SHAH ALAM - Pakar ekonomi menjangkakan pinjaman tidak bercagar berjumlah RM2.5 bilion yang diberikan kepada Genting Hong Kong oleh tiga bank Malaysia tidak akan dapat dipulangkan kembali susulan daripada pembubaran syarikat pengendali kapal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi menjangkakan pinjaman tidak bercagar berjumlah RM2.5 bilion yang diberikan kepada Genting Hong Kong oleh tiga bank Malaysia tidak akan dapat dipulangkan kembali susulan daripada pembubaran syarikat pengendali kapal persiaran tersebut.

Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Adilah Azhari berkata, dalam isu tersebut, keupayaan pembayaran balik hutang itu bergantung kepada jumlah kecairan aset sesebuah syarikat.

Jelasnya, proses pembayaran balik itu juga akan diutamakan terhadap pinjaman bercagar sebelum diberikan kepada pinjaman tidak bercagar.

"Hutang tidak bercagar sememangnya lebih berisiko kerana tuntutan ke atas aset hanya dilunaskan selepas hutang bercagar.

"Jadi kadang-kadang pembayaran balik pinjaman bercagar pun tidak mencukupi sebab jumlah aset yang dicairkan itu tidak cukup untuk menampung pembayaran balik yang diperlukan.

"Jadi hutang yang tidak dikembalikan itu berpotensi untuk menjadi hutang lapuk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Straits Times Singapura baru-baru ini melaporkan tiga bank Malaysia iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB dan RHB Bank Bhd merupakan antara beberapa pemiutang tidak bercagar utama bagi Genting Hong Kong, dengan gabungan pinjaman berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Sehubungan itu, media melaporkan bahawa keuntungan tiga bank Malaysia termasuk Maybank, dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong ekoran pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Adilah berkata, ketiga-tiga bank terbabit sememangnya dijangka menghadapi peningkatan terhadap tahap kadar pinjaman terjejas kasar (GIL) masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu tersebut berkemungkinan tidak akan menjejaskan daya tahan institusi kewangan tersebut kerana setiap bank yang beroperasi lazimnya menyediakan peruntukan untuk menangani hutang lapuk.

"Tahap GIL bank-bank seperti Maybank (1.93 peratus), CIMB (3.4 peratus) dan RHB (1.32 peratus) pada 2021 adalah rendah, tetapi dijangka meningkat susulan kes Genting Hong Kong.

"Namun jika berlaku sedikit peningkatan, bank masih boleh dikira sebagai berdaya tahan terutama Maybank dan RHB kerana tahap GIL adalah di bawah dua peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pembubaran Genting Hong Kong dijangka hanya akan memberi impak negatif yang minimum terhadap keuntungan ketiga-tiga bank tersebut.

"Jumlah untung sebelum cukai bagi ketiga-tiga bank berkenaan pada 2020 adalah sekitar RM12.8 bilion dan kemungkinan untung sebelum cukai pada 2021 bagi bank tersebut akan meningkat lebih tinggi.

"Kerugian RM2.5 bilion ini pula akan menyebabkan kemungkinan untung 2021 terjejas sekitar 15 peratus, kecuali jika bank mendapat sedikit pampasan hasil penjualan aset Genting Hong Kong apabila syarikat dilupuskan,” ujarnya.

Ahmed Razman turut menjelaskan bahawa setiap bank sememangnya sentiasa terdedah kepada risiko luar jangka ketika memberikan pinjaman kepada syarikat perniagaan dan kesan pandemik merupakan antara salah satu daripadanya.

Klik di sini untuk terus membaca