SHAH ALAM – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa akan timbul kesulitan kepada tiga bank Malaysia yang memberi pinjaman berjumlah RM2.5 bilion tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong yang telah diisytiharkan muflis.
Beliau berkata, kesulitan itu adalah dari segi menuntut semula hutang pinjaman dibuat oleh syarikat tersebut dan ia akan menjadi berpanjangan.
"Mungkin ada sesetengah orang kata jumlahnya tidak besar sangat RM2.5 bilion. Tetapi itu masih akan memberi kesan kepada ketiga-tiga bank di negara kita.
"(Salah satu bank) dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mana Amanah Saham Bumiputera adalah sebahagian daripadanya.
"Kemudian, RHB Bank milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan satu lagi (bank) milik Khazanah Nasional Berhad. Jadi, ia akan memberi kesan,” katanya .
Dalam pada itu, Nik Nazmi menerusi ciapan di Twitternya turut membuat perbandingan jumlah pinjaman diterima oleh syarikat tersebut berbanding individu atau syarikat kecil dan sederhana yang menghadapi kesukaran bagi mendapatkan pinjaman."Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), banyak bank menolak untuk memanjangkan moratorium kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
"Bandingkan situasi rakyat serta syarikat kecil dan sederhana dengan Genting Hong Kong yang mendapat RM2.5 bilion.
"Ini sama dengan 251,000 rakyat biasa mendapat pinjaman RM10,000 daripada bank-bank berkaitan kerajaan ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca