KRISIS ekonomi di Sri Lanka merupakan satu bonus untuk para peniaga kereta terpakai.
Ini kerana bilangan kenderaan terpakai adalah berkurangan sekali gus menyebabkan harganya menjadi lebih tinggi daripada rumah di kawasan-kawasan perumahan yang bagus.
Negara itu mempunyai jumlah penduduk seramai 22 juta orang.
Namun, ia kini berada di ambang kemuflisan kerana masalah inflansi dan pihak pemerintah pula melarang kemasukan pelbagai barangan import yang tidak penting bagi menjimatkan dolar Amerika Syarikat (AS) yang diperlukan untuk membeli makanan, ubat-ubatan serta bahan bakar.
Bagaimanapun bagi pasaran kereta, larangan yang dilaksanakan selama dua tahun itu telah menjadikan pihak pemasang kenderaan baharu di kilang tidak dapat memasarkan kenderaan.
Ia juga menyebabkan pihak pembeli membayar harga yang dianggap sebagai antara yang tertinggi di dunia untuk kenderaan kompak dan kereta sedan.
Baru-baru ini, seorang bapa, Anthony Fernando menghabiskan masa hujung minggu bagi meninjau harga kereta untuk anak perempuannya di pinggir Colombo kerana beliau telah berusaha mencari sebuah kenderaan yang dijual dengan harga berpatutan sejak hampir setahun.
"Saya berfikir bahawa harga (kenderaan) akan turun," kata bapa yang berusia 63 tahun itu kepada AFP.
Menurutnya lagi, harga kereta kini berada di luar jangkauan kuasa beli pengguna biasa.
Kenderaan Toyota Land Cruiser yang berusia lima tahun ditawarkan dalam talian dengan harga lebih AS$312,000 (RM1,309,620).
Harga itu sudah mencukupi untuk membeli sebuah rumah di kawasan perumahan kelas menengah atau pangsapuri mewah baharu di pusat bandar.
Kenderaan lima tempat duduk Fiat berusia satu dekad dengan enjin rosak yang mungkin boleh digunakan untuk tujuan penjualan alat ganti telah disenaraikan dijual pada harga AS$8,250 (RM34,629) iaitu lebih daripada dua kali pendapatan tahunan di Sri Lanka.
Namun, Sarath Yapa Bandara yang merupakan pemilik sebuah pusat pengedaran kenderaan terbesar di ibu negara itu berkata: "Sebuah kereta dan rumah adalah simbol kejayaan. Itulah sebabnya ramai orang yang sanggup membeli walaupun dengan harga yang tinggi."
Memiliki kereta sudah menjadi keperluan di jalan-jalan yang sesak di Colombo yang mana rangkaian bas dan kereta api yang sibuk sentiasa bergelut dengan kesesakan.
Bilangan teksi juga menurun dengan mendadak dengan para pemandunya sanggup menjual teksi mereka untuk mendapatkan wang tunai malah mereka mengenakan tambang sebanyak dua kali ganda atau lebih tinggi berbanding sebelum ini.
"Anda mesti mempunyai kereta sendiri. Kami tidak dapat mengharapkan harga turun dalam waktu yang terdekat memandangkan keadaan ekonomi di negara ini," kata seorang lagi pembeli kenderaan, Udaya Hegoda Arachchi kepada AFP.
Pandemik Covid-19 telah menyebabkan Sri Lanka mengalami krisis pendapatan sama ada dari sektor pelancongan atau pengiriman wang asing dari luar negara.
Pada Mac 2020, pihak pemerintah negara itu meluaskan senarai pengimportan barang-barang lain termasuk kereta baharu dengan tujuan untuk mengelakkan aliran keluar mata wang asing dari negara ini.
Namun, ia tidak dapat menghentikan aliran keluar dolar AS sebaliknya menyebabkan penduduknya bergelut untuk mendapatkan barang-barang yang kritikal.
Penjual-penjual makanan telah mencatu beras, restoran ditutup kerana mereka tidak dapat mencari gas memasak dan loji-loji pengeluar tenaga pula mengalami masalah kekurangan wang dan tidak mampu membeli minyak sehingga menyebabkan terputusnya bekalan elektrik manakala para petani pula mengalami masalah kekurangan baja.
Dalam pada itu, agensi penarafan pula telah memberi amaran bahawa Sri Lanka mungkin tidak lama lagi gagal untuk melunaskan hutangnya walaupun pemerintah menyatakan ia tetap akan memenuhi komitmennya dengan berusaha untuk merundingkan semula hutang dengan China.
Larangan import itu juga menyebabkan alat-alat ganti kereta mengalami isu kekurangan bekalan yang bermaksud bahawa para pemandu berisiko berdepan masalah kenderaan mereka tersadai akibat kerosakan.
Seorang pemilik bengkel, Ravi Ekanayake memberitahu AFP bahawa pihaknya menyelesaikan urusan kos pembaikan yang tidak mampu dibayar oleh pelanggan dengan meminta mereka menukarkan kereta lama dan membeli kenderaan baharu.
"Namun, bahagian alat ganti yang menimbulkan kebimbangan. Sama ada anda akan terperangkap dengan kereta lama tanpa alat ganti atau atau anda tidak mempunyai wang untuk beralih dengan membeli kereta baharu," katanya.
Seorang penganalisis kewangan, Murtaza Jafferjee menyatakan bahawa masalah harga tinggi juga berlaku disebabkan wang dicetak secara berlebihan oleh bank pusat yang mengalami masalah kekurangan wang tunai.
Klik di sini untuk terus membaca