STIGMA segelintir masyarakat bahawa hanya kaum tertentu diberi keutamaan untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara adalah tidak tepat. Sebaliknya, penyertaannya adalah terbuka kepada semua kaum asalkan menepati syarat-syarat... Klik di sini untuk terus membaca

STIGMA segelintir masyarakat bahawa hanya kaum tertentu diberi keutamaan untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara adalah tidak tepat. Sebaliknya, penyertaannya adalah terbuka kepada semua kaum asalkan menepati syarat-syarat ditetapkan.

Perkara itu yang ditekankan bekas komando, bekas Pegawai Waran II (PW II), Vedagiri Murugayah berhubung penyertaan bukan Melayu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pemilihan calon anggota tentera dilakukan secara adil dan telus tanpa mengambil kira perbezaan kaum, sebaliknya berdasarkan syarat yang ditetapkan,” kata Vedagiri.

Malah, beliau yang kini berusia 62, berkata, Persatuan Veteran India ATM juga berperanan membantu golongan muda daripada kaum India yang berminat untuk menjadi askar.

"Kita juga mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk menarik minat para belia India yang mahu menyertai pasukan ATM. Persatuan Veteran India ATM juga menyalurkan maklumat berhubung peluang dan kelebihan menyertai pasukan keselamatan itu.

"ATM memerlukan generasi muda yang berminat menyertai pasukan ini bagi memastikan kesinambungan keselamatan negara terus terjamin dan bukan disebabkan faktor tiada pilihan kerjaya lain," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Vedagiri Murugayah

Mengimbas kembali pengalamannya, Vedagiri yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, beliau menyertai ATM pada 21 Julai 1979.

"Kawan-kawan berbangsa Melayu mengajak saya untuk menghadiri temuduga bagi menyertai ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Panggilan pertama adalah daripada ATM. Selepas dua minggu saya menjalani latihan rekrut ATM, pihak PDRM pula menawarkan saya pekerjaan, namun saya tetap memilih untuk menjadi seorang askar,” kata beliau.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, pada peringkat awal ibunya risau apabila beliau menyertai pasukan tentera, namun berjaya memujuk dan mendapat restu untuk menjadi anggota tentera.

"Ayah meninggal dunia ketika saya berusia tujuh tahun. Ibu yang membesarkan kami 10 beradik selepas itu. Adik beradik yang lain juga memberi sokongan untuk saya menyertai ATM, hanya ibu yang risau tentang keselamatan saya," ujarnya.

Vedagiri (kanan) bersama rakan sepasukan sebelum melakukan latihan payung terjun.

OPERASI BERSAMA KANANG

Vedagiri berkata, pada usia 19 tahun, beliau sudah terlibat dalam operasi bersama pasukan mendiang Kanang Anak Langkau yang terkenal dengan gelaran ‘The Iban Warrior’.

Menurutnya, Kanang cukup dikenali sebagai pahlawan terbilang kerana keberaniannya yang luar biasa ketika menentang pengganas komunis yang mengucar-ngacirkan keamanan negara.

Ujarnya, sebagai askar yang baru berkhidmat dalam ATM pada ketika itu, beliau telah ditugaskan untuk membantu pasukan senior di medan pertempuran."Ketika itu, Kanang bersama rakan sepasukan Platun Risik Gempur (UCIS), Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja menggempur kubu komunis di Perak.

"Ancaman komunis agak ‘panas' di sekitar kawasan hutan di Hulu Kinta, Perak sehingga ke Bentong, Pahang pada ketika itu.

"Saya bersama rakan perlu membuat landing point untuk membantu membawa keluar askar yang cedera dengan menggunakan helikopter,” katanya.

Vedagiri bagaimanapun mengakui beliau mempunyai perasaan takut apabila pertama kali terlibat dalam pertempuran dengan askar komunis.

Vedagiri (dua dari kanan) mahir dalam mengendalikan senjata sniper sehingga digelarkan sebagai 'Sylvester Stallone Malaysia'.

"Pada ketika itu, tembakan bertubi-tubi komunis disasarkan kepada pasukan saya, namun semangat untuk bertempur tetap berkobar-kobar,” katanya.

Vedagiri berkata, pada Julai 1981, beliau telah terpilih untuk menjalani latihan asas komando selama tiga bulan.

"Kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila saya disarungkan beret hijau di kepala dan dianugerahkan pisau komando selepas menamatkan latihan asas komando, sekali gus bergelar warga Grup Gerak Khas,” katanya.

Beliau kemudian ditempatkan di 11 Rejimen Gerak Khas setelah tamat lati-han asas komando.

"Saya turut menjalani kursus lain, antaranya payung terjun, penembak tepat (sniper), perubatan dan mengendalikan bahan letupan.

"Antara operasi yang paling mencabar ialah menentang ancaman komunis di Sarawak. Saya perlu menyusuri sungai, paya serta mendaki bukit yang tinggi.

"Saya juga pernah bertempur dengan pengganas komunis iaitu kumpulan Ubong Nuing yang terkenal di sana,” ujar beliau.

Vedagiri (empat dari kanan) bersama rakan Persatuan Veteran India ATM.

DIGELAR SYLVESTER STALLONE MALAYSIA

Beliau berkata, pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah kejayaan pasukannya membongkar lokasi food dump iaitu bekalan makanan komunis yang ditanam di dalam tanah di sekitar kawasan Bentong, Pahang.

"Saya bersama empat rakan sepasukan perlu menyamar sebagai pekerja ladang selama tiga bulan sebelum berjaya menemui 40 tong drum makanan komunis,” katanya.

Vedagiri berkata, beliau bersama empat rakannya itu sering masuk ke dalam hutan untuk mengumpul maklumat berkaitan pergerakan komunis.

"Setelah kita menerima maklumat berkaitan komunis, kita akan maklum kepada pasukan lain untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Vedagiri berkata, beliau ketika itu dikenali sebagai ‘Sylvester Stallone Malaysia' kerana kemahirannya menggunakan senjata sniper.

Vedagiri (duduk tiga kanan) berpengalaman selama 14 tahun dalam 11 Rejimen Gerak Khas.

"Jika saya menggunakan sniper, tembakan yang dilepaskan itu pasti tepat mengenai musuh,” katanya.

Vedagiri berkata, beliau telah menabur bakti selama 14 tahun bersama pasukan Rejimen Gerak Khas sebelum bergelar jurulatih payung terjun.

"Saya telah ditugaskan untuk menjalani kursus asas payung terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus di Melaka,” katanya yang menjadi jurulatih payung terjun selama 10 tahun sehingga bersara pada tahun 2000.

Beliau kini aktif dalam sukan bola keranjang serta menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Keranjang Melaka.

"Saya juga terlibat dalam bahagian teknikal khususnya pengadil jika ada kejohanan dalam sukan bola keranjang,” katanya.

Gambar kenangan Vedagiri (tiga dari kiri) bersama rakan pasukan komando.

PESANAN

Vedagiri berkata, keharmonian dalam hubungan masyarakat dapat diwujudkan jika setiap individu faham terhadap peranan masing-masing untuk menerapkan nilai murni dalam interaksi seharian.

"Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara.

"Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” ujar beliau.

Walaupun sudah bersara daripada ATM, namun masih aktif melakukan aktiviti riadah untuk mengekalkan stamina.
Klik di sini untuk terus membaca