SETIAP rakyat Malaysia terpaksa melupakan sambutan hari lahir sekurang-kurangnya sekali sejak tahun 2020, bergantung kepada tarikh.
Ada yang terpaksa kekal berada di rumah dua kali berturut-turut tanpa apa-apa pengiktirafan peningkatan usia oleh masyarakat.
Sebahagiannya mungkin dalam diam lebih menyukai peningkatan usia mereka tidak diketahui ramai tetapi berdasarkan apa yang dilihat di media sosial, parti hari jadi kini kembali diadakan.
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, hari keputeraan ketua-ketua negeri masih kekal sebagai cuti umum tetapi tanpa acara rasmi sebagaimana tradisi.
Oleh itu, sesuatu yang mengujakan apabila bulan ini Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar sekali lagi diraikan.
Walaupun beberapa aspek seperti perarakan tentera masih belum dapat dilakukan disebabkan halangan Covid-19, kebanyakan acara dapat dijalankan dengan mematuhi penjarakan sosial.
Berdasarkan laporan media, istiadat utama pengurniaan darjah kebesaran masih lagi menjadi bahagian paling jelas daripada semua acara.
Tahun ini, titah diraja telah memuji kerjasama rakyat dari seluruh negeri dalam usaha menewaskan pandemik dan banjir yang berlaku baru-baru ini.
Malah, amat menyentuh hati melihat pegawai dan sukarelawan pelbagai bangsa serta agama bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS) di Jempol.
Senarai penerima darjah kebesaran menyaksikan hanya 27 orang individu menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk termasuklah para doktor terbilang, tentera, peguam, ahli perniagaan dan seorang paderi, selain penyanyi Aishah (penyanyi kumpulan Fan Club yang berpangkalan di New Zealand pada 1980-an).
Selain itu, ramai yang menerima pingat disebabkan perkhidmatan dan sumbangan mereka kepada negeri. Tiada sistem anugerah yang sempurna, akan sentiasa ada individu berkelayakan yang tidak dapat dikenal pasti dan akan ada beberapa penerima pingat yang tidak dikagumi semua.
Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, keseluruhannya penganugerahan tersebut adalah sesuatu yang indah apabila setiap lapisan masyarakat dapat menerima penghargaan awam atas pekerjaan baik yang mereka lakukan.
PENGHARGAAN
lstiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat juga membolehkan persembahan upacara silam, peletakan alat kebesaran diraja sebagai contoh, dijalankan oleh pegawai adat yang sangat mengambil serius tugas diamanahkan berdasarkan keanggotaan suku matrilineal mereka.
Sebahagian daripadanya seperti keris dan tombak telah digunakan sejak Yang di-Pertuan Besar pertama, Raja Melewar tiba di Negeri Sembilan dari Pagar Ruyong pada 1773 setelah menerima undangan daripada penghulu-penghulu untuk ditabalkan sebagai raja.
Di luar istana, beberapa acara telah dilangsungkan dan menarik kehadiran orang ramai dari seluruh pelosok negeri. Tasik Londa Naga menyaksikan nelayan bertanding meraih tangkapan terbesar, walaupun acara tarik tali tidak dapat diadakan seperti ke-biasaannya.
Di padang Seri Menanti, jurutera-jurutera penerbangan yang sedang meningkat naik bersaing sesama mereka menggunakan pesawat kawalan radio masing-masing, manakala peminat e-sukan bertanding untuk merebut dominasi FIFA di kawasan berdekatan.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Laksamana Nasir, pertandingan sepak takraw menyaksikan trio baharu menguasai pertandingan. Sebelum ini regu Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menguasai podium.
Acara kemuncak sudah pastilah Jelajah Keilmuan secara berbasikal di sekitar Gunung Pasir, salah satu Luak Negeri Sembilan di bawah bidang kuasa seorang penghulu yang bertanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Besar.
Bertolak dari Seri Menanti, saya dan kekanda saya (Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin) menyertai lebih daripada 200 orang penunggang basikal dari seluruh negeri, berhenti sebentar di Balai Penghulu.
Turut menyertai kami di sana ialah Ibu Soko. Di sana, kami diberi sedikit taklimat mengenai sejarah kawasan tersebut bermula daripada penghijrahan awal peneroka kepada keberangkatan Raja Melewar, manakala dua buah meriam lama yang dipamerkan menunjukkan tinggalan sejarah Perang Bukit Putus 1874.
Setelah itu, alam semula jadi yang menceritakan segalanya – bukit bukau yang membentuk laluan pedagang silam, kolam-kolam pembiakan udang galah, sawah padi yang telah membekalkan makanan kepada beberapa generasi (dan hanya satu generasi yang lalu menjadi tempat bomoh menjalankan upacara menambahkan kesuburan tanaman padi) serta air terjun menakjubkan yang langsung tidak menggambarkan kemusnahan banjir di hilir sungai beberapa minggu lalu.
Satu elemen yang biasa terdapat dalam banyak perbualan bersama rakyat Negeri Sembilan, sama ada di sepanjang jalan-jalan kampung di Gunung Pasir atau di tepi gelanggang skuasy Sekolah Menengah Chung Hua di Seremban, atau di tepi pantai di Port Dickson, atau dalam kalangan yang tajam bacaan politiknya adalah kesedaran yang kuat mengenai kesan dan perkaitan masa lalu serta keperluan untuk mengambil keputusan tepat demi masa hadapan.
Terdapat semangat untuk memulakan tahun dengan rasa optimis lebih banyak daripada sebelumnya dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar telah memberikan peluang kepada sentimen-sentimen tersebut untuk diberikan tumpuan dan diambil tindakan.
* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah putera kedua Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Klik di sini untuk terus membaca