[MUKADIMAH] Kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Sarawak tahun lalu, seharusnya menjadi pengajaran kepada koalisi pembangkang itu untuk kembali bangkit.
Usai Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan dengan PRN negeri itu bakal dilaksanakan dalam masa terdekat, PKR dan PH perlu menebus maruah bagi membendung keghairahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus menuntut pilihan raya.
Inisiatif awal Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan semua parti pembangkang disatukan di bawah khemah besar pembangkang bagi menamatkan 'kegilaan pilihan raya' oleh UMNO dan BN, wajar dianggap satu perkembangan positif.
Namun, apabila Majlis Presiden PH memutuskan PH dan PKR akan menggunakan dua lambang pilihan raya berbeza bagi menghadapi PRN Johor, 1001 persoalan kini bermain di fikiran semua pihak.
Adakah PKR dan PH yang masih dianggotai Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sudah membawa haluan masing-masing? Atau persoalan lebih penting, adakah PH kini diibaratkan 'retak menanti belah'?
Menjawab persoalan 'panas' itu, wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN berkesempatan menemuramah Ketua Penerangan PKR, DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN menerusi segmen 'Di Sebalik Isu'.
SINAR PREMIUM (SP) : Apakah justifikasi Pakatan Harapan (PH) dan PKR menggunakan dua lambang pilihan raya berbeza pada PRN Johor? Adakah satu 'testing ground' bagi menghadapi PRU15 atau bakal membawa haluan sendiri?
SHAMSUL ISKANDAR (SI) : Jika kita soroti sejarah PH, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), semua parti dalam koalisi itu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu menggunakan lambang PKR dan kita memperoleh kemenangan besar.
Kemudiannya pada PRN Sabah tahun 2020, PKR kekal menggunakan lambang parti sendiri, manakala Amanah dan DAP menggunakan lambang Parti Warisan (Warisan). Seterusnya pada PRN Melaka, semua parti dalam PH bersepakat menggunakan lambang pilihan raya koalisi itu.
Manakala pada PRN Sarawak baru-baru ini, PKR, DAP dan Amanah memutuskan untuk menggunakan lambang pilihan raya parti masing-masing.
Akhir sekali pada PRN Johor, PKR memutuskan untuk menggunakan lambang parti sendiri, manakala DAP dan Amanah kembali mahu menggunakan lambang pilihan raya PH.
Satu benda yang konsisten sehingga kini, tidak kira logo (lambang) pilihan raya apa pun yang PH guna, permuafakatan dalam kalangan parti-parti koalisi itu paling penting dan tetap kukuh. Sebagai buktinya, pada setiap PRU dan PRN, PH berjaya mewujudkan pertembungan satu lawan satu dengan parti blok kerajaan.
Bagi saya, tiada masalah sekiranya PKR menggunakan lambang pilihan raya sendiri pada PRN Johor kerana lambang parti kami sudah digunakan pada beberapa pilihan raya.
Lebih penting, strategi penggunaan lambang pilihan raya di setiap negeri adalah berbeza memandangkan penerimaan rakyat terhadap setiap lambang digunakan tidak sama.
SP: Jadi, adakah Datuk Seri yakin penggunaan lambang PKR lebih diterima rakyat Johor berbanding lambang pilihan raya PH?
SI: Perlu difahami, fokus pengundi bagi kawasan ditandingi PKR pada PRN Johor adalah amat berbeza dengan kawasan ditandingi Amanah dan DAP. Di negeri Johor, PKR dijangka bertanding di kawasan kerusi DUN marginal, sebilangan kerusi luar bandar, pinggir bandar dan kerusi campuran.
Justeru, dalam konteks negeri Johor, kami percaya lambang PKR agak memberikan kelebihan kerana ia sudah lama digunakan sejak PRU tahun 2008 lagi. Lebih penting, ia lebih dikenali dan dekat dengan penduduk negeri Johor.
Perkara lebih penting adalah isu penggunaan lambang pilihan raya dalam kalangan parti-parti dalam PH sudah diselesaikan. Oleh itu, setiap parti termasuk PKR boleh menfokuskan isu dan agenda yang kita ingin bawa pada PRN Johor.
Tentunya dalam hal ini membuktikan PH mengamalkan kaedah paling fleksibel untuk menentukan strategi penggunaan lambang pilihan raya. Paling penting setiap kerusi ditandingi tidak berlaku pertindihan.
SP: Difahamkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu telah mengumumkan keputusan pembahagian kerusi pilihan raya bagi PH bagi menghadapi PRN Johor dengan PKR dan Amanah bakal bertanding 20 kerusi bagi setiap parti, manakala DAP bertanding 16 kerusi.
Bagaimana PKR dan PH hendak melaksanakan inisiatif khemah besar parti pembangkang dengan bekerjasama bersama Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda), Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) dan Warisan sekiranya pembahagian kerusi sudah dimuktamadkan?
SI : Ya betul. PKR dan PH telah memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi pilihan raya bagi PRN Johor dengan PKR dan Amanah masing-masing akan bertanding 20 kerusi. Manakala baki 16 kerusi lagi akan ditandingi DAP daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor.
Mengenai inisiatif pembentukan khemah besar pembangkang, kalau ada tuntutan atau permintaan daripada parti-parti pembangkang untuk bersama kami, Presiden PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia memanggil mereka untuk membentuk muafakat pembangkang.
Sudah pasti sebelum berbincang dengan parti-parti pembangkang yang berminat, kami harus menyelesaikan dahulu perundingan kerusi sesama parti dalam koalisi. Sekarang apabila rundingan sudah selesai, barulah kami selesa untuk memulakan perbincangan dengan mereka secara bersyarat.
Syaratnya, parti-parti pembangkang lain yang berminat harus bersedia melaksanakan agenda perubahan dan reformasi negara diperjuangkan Datuk Seri Anwar dan PH. Sekarang ini kita tunggu sambutan daripada mereka dan kita akan lihat daripada situ.
SP: Datuk Seri, adakah proses rundingan pembahagian kerusi pilihan raya yang diselesaikan di antara parti-parti dalam PH turut melibatkan proses pertukaran kerusi? Hal ini memandangkan terdapat spekulasi PKR sedang mengintai untuk bertanding di kerusi DUN Layang-Layang sebelum ini 'dijaga' DAP.
SI: Ya, saya tidak menafikan muktamadnya proses rundingan kerusi pilihan raya itu termasuk keputusan pertukaran kerusi DUN sesama parti dalam PH.
Saya rasa kerusi DUN Layang-Layang pun terlibat, tetapi butiran lanjut termasuk jumlah keseluruhan kerusi pilihan raya yang dijalani proses pertukaran perlu rujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Rundingan PRN Johor (Syed Ibrahim Syed Noh).
Sudah pasti proses pertukaran kerusi pilihan raya akan berlaku memandangkan terdapat sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN pernah ditandingi Bersatu sewaktu bersama PH pada PRU14 yang harus diagih-agihkan dalam kalangan kami.
SP: Bagaimana dengan isu pemilihan calon Menteri Besar Johor daripada PH? Adakah terdapat kemungkinan PKR dan PH akan mengemukakan senarai calon yang berbeza?
SI: Memandangkan permuafakatan parti-parti dalam PH amat kukuh, justeru isu pemilihan calon Menteri Besar akan dibincangkan kemudian. Tidak perlu terburu-buru.
Mengenai Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar daripada PKR, saya fikir perkara-perkara sebegini lebih baik ditentukan pucuk kepimpinan PKR dan PH.
SP: Memandangkan PRN Johor kali ini bakal berlangsung dalam suasana getir, adakah PKR akan mempertimbangkan formula meletakkan calon-calon 'heavyweight' yang dikenali orang ramai berbanding mempertaruhkan muka-muka baharu yang kurang dikenali?
SI: Ya betul. Kita akan mempertaruhkan sebahagian calon 'heavyweight' yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan sudah dikenali rakyat Johor pada PRN kali ini.
Tetapi pada masa sama, PKR juga akan memberi ruang kepada ramai muka baharu yang berpotensi, lebih-lebih lagi pada saat usul Undi18 sudah diluluskan dengan sejumlah 700,000 pengundi baharu kini menjadi taruhan parti-parti bertanding.
Saya percaya formula terbaik adalah dengan mengadunkan gabungan muka lama yang berpengalaman dengan muka baharu yang berpotensi. Kami menaruh keyakinan besar bahawa rakyat Johor kini sudah muak berdepan kerakusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpolitik sehingga mengabaikan nasib mereka yang baru hendak bangkit daripada kemelut pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi. Kami percaya mereka mahu perubahan.
SP: Terdapat pandangan menyatakan inisiatif khemah besar pembangkang perlu meliputi parti-parti dalam PN termasuk Bersatu bagi membolehkan UMNO dan BN tumbang pada PRN Johor. Bagaimana Datuk Seri melihat cadangan itu?
SI: Kalau kita melihat kenyataan Datuk Seri Anwar, inisiatif khemah besar pembangkang hanya tertumpu kepada parti-parti yang berada dalam blok pembangkang sahaja.
Justeru, secara rasmi PKR masih belum lagi menerima tawaran atau jemputan perbincangan daripada PN sendiri. Sekiranya ada sekali pun, saya fikir tindakan itu adalah hasil daripada prestasi PN yang mengecewakan pada PRN Melaka apabila mereka kalah teruk kepada UMNO dan BN walaupun menjadi sebahagian daripada parti kerajaan.
Kalau ada cakap-cakap sebegini pun, mungkin PN merasakan mereka bakal menerima nasib kekalahan teruk yang sama seperti PRN Melaka. PKR tidak perlu bersikap 'jump the gun' atau terburu-buru dalam soal itu.
Lebih penting bagi kami untuk menyelesaikan hal rumahtangga sendiri terlebih dahulu. Fokus utama kami adalah untuk mengusahakan kerjasama khemah besar dengan parti-parti pembangkang lain terlebih dahulu.
Selepas itu, kalau hendak fikir sama ada kita akan pertimbang kerjasama dengan PN atau tidak, itu hal kemudian.
Klik di sini untuk terus membaca