaysia, kita ikut contoh Malaysia.
Itu harapan yang sangat besar. YB, tetapi isunya yang masih lagi dibincangkan bahawa standard dan mutu pendidikan kita. Kenapa orang masih lagi bercakap seolah-olah standard atau mutu pendidikan tidak mencapai hasrat yang kita inginkan ?
Tan Sri, pentakrifan mutu pendidikan itu berbeza antara satu sama lain. Ketika saya berada di USJ, datang seorang mantan guru besar, beliau mengatakan bahawa tahap penguasaan Bahasa Inggeris kita lemah. Tidak seperti dahulu.
Saya pergi ke Sarawak, di sana mereka mengatakan bahawa kualiti pendidikan adalah kepada infrastruktur sekolah. Bila saya ke Sabah, mereka katakan tahap pendidikan yang tidak sekata kepada mereka yang berada di kawasan geografi tertentu.
Saya pergi ke Pahang, kualiti pendidikan yang dibincangkan ialah tiada setaraan pendidikan yang diterima oleh kelompok orang asli. Kemudian bila saya pergi ke Kuala Lumpur, pendidikan yang tidak diterima oleh kanak-kanak yang tidak berwarganegara.
Sebab itu, dia tidak ada kayu ukur. Masing-masing ada pendapat dan maaf saya katakan, kadang-kadang bagi orang yang elit, mereka merasakan bahawa dia paling tahu berkaitan pendidikan.
Walhal, kalau kita lihat, bagaimana nak berbicara soal Bahasa Inggeris kalau sekolahnya nak roboh? Kita nak katakan tentang tinggikan Matematik dan Sains, ya, kita setuju. Tetapi orang asli tahap pendidikannya ketinggalan.
Bukankah nampaknya macam antara dua darjat konsepnya. Masih lagi berkenaan sekolah nak roboh dan sebagainya?
Tan Sri tahu kenapa? Kerana pendidikan tidak tertumpu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sahaja. KPM hanya pelaksana. Ia terkait dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang sepatutnya menyediakan infrastruktur.
Baru-baru ini, keluar gambar orang pergi sekolah naik sampan, titi nak roboh dan jabatan mahu runtuh. Itu bukan kerja KPM, itu kerja KPLB, kerja kerajaan negeri. Bila ada anak OKU, itu kerja Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Jadi, bila sebut pendidikan, pendidikan adalah tanggungjawab semua. Tanggungjawab bersama. Sebab itu saya lihat, di penghujung 20 bulan saya, rupanya mahu lakukan perubahan pendidikan, ia bukan tugas KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Tetapi ia terletak kepada Perdana Menteri itu sendiri yang mesti tahu apa yang dikehendaki oleh negara dalam 10 atau 20 tahun akan datang dan seiring dengan Menteri Ekonomi.
Dan ia perlu kesepaduan Perdana Menteri, Menteri Ekonomi, Menteri Pendidikan, Menteri Luar Bandar, Menteri Kebajikan untuk melihat apa pelan pendidikan kita.
Apakah kita akan bercakap soal infrastruktur yang lemah, wifi di luar bandar, pelajar terpaksa naik perahu pada 20 tahun lagi?
Jikalau tahap integriti di negara kita di takuk ini dan kita masih lagi dipenuhi dengan kabinet buncit atau mengembung. Dengan golongan yang tidak menghayati aspirasi dan ke mana dibawa visi negara ini, mungkin bukan setakat 20, 30 tahun lagi pun mungkin kita akan berbicara seperti ini. Ini warisan 60 tahun yang lalu.
Tetapi pengkritik atau penganalisis pendidikan tidak melihat soal yang membabitkan dua darjat. Mereka akan melihat kayu ukur pendidikan dalam perbandingan dengan negara lain. Apa komen YB?
Saya tidak boleh nak salahkan orang. Tetapi kegagalan kita untuk melihat sesuatu secara keseluruhan. Orang yang membandingkan itu dan ini, mereka duduknya di bandar. Golongan elit. Mereka bukan daripada kampung.
Apakah kekecewaan yang paling besar sewaktu jadi Menteri Pendidikan?
Saya kecewa pada diri saya sendiri. Iaitu kerana saya tidak mampu untuk mempunyai kumpulan komunikasi yang baik untuk berkomunikasi dengan media, dengan rakyat dan juga dengan semua pihak tentang aspirasi yang cuba saya bawa dan akhirnya mencetuskan kepada polemik yang banyak.
YB, buku Memori Bukan Memoir: 20 Bulan Reformasi Pendidikan. Ada orang mengatakan bahawa buku ini adalah alasan untuk mewajarkan kegagalan YB sebagai menteri pendidikan. Apa sebenarnya tujuan YB tulis buku ini?
Saya tidak salahkan apa orang mahu kata. Masing-masing bebas untuk memberikan pandangan. Tetapi cukup saya katakan, orang itu tidak memahami tajuk dan tidak membaca keseluruhan.
Kalau dia membaca, dia tidak akan mengeluarkan pandangan tangkal dan buntu seperti itu. Malah tajuk ini telah mengatakan ini memori bukan memoir. Ini bukan tentang Dr Maszlee. Bukan juga tentang kegagalan dan sebagainya.
Ini cerita apa yang telah dilakukan oleh KPM, rakyat Malaysia, para guru, para pentadbir, kumpulan keluarga besar KPM dalam tempoh 20 bulan. Apa yang telah kami cuba lakukan, telah kami cuba capai dalam tempoh itu berserta dengan surat pekeliling, bukti dan sebagainya.
Banyak orang tertarik dalam beberapa bab dalam buku ini terutama bahagian yang menyebutkan tentang berani kerana benar, Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan kelemahan 1BestariNet. Nampaknya tiada penghujung kepada dua-dua kes ini. Dalam konteks YB pada ketika itu. Benda ini adalah satu yang sangat mencabar, tetapi apa penyelesaiannya?
Kita bukan sekadar tiada penghujung. Kita bakal menghadapi satu gelombang yang lebih besar malapetakanya. Itu hanya mengulangi dalam skala lebih besar. Ia akan mengulangi kegagalan 1Bestari dalam kerangka yang lebih besar.
Berkenaan dengan generasi yang hilang dalam konteks pelajar ekoran pandemik ini. Boleh YB huraikan sedikit?
Kita perlu lakukan great reset. Kita perlu lakukan pelan jangka masa panjang. Kita perlu akui bahawa kita berlakunya generasi yang hilang. Ia perlu melibatkan semua pihak seperti mana titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Parlimen yang lalu dan sehingga kini tidak dilakukan oleh KPM lagi.
Ketiga, paling penting ialah kita kena melihat suasana pendidikan masa mendatang, perlunya ada satu dorongan yang kuat untuk hibrid. Seterusnya, pendidikan STEM dan TVET perlu diperkasakan.
Bagi anak-anak yang kehilangan waktu belajar sampai dalam 200 hari setahun semasa kemuncak pandemik. Apakah usaha yang patut dilakukan bagi menyelamatkan mereka? Sebab kehilangan itu cukup luar biasa.
Kolaborasi semua pihak dengan menghayati konsep pendidikan tanggungjawab bersama. Bukan setakat KPM, KPT semata-mata. KPLB, KPWKM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semua individu perlu terlibat. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada sekolah dan guru semata-mata.
Apa masalah besar pendidikan pada hari ini?
Kita mempunyai kerajaan yang gagal mentadbir dan akhirnya pendidikan ikut sekali gagal.
Apa nasihat YB kepada Perdana Menteri kalau diberikan peluang.
Perdana Menteri memerlukan seorang Menteri Pendidikan yang baharu.
Klik di sini untuk terus membaca