SABTU lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran berpolitik kepada guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara berkuat kuasa serta merta.
Ujar beliau, perkara itu diputuskan kabinetnya bagi menghormati prinsip demokrasi dan bersikap adil terhadap golongan berkenaan.
Cadangan itu mempunyai perspektif pro dan kontra. Dari satu segi, memperkasakan hak demokratik golongan berkenaan terutama guru sememangnya wajar dan diperlukan.
Kita tidak pernah mempersoalkan hak tersebut selagi mereka bergelar warganegara tetapi dari sudut lain, kebenaran berpolitik dalam konteks peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pendidik itu yang mungkin merisaukan.
Apa yang merisaukan? Pertama, sejauh mana kebebasan berpolitik guru itu kelak tidak akan mengganggu tugas hakiki mereka. Kedua, sudah tentulah persoalan profesionalisme perguruan atas kebimbangan adanya ke-cenderungan menyebarkan fahaman dan ideologi politik yang mungkin membawa kepada proses indoktrinasi pelajar yang rata-ratanya masih muda dan mentah.
Mungkin ada banyak lagi alasan yang boleh difikirkan tetapi dua inilah yang menjadi kerisauan terbesar masyarakat. Benar, mungkin ada panduan, pekeliling dan perintah am berkaitan kebenaran tersebut, namun perasaan skeptikal terhadap kelemahan dan ketaksuban manusia terhadap sesuatu perkara terutama melibatkan hal-hal sensitif seperti politik tetap ada.
Sebagai guru, salah satu perkara diterapkan sebelum memulakan tugasan adalah aspek keobjektifan dalam mendidik pelajar berdasarkan prinsip hikmah, kebijaksanaan dan berkecuali (wisdom, discretion & neutrality).
Mengapa perlu begitu? Kerana tugas sebagai guru seharusnya membantu pelajar untuk belajar menjadi pemikir kritis dan mampu mengembangkan pengetahuan mereka sendiri selepasnya.
Sebab itu daripada perspektif tersebut, guru harus mengemukakan hipotesis dan hujah, bukan menyatakan kepercayaan terutama dalam hal berkaitan ideologi dan pemikiran politik.
Perkara itulah paling mencabar kerana sekuat mana pun guru cuba mengelak, kadangkala terbabas juga. Sebagai contoh, jika ada pelajar bertanyakan dan menyatakan pandangan terhadap isu 1MDB daripada perspektif mereka, mungkin sukar bagi seseorang guru tidak mengambil pendirian dan mengemukakan pendapat serta hujah daripada perspektifnya sendiri.
Jadi, bayangkanlah situasinya jika guru ada kecenderungan terhadap mana-mana parti dalam berhujah. Sudah tentulah elemen hikmah, kebijaksanaan dan berkecuali itu tadi tidak akan timbul dalam perbincangan tersebut.
Namun, menjadikan politik sebagai sesuatu yang tabu di sekolah juga adalah salah. Ada banyak perkara tentang politik yang boleh dipelajari dan didedahkan kepada pelajar. Politik bukan sekadar ideologi atau anutan politik tetapi ia melibatkan kewujudan sistem perhubungan yang kompleks dalam masyarakat.
Perspektif politik yang mencapah dalam segenap dimensi kehidupan menjadikan ia sebagai suatu hakikat kehidupan. Justeru, mengetepikan politik semata-mata kerana kebimbangan tidak berasas adalah ketidakadilan.
Yang perlu dalam konteks ini adalah menyediakan pelajar dengan jalur politik yang baik. Maka, ia mungkin boleh bermula dengan pengajaran tentang politik yang merangkumkan objektiviti, keterikatan, pencerahan dan ke-sedaran sebagai warga bertanggungjawab.
Mungkin pendedahan politik melalui pembangunan pemikiran kritis, pengukuhan nilai, kemahiran berkomunikasi, meraikan dan menghormati perbezaan serta pandangan orang lain adalah perkara dalam politik yang patut dilakukan.
Pelajar sepatutnya diajar tidak takut memberi pandangan. Jika guru mendedahkan mereka dengan ilmu, ruang dan peluang, mereka akan mampu serta berupaya untuk berfikir dan mempertahankan pendapat serta pandangan mereka sebaiknya.
Sudah tentulah ia juga sebahagian tanggungjawab guru bagi menyediakan mereka untuk perkara tersebut.
Persoalan guru berpolitik ataupun tidak berpolitik mungkin sudah dijawab. Secara umum, semua bersetuju bahawa hak guru untuk berpolitik secara sah dan aktif harus diperkasakan.
Yang dipersoalkan bukanlah boleh atau tidak berpolitik cuma etika dan profesionalisme sebagai guru yang dikhuatirkan.
Kerana seseorang guru tidak sepatutnya menggunakan kesempatan dan kedudukannya untuk berpolitik sehingga menjejaskan tugas hakiki, apatah lagi sampai menyebarkan fahaman dan ideologi politik yang boleh memecahbelahkan dan menggugat keharmonian di sekolah.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca