SEBETULNYA, minda yang sihat akan membantu kita merencanakan pemikiran dengan baik. Pada masa sama, pemikiran yang salah akan mendorong kemerosotan minda dalam jangka masa panjang. Justeru, usaha mengekalkan diri kita berada pada paksi... Klik di sini untuk terus membaca

SEBETULNYA, minda yang sihat akan membantu kita merencanakan pemikiran dengan baik. Pada masa sama, pemikiran yang salah akan mendorong kemerosotan minda dalam jangka masa panjang.

Justeru, usaha mengekalkan diri kita berada pada paksi pemikiran yang betul perlu dilakukan secara serius supaya tidak berlaku mental distortion atau kecelaruan pemikiran.

Menurut perspektif psikologi, kecelaruan pemikiran boleh berlaku disebabkan oleh individu yang mencorakkan pemikiran mereka sendiri dan pola pemikiran lama yang mengganggu pemikiran kita pada masa kini.

Akibatnya, akan berlaku perspektif yang salah, suka menghukum seseorang, mudah hilang fokus dan hilang semangat dalam melaksanakan aktiviti harian.

Contoh pola pemikiran lama, antaranya berasa diri begitu kerdil dalam khalayak ramai kerana mengingati pelbagai peristiwa sedih semasa kecil setelah diperli oleh kawan lama yang cukup dominan sewaktu kecil dahulu.

Walhal, dengan kedudukan lebih baik pada masa kini, tidak sepatutnya kecelaruan pemikiran berlaku kepada dirinya. Hakikatnya, keadaan itu berlaku kerana perbuatan perli itu menjadi trigger atau pencetus daripada trauma semasa kecil.

Adalah jelas, setiap individu mempunyai trigger tersendiri. Persoalannya, sejauh mana trigger tersebut mempengaruhi kecelaruan pemikiran seseorang? Secara umumnya, trigger boleh berlaku kepada kita disebabkan bebanan stres berpanjangan dan pelbagai trauma yang berlaku sebelum ini.

Contohnya, bunyi gendang dan serunai silat menjadi trigger kepada individu yang pernah ‘dirasuk’ sewaktu belajar silat. Jadi, apabila terdengar bunyi gendang dan serunai, dia terus ‘dirasuk’ walaupun telah lama meninggalkan alam persilatan.

Ia bermakna, bagi menjauhi trigger, dia perlu mengelak daripada bunyian tersebut atau berusaha mendamaikan diri dengan bunyian berkenaan.

Begitulah juga dengan kes traumatik lain seperti takut dengan deringan telefon kerana pernah menerima panggilan menyedihkan atau ugutan daripada seseorang. Malah, ada juga diserang panik kerana terlalu memikirkan sikap suami atau isteri yang sanggup berlaku curang. Terdapat juga yang lari berselimut dan menggigil kerana takut dengan bunyi kilat serta hujan lebat.

Bagi kita yang tidak terkena dengan pengaruh trigger berkenaan, sudah tentu akan tergelak dengan sikap mereka yang ‘kebudak-budakan’ dan seakan-akan tidak waras.

Namun, apabila terkena batang hidung sendiri, mulalah rasa rimas, berkecamuk, tidak boleh bernafas dengan lancar, suka menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan orang ramai.

Berbalik kepada soal mencorakkan pemikiran diri sendiri, kebanyakan kita tidak serius menyaring sikap sentiasa betul, mudah berasa bersalah, berserah kepada takdir, berasa diri tidak mampu dan sentiasa membawa diri menjauhi realiti.

Malah, terdapat juga dalam kalangan individu yang suka mencari jawapan bagi setiap perkara dalam hidup.

Sedarlah, tidak semua perkara dalam hidup perlukan jawapan. Ada jawapan akan hadir sendiri dalam tempoh tertentu. Namun, ada ketikanya langsung tiada jawapan.

Justeru, jangan desak diri kita untuk mendapatkan jawapan kerana boleh memberi impak kepada cara berfikir dan perubahan emosi. Yang penting, hidup perlu diteruskan walaupun tanpa jawapan dalam hidup. Malah, tiadanya jawapan tidak sedikit pun merosakkan ke-sempurnaan hidup, sebaliknya sebagai nilai tambah semata-mata.

Pada hemat saya, segala gangguan pemikiran berkenaan walaupun kecil, jika tidak ditangani akan menjadi bom jangka yang akan meledak pada masanya nanti.

Oleh itu, kita perlu berikan tenaga kepada jiwa dan pemikiran agar tidak mudah terpengaruh dengan fenomena tersebut. Sesungguhnya tenaga itu terbina menerusi interaksi sosial, aktiviti kecergasan dan fokus dalam beribadat.

Maka, perlu serius sihatkan minda dan tenangkan jiwa.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca