SETELAH mengalami dua kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak tahun lalu, pelaksanaan PRN Johor dalam tempoh 60 hari ini sewajarnya menjadi medan Pakatan Harapan (PH) menebus maruah dan mengembalikan keyakinan rakyat.
Dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus ghairah mengorak langkah menawan negeri kedua selepas Melaka, PH dibarisi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sepatutnya sudah giat merangka strategi bagi membendung asakan lawan.
Inisiatif awal daripada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan semua parti pembangkang - termasuk Parti Warisan (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) dan Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) - disatukan di bawah khemah besar pembangkang bagi menamatkan 'kegilaan pilihan raya' oleh UMNO dan BN, sebenarnya wajar dianggap satu perkembangan positif.
Ditambah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Johor Bahru sendiri kemudiannya mencadangkan pembentukan satu gabungan Muafakat Raya Johor (MRJ), gabungan kerjasama parti-parti pembangkang dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghukum UMNO dan BN yang dikatakan semakin 'angkuh'.
Sepatutnya Anwar dan PH pada saat ini sudah semakin hampir menjumpai solusi ajaib bagi menumbangkan UMNO dan BN menjelang pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun, keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH bagi PRN Johor yang diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Rabu, mencetuskan kejutan besar.
Anwar dalam satu kenyataan media (yang terpaksa dikemaskini beberapa kali) mengumumkan keputusan koalisi itu untuk menggunakan dua logo berbeza bagi bertanding dalam PRN Johor.
Jelas Anwar, PKR memilih menggunakan lambang parti mereka, manakala Amanah dan DAP kekal dengan lambang pilihan raya PH.
"Lebih menarik, terdapat kemungkinan besar PKR dan PH akan bertembung di beberapa kerusi DUN di Johor seperti DUN Layang-Layang meskipun kawasan itu merupakan kerusi tradisi DAP.
"Saya turut yakin isu penggunaan logo dan kerjasama PH akan terus diheret sehingga PRU15 dan tidak mustahil PKR dan PH akan membawa haluan masing-masing selepas ini," ujar Hisommudin lagi.
TAKTIKAL Pandangan Hisommudin bagaimanapun tidak dipersetujui Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menjelaskan isu penggunaan lambang pilihan raya hanyalah perkara taktikal yang tidak mencerminkan hubungan erat di antara parti-parti dalam PH.
Menegaskan PKR tidak akan bertembung kerusi pilihan raya dengan parti-parti dalam PH, bekas Ahli Parlimen Batu itu turut menegaskan keutamaan parti adalah memastikan usaha pembentukan gabungan pembangkang besar dapat dicapai.
"Pembentukan khemah besar pembangkang anti UMNO juga perlu secara taktikal melibatkan kerjasama PN. Ini kerana kalau kita betul-betul menyusun baik semua parti anti UMNO di pihak pembangkang, saya yakin UMNO dan BN mampu ditumbangkan pada PRN Johor.
"Usaha ini penting kerana UMNO dan BN pastinya akan menuntut PRU15 diadakan segera sekiranya mereka menang PRN Johor. Menumbangkan mereka pada PRN Johor bererti menghentikan sementara kegilaan politik negara," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca