APABILA PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan lebuh raya mereka akan menaik taraf lorong tol kepada teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), terdetik di hati saya - "Alamak! Nanti ramai yang guna RFID, mesti sesak.”Saya sebenarnya agak selesa menggunakan RFID dan antara yang terawal menggunakannya iaitu pada 2018. Pemasangannya percuma sahaja sebagai projek rintis.
Hanya perlu tambah duit ke dalam Touch n Go (TnG) eWallet untuk menggunakan laluan selesa tanpa bersesak di lorong SmartTAG dan TnG. Setakat saya menggunakan RFID, sehingga kini tiada masalah besar. Semuanya lancar.
Cuma yang menjadi masalah adalah tidak cukup duit untuk tambah nilai ke dalam eWallet. Ketika melalui RFID waktu mula-mula dibuka, membuatkan saya tersenyum mengejek melihat pengguna di lorong selain RFID perlu bersesak-sesak.
Walaupun saya pengguna tegar pengangkutan awam, Kadang-kadang saya terpaksa juga menggunakan kereta jika perlu, maka RFID tetap di hati.
Semasa hari bermulanya lorong RFID di Lebuh raya Utara-Selatan, saya terbaca rungutan pengguna. Kereta yang tersangkut di lorong tersebut jadi sesak dan memburukkan keadaan, ada kereta yang terpaksa menukar lorong.
Saya ada bertanya seorang kawan mengenai kejadian itu. Katanya, ada pengguna memasang pelekat RFID tanpa mengaktifkan eWallet.
"Ada tampal sahaja, ingat boleh lalu terus,” katanya sambil tergelak.
Rungutan pengguna yang saya baca, mereka menginginkan diberi pilihan sama ada menggunakan SmartTAG, TnG atau RFID. Katanya, mereka sudah ada kad TnG dan SmartTAG.
Saya pun masih ada SmartTAG. Masih elok sampai sekarang, hanya perlu menukar bateri sahaja. Kad TnG saya juga bersepah-sepah. Ada yang sudah tamat tempoh dan ada masih aktif.
Kad TnG boleh juga didaftarkan di TnG eWallet. Ia untuk memudahkan kita. Jika tidak cukup duit dalam kad dan ada duit di eWallet, sistem boleh memotong duit di eWallet.
Keselesaan itu bukanlah datang sekelip mata, cuma perancangan ke arah keselesaan itu perlulah ditempuh dengan kesukaran dahulu bagi memastikan setiap yang dirancang akan mencapai sasaran. Bak kata pepatah, tidaklah mahu asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan.
Tujuan ke arah RFID adalah untuk keselesaan pengguna, bak kata pepatah Melayu lama lagi, sebagai operator lebuh raya pantang patah di tengah, biar dahi berluluk, asal tanduk mengena.
Selain itu, tujuan RFID adalah sebagai persediaan ke arah Multi Lane Free Flow (MLFF). Menurut Menteri Kerja Raya, ia dijangka diimplementasikan pada 2025. Dengan MLFF, maka masalah kesesakan akan selesai.
Jadi, pengguna lebuh raya hendaklah bersedia. Kepada yang tidak tahu bagaimana sistem berkenaan berfungsi, bolehlah ambil tahu untuk meningkatkan pengetahuan pada masa akan datang.
Boleh sahaja melayari laman sesawang untuk ambil tahu dan boleh juga membaca bagaimana untuk pautkan RFID dengan sistem eWallet nanti. Kepada yang tua, bolehlah minta tolong kepada yang muda cara-cara mengisi duit ke dalam eWallet.
Dan kata menteri lagi, akan ada pelbagai pilihan eWallet yang boleh dipilih pengguna. Tidak tertakluk kepada satu eWallet sahaja.
Kepada pengguna yang tidak berkenan dengan TnG eWallet, mungkin boleh sahaja pautkan RFID kepada eWallet yang lain.
Namun, ada juga yang saya tidak berkenan seperti kebanyakan pengguna lebuh raya lain.
Caj RM35 itu sepatutnya dikurangkan lagi atau molek juga dari RM35 itu, jadikan RM20 sebagai baki tambah nilai, manakala harga pelekat RFID RM15 sahaja. Setuju tak?
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca