SEWAKTU kecil, Datuk Dr Ameer Ali Mydin memasang impian untuk menjadi seorang ahli kimia. Itu adalah kerjaya yang amat diimpikannya.
Cintanya pada bidang sains itu mula berputik sejak bangku sekolah lagi, sehinggakan beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan kimia di Western Michigan University di Amerika Syarikat pada 1979.
Sewaktu zaman mudanya, bidang perniagaan berkenaan bukanlah kerjaya yang diminati oleh anak kelahiran Pulau Pinang yang kemudiannya membesar di Kelantan itu.
Namun di sebalik segulung ijazah sebagai graduan Sarjana Muda Sains Kepujian Kimia, aturan ALLAH dalam perjalanan Ameer Ali bergelar ahli perniagaan sungguh indah.
Walaupun bercita-cita terjun dalam bidang kimia, namun sebaik tamat pengajian, rezeki kerjaya Ameer Ali bermula sebagai pegawai bank sehinggalah akhirnya beliau dinaikkan pangkat bergelar pengurus di Arab Malaysian Merchant Bank(kini AmBank).
Bak kata peribahasa, ke mana tumpahnya kalau bukan ke nasi.
Dengan sumber pendapatan yang semakin stabil dan ilmu perbankan selama hampir 10 tahun, Ameer Ali kemudian mendapat inspirasi untuk meneruskan legasi perniagaan yang diusahakan ayahnya.
Darah 'bisnesman' yang bermula daripada ayahnya, Mydin Mohamed Ghulam Hussein, rupanya turut mengalir kuat dalam diri Ameer Ali.
Sewaktu tinggal di Kelantan, bapa Ameer Ali berniaga secara kecil-kecilan di kaki lima sebagai sumber kewangan keluarga.
Bapanya menjual pelbagai jenis barangan runcit seperti kain baju, pengikat rambut dan jam tangan menerusi konsep dua barang dengan satu harga iaitu RM2 hingga RM5 atau RM10 di kaki lima di Kota Bharu.
Kemudiannya setelah perniagaan mendapat penerimaan pelanggan, pada tahun 1957, bapanya membuka kedai runcit pertamanya di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu yang menjadi asas kepada penubuhan jenama bisnes Mydin sehingga ke hari ini.
Kemudiannya, perniagaan itu dilebarkan ke Terengganu melalui cawangan pertama yang diusahakan oleh abang Ameer.
"Pada tahun 1989, barulah saya mula bertatih pula membuka sebuah kedai kecil seitar 800 persegi di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Tapi rupanya bukanlah macam hypermarket sekarang. Kemudian barulah bisnes makin berkembang dari satu kedai satu kedai.
"Syukur Alhamdulillah sehingga kini, kita mempunyai 66 kedai di seluruh negara sekarang," katanya dalam temu bual Eksklusif bersama Sinar Premium baru-baru itu.
KISAH MINYAK ATAR
Namun, perjalanan membina empayar Mydin bukanlah seindah dan semudah disangka. Ia juga bukanlah berlaku dalam sekelip mata.
Tahun 2006 menjadi detik keramat dan 'turnings point' atau titik perubahan bagi Mydin melebarkan empayar perniagaan borong dan peruncitan apabila membuka hypermarket pertama di Subang Jaya, Selangor dengan modal sendiri.
"Biasalah semasa mahu memulakan Mydin ini memang banyak cabaran dihadapi oleh saya sama seperti peniaga Acheh yang membuka kedai runcit secara kecil-kecilan sekarang.
"Apabila buka cawangan pertama di Jalan Masjid India Kuala Lumpur tidak susah sangat kerana modalnya kecil. Tetapi apabila mula membuka hypermarket pertama di Subang Jaya saya menghadapi masalah modal pusingan kerana sukar mendapatkan pinjaman daripada bank," kata Ameer Ali yang mempunyai tujuh orang adik beradik.
Malah ada pegawai bank yang mendakwa Ameer Ali melakukan kerja gila apabila mahu membuka hypermarket Mydin di sebelah sebuah lagi pasar raya terkenal iaitu Giant di Subang.
"Inilah yang dihadapi kebanyakan peniaga barang runcit daripada bersaiz kecil hingga besar termasuk Mydin iaitu sukar mendapatkan pembiayaan daripada bank dan institusi kewangan sekarang kerana dikategorikan sebagai perniagaan berisiko tinggi mengalami kerugian biarpun kerajaan memaklumkan bank sedia menawarkan pinjaman.
"Bank sukar memberikan pinjaman kerana mereka kurang faham mengenai situasi perniagaan sekarang lebih-lebih lagi sekarang susulan pandemik Covid-19 dan banjir mereka kata mengklasifikasikan perniagaan peruncitan sebagai berisiko tinggi. Jadi bank takut mahu memberi pinjaman kepada peniaga," kongsi ahli perniagaan berumur 66 tahun itu.
Walaupun suatu ketika dahulu, Ameer Ali tidak pernah terfikir untuk terjun dalam bidang perniagaan, namun kini beliau berbangga dan berbahagia dengan jalan rezeki yang dipilihnya.
"Saya tidak pernah menyesal atau berniat untuk berpatah balik kerana saya kini meneruskan legasi bapa yang sudah menjangkau lebih 65 tahun," ungkapnya.
Malah, sebagai bukti legasi ditinggal oleh bapanya masih diteruskan, Ameer Ali turut mengekalkan penjualan produk kegemaran bapanya iaitu minyak atar selaku salah satu produk wajib dijual di setiap pasar raya Mydin di seluruh negara.
"'Dulu bapa saya hanya menjual pin baju, ikat rambut dan pakaian di tepi kaki lima tetapi perlahan-lahan, akhirnya kita membuka kedai dan pasar raya. Dan kini kita menjual banyak benda seperti pakaian, makanan, alat tulis dan sebagainya dengan harga berpatutan dengan sasaran jualan kita lebih kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan M40," katanya.
Bercerita mengenai golongan berpendapatan rendah atau B40, Ameer Ali mengakui kerja-kerja amal menolong orang susah memang sangat dekat di hatinya dan dilakukan dengan pelbagai cara.
Sebab itulah katanya, pasar raya Mydin tidak pernah mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sesuka hati biarpun barangan berkenaan memang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.
"Orang ramai suka membeli belah di Mydin kerana kita menawarkan harga dengan kadar harga berpatutan. Jika berlaku kenaikan harga, Mydin bukan tidak menaikkan harga tetapi kita akan pastikan ia masih berpatutan.
"Saya berharap apabila kita membantu orang ramai ketika susah mereka akan kekal bersama Mydin tanpa kira waktu susah dan senang," katanya.
Malah, bagi membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan ketika ini Ameer Ali menjual lebih 200 jenis kopi di pasar raya Mydin.
BANTU MANGSA BANJIR
Ditanya mengenai perasaannya apabila melihat keadaan mangsa banjir di Sri Muda baru-baru ini, Ameer berkata, beliau sentiasa berdoa supaya tidak berlaku banjir besar seperti di Sri Muda dan Hulu Langat baru-baru ini kerana menyebabkan ramai penduduk mengalami kerugian beratus ribu ringgit.
"Sebagai orang Kelantan kita memang selalu tengok banjir dan suka bermain air tetapi apabila melihat apa berlaku seperti di Taman Sri Muda memang teruk sangat bukan hanya Mydin tetapi semua orang alami kerugian.
"Bagaimanapun dalam perniagaan ini kita tengok dalam bencana alam seperti banjir ini apa yang boleh kita jual bukan kerana mahu mengaut keuntungan semata-mata tetapi untuk membantu dan memenuhi keperluan masyarakat setempat.
"Kita bukan sahaja kena cepat menghantar bantuan pelbagai barang keperluan malah kena cepat tukar produk dijual di Mydin dengan meletakkan barangan seperti baldi, penyapu, sabun dan sentiasa kena tukar mengikut keadaan dan situasi semasa.
"Malah, seperti sedia maklum di Taman Sri Muda air naik melimpah melebihi 20 kaki dan terputus bekalan makanan sehingga banyak premis perniagaan termasuk Mydin sendiri dipecah masuk dan ada yang mengambil barang keperluan harian. Jadi apa yang kita buat sesiapa yang mengambil barang makanan kerana susah dan tidak cukup makanan kita halalkan sahaja kerana memerlukannya.
"Tetapi jika mereka mencuri barang lain itu memang salah jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang," katanya.
Tiga perkara yang orang tidak tahu tentang Ameer Ali
1. Boleh pandu lori
Bergelar tauke besar dan jutawan, tidak bermakna kerjanya hanya di pejabat. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Ameer Ali tidak kekok untuk memandu lori dan memiliki Lesen Memandu Kenderaan Barang-Barang (GDL).
Malah, beliau bukan hanya menggunakan lori lima tan berkenaan untuk mengangkut pelbagai barangan yang dijual ke pasar raya Mydin di Jalan Masjid India, sebaliknya ia adalah nadi pengangkutan utama keluarganya ke sana sini termasuk anaknya pergi balik ke sekolah setiap hari.
Justeru itu, tidak hairanlah jika beliau sendiri memandu lori untuk menghantar pelbagai bantuan kepada mangsa banjir ketika bah besar melanda Kelantan pada 2014.
2. Kahwin dengan wanita yang tepat
Akui Ameer Ali, jatuh bangun adalah adat dalam bisnes. Tapi dalam susah dan senang itu ahli perniagaan perlu ada sokongan yang kuat di belakang.
Dan individu yang paling terbaik tidak lain dan tidak bukan ialah seorang isteri.
Kerana itu, beliau sangat menghargai kesetiaan suri dalam hidupnya iaitu, Datin Dr Siti Hawa Mohd.
"Saya menghargai sokongan daripada orang rumah (isteri) saya, (Datin Dr Siti Hawa Mohd) kerana tanpa beliau sukar untuk saya berjaya. Sebagai usahawan berjaya pesanan saya, kita perlu kahwin dengan wanita yang tepat dan sentiasa memahami serta sentiasa memberi sokongan sama ada kita susah dan senang," katanya.
3. Fasih bercakap dialek Kelantan dan gemar nasi berlauk
Biarpun dilahirkan di Pulau Pinang, namun Ameer Ali mendedahkan dia sebenarnya fasih 'kecek Kelate' dan gemar makan nasi belauk selain roti canai.
"Sebenarnya ramai tidak tahu saya ni pandai 'kecek Kelate' dan suka make nasi belauk sebab saya duduk (tinggal) di sana sejak berusia setahun selepas berhijrah bersama keluarga dari Pulau Pinang," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca