BARISAN Nasional (BN) hanya boleh ditewaskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika semua parti pembangkang dan Perikatan Nasional (PN) bergabung dan bertanding di bawah satu 'khemah besar'. Gabungan itu bukan hanya perlu disertai oleh... Klik di sini untuk terus membaca

BARISAN Nasional (BN) hanya boleh ditewaskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika semua parti pembangkang dan Perikatan Nasional (PN) bergabung dan bertanding di bawah satu 'khemah besar'.

Gabungan itu bukan hanya perlu disertai oleh PN dan Pakatan Harapan (PH) sahaja, malah wajib anggotai Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan parti lain yang berminat bertanding dalam PRN Johor nanti.

Strategi seumpama itu sudah terbukti dan pernah digunakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika beliau mengetuai Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada parti DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Warisan yang berjaya menewaskan BN, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Malah, tiada siapa menyangka Dr Mahathir yang menjadi Pengasas dan Pengerusi Bersatu sanggup 'berlutut' dan menurun egonya untuk mengajak musuh tradisinya dalam politiknya termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Sing dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berganding bahu demi menjatuhkan kerajaan BN pimpinan, Datuk Seri Najib Razak.

BUKAN BN KUAT TAPI...

Penganalisis politik dan Geostrategis, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, BN boleh meraih kemenangan dalam PRN Melaka baru-baru ini bukan kerana mereka kuat tetapi susulan kelemahan gabungan parti pembangkang termasuk PN dan PH yang memilih untuk berpecah dan bertanding dengan menggunakan logo parti masing-masing.

Justeru tanpa berselindung, Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berpandang parti pembangkang dan PN tidak boleh bertanding secara bersedirian dan menggunakan logo sendiri serta bertembung antara satu sama lain dalam pilihan raya akan datang termasuk PRN Johor nanti.

"Sebab itulah kita tengok PH kalah teruk dalam PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini. Oleh itu PH perlu melakukan sesuatu supaya parti lain yang baharu termasuk Pejuang, Muda dan Warisan dapat bergabung di bawah satu payung atau khemah besar.

"Jika PN turut menyertai gabungan dan kerjasama dengan parti pembangkang terutamanya PH maka ini akan menyukarkan dan menyempitkan ruang untuk BN/UMNO mencipta kemenangan dalam PRN Johor nanti," katanya ketika kepada wartawan Sinar Premium pada Selasa.

AZMI HASSAN

Berikutan perpecahan berlaku, Azmi menegaskan pembangkang termasuk PH dan PN dilihat sebagai calon 'underdog' dan perlu bekerja keras untuk menarik sokongan pengundi terutama golongan muda berusia 18 hingga 21 tahun.

"Jika mereka PH dan PN tidak bersatu dalam PRN Johor ini tiada guna juga biarpun adalah lebih kurang 750,000 pengundi baru berusia antara 18 hingga 21 tahun yang baru pertama kali mengundi," katanya.

Azmi juga melihat pelbagai isu nasional terutama kes mahkamah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang hangat diperkatakan sekarang akan mempengarusi corak dan pola sokongan pengundi khususnya generasi muda berbanding apa berlaku di Sarawak, baru-baru ini.

"PRN Johor sebenarnya menjadi ujian pertama bagi BN/UMNO untuk bertanding secara solo dan bagaimana isu nasional akan mempengaruhi sentimen pengundi.

"Malah, saya menjangkakan kes Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi akan dimainkan oleh pemimpin PH dan PN semasa kempen PRN Johor nanti," katanya.

Dalam pada itu, Azmi juga tidak menolak kemungkinan BN boleh menang lebih 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika PH gagal memujuk Pejuang dan Muda untuk berada dalam khemah sama, manakala PN kekal dengan pendirian mahu terus bertanding secara solo pada PRN Johor kali ini.

"Keputusan PRN Johor bukan bergantung kepada faktor kekuatan BN, sebaliknya, ia bergantung kepada seteru atau lawan UMNO/BN sama ada berpecah atau bergabung di bawah satu bumbung sama," katanya.

BUANG EGO

Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin, ketika ditemui wartawan Sinar Premium, pula berpandangan setakat ini tiada perbincangan rasmi dalam kalangan pucuk pimpinan tertinggi PN dan PH ke arah pembentukan 'khemah besar' bagi menewaskan BN/UMNO dalam PRN Johor nanti.

Bagaimanapun, Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegubard menjelaskan secara peribadi sudah ada cakap-cakap dan perbualan antara penyokong PN dan PH bagi mengerakkan usaha ke arah membentuk kerjasama atau 'khemah besar' bagi menghadapi PRN Johor.

"Ini kerana ramai penyokong blok pembangkang dan PN melihat, UMNO kini berada dikemuncak kesombongan dan berasa terlalu kuat selepas menang 21 daripada 28 kerusi DUN dalam PRN Melaka, baru-baru ini.

"Hakikatnya kemenangan BN adalah antara lain berpunca daripada peratusan keluar mengundi yang rendah. Mereka enggan keluar mengundi kerana pelbagai faktor termasuk menyampah dengan situasi politik negara, sibuk untuk mencari rezeki, pengundi luar tidak balik.

"Faktor paling utama ialah mereka bimbangkan keselamatan diri kerana Covid-19 masih merebak sehingga mereka takut untuk keluar mengundi," katanya.

Badrul Hisham Shaharin

Chegubard menjelaskan cakap-cakap mengenai keperluan untuk membentuk 'khemah besar' untuk menewaskan UMNO dalam PRN Johor juga timbul kerana ada ramai rakyat di bawah sana bimbang negara akan kembali diperintah oleh golongan 'kluster mahkamah' jika BN berkuasa semula di peringkat negeri dan kerajaan pusat.

"Susulan itu timbul usaha untuk menyatukan semua kekuatan politik selain dari UMNO atau "Asalkan Bukan UMNO' sebagai satu wadah dalam kalangan pengundi biasa di Johor sekarang ini," katanya.

Bagaimanapun, kesimpulannya pembentukan 'khemah besar' antara parti pembangkang dan PN sukar direalisasikan kerana pemimpin parti berkenaan mempunyai ego dan agenda tersendiri, selain masih berdendam antara satu sama lain.

Sebagai contoh pemimpin Pas masih berdendam dengan Amanah dan DAP, manakala DAP enggan menerima Bersatu selepas kejatuhan kerajaan PH, pada 24 Februari 2020.

Jadi semua pemimpin tertinggi PH, PN dan parti pembangkang lain perlu membuang ego dan dendam antara satu sama lain serta kembali ke meja rundingan untuk membincangkan strategi dan pembahagian kerusi serta mengelak pertembungan sesama sendiri jika mereka mahu menewaskan BN/UMNO pada PRN Johor nanti.

Sebaliknya, jika PN, PH dan parti pembangkang lain masih berdegil untuk bertanding solo dan bertembung sesama sendiri maka UMNO tidak perlu bekerja keras untuk menang lebih dua pertiga atau lebih 37 daripada 56 kerusi DUN dipertandingan dalam PRN Johor kali ini.

Sebagai perbandingan Sinar Premium membuat analisis bagaimana keputusan PRN Melaka seandainya 'khemah besar pembangkang menggabungkan PN dan PH.

Hasil kiraan keputusan PRN Melaka pada November lalu mendapati gabungan undi PN dan PH akan membolehkan mereka menang sehingga 21 kerusi DUN sekaligus meninggalkan BN hanya menang di tujuh kerusi di negeri Hang Tuah.

Senarai 22 kerusi yang boleh dimenangi hasil gabungan undi PN dan PH termasuklah Tanjung Bidara, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Bukit Katil.

Gabungan khemas besar itu juga akan menang di Klebang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir, Telok Mas, Bemban, Rim, Serkam dan Sungai Rambai.

Bagaimanapun undi BN terlalu tinggi, sehinggakan gabungan undi PN dan PH masih gagal menang di Kuala Linggi, Ayer Limau, Lendu, Tabong Naning, Ayer Molek, Asahan dan Merlimau.

Infografik kiraan analisis jumlah undi PN dan PH pada PRN Melaka jika digabungkan.
Infografik kiraan analisis jumlah undi PN dan PH pada PRN Melaka jika digabungkan.
Infografik kiraan analisis jumlah undi PN dan PH pada PRN Melaka jika digabungkan.
Klik di sini untuk terus membaca