SHAH ALAM - Tiada yang mustahil buat Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan blok pembangkang bagi menghadapi 'kesombongan' UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak. Ahli Jawatankuasa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada yang mustahil buat Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan blok pembangkang bagi menghadapi 'kesombongan' UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, cadangan itu bagaimanapun mestilah berlandaskan syarat parti-parti pembangkang berkenaan tidak ekstrem dan bersedia meninggalkan DAP sekiranya mereka berada di dalam koalisi Pakatan Harapan (PH).

Beliau secara peribadi berpandangan segala kemungkinan boleh berlaku dalam politik, lebih-lebih lagi UMNO dilihat semakin rakus untuk mengenepikan Pas daripada kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada saat mereka kembali menjadi kuat dan memimpin pentadbiran Putrajaya.

"UMNO sewajarnya menyedari sewaktu mereka jatuh teruk selepas kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), parti itu kembali memenangi banyak pilihan raya kecil disebabkan bantuan Pas.

"Kalau ada cadangan untuk mengajak blok pembangkang bersatu dengan Pas dan PN pun tidak mustahil dengan Pas tiada masalah mencari kawan baharu yang tidak ekstrem.

"Sebagai contoh, jika Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendak bekerjasama dengan Pas pun boleh, dengan syarat mereka tidak ekstrem dan bersedia meninggalkan DAP," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Johor Bahru yang mengesyorkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) melibatkan PN dan semua parti pembangkang yang bertanding dalam PRN Johor ditubuhkan bagi tujuan menumbangkan UMNO dan BN.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan MRJ itu terdiri daripada Bersatu, PN, PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

BENAM KLUSTER MAHKAMAH

Ditanya mengenai status perbincangan UMNO-Pas bagi menghadapi PRN Johor, Mahfodz mengakui tawaran empat kerusi DUN dikemukakan kepimpinan UMNO kepada parti itu adalah tidak wajar.

Sebaliknya, Ketua Sidang Assabiqun Pas Pusat itu berpandangan UMNO sepatutnya memberi laluan kepada Pas bertanding sekurang-kurangnya enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang Amanah sebelum ini.

"Bagaimanapun, perbincangan dengan UMNO dan PN masih berlangsung ketika ini dengan Pas masih berharap ketiga-tiga parti Melayu dan Islam bersedia bekerjasama untuk memastikan kemenangan ummah di Johor lebih kukuh.

"Namun, dengan masalah UMNO dan Bersatu nampak tidak boleh bersatu dan BN lebih berminat bergerak solo, Pas mungkin tiada pilihan lain selain kekal dengan PN," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman turut menyokong kerjasama PN bersama blok pembangkang dalam menghadapi keangkuhan dan kegopohan UMNO-BN pada PRN Johor.

"Fokus seluruh rakyat khususnya pengundi Johor wajar disatukan bagi membenam 'kluster mahkamah' serta pihak yang mendukung golongan itu dalam UMNO.

"Yang mempersulitkan rakyat di saat masalah penularan varian Omricon dan ekonomi lembap adalah tindak-tanduk pemimpin UMNO yang terlalu berpolitik," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca