SHAH ALAM - UMNO tidak berasa hairan mahu pun terkejut dengan tindakan Pas yang akan bertanding dengan menggunakan logo Pakatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti. Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO tidak berasa hairan mahu pun terkejut dengan tindakan Pas yang akan bertanding dengan menggunakan logo Pakatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) untuk PRN Johor, merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau sedikit pun tidak terkejut dengan keputusan Pas terbabit kerana mereka adalah sebahagian daripada parti komponen PN.

"Tidak ada apa-apa yang luar biasa. Pas dan Bersatu adalah anggota PN. Sudah semestinya mereka bergabung di bawah PN pada PRN Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi," katanya yang juga digelar Tok Mat kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Terdahulu, media melaporkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding dengan menggunakan logo PN, pada PRN Johor nanti.

Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dipersetujui hasil muzakarah antara kedua-dua parti berkenaan.

"Hasil resolusi muzakarah yang diadakan, kita akan menyertai PRN Johor sebagai PN. Kita juga akan memperkukuhkan jalinan kerjasama Pas dan Bersatu sebagai satu pasukan sehingga ke peringkat akar umbi," katanya pada sidang media di Shah Alam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, soal calon bakal bertanding akan diputuskan dalam tempoh terdekat membabitkan semua parti komponen PN termasuk agihan kerusi yang akan ditandingi.

"Kita akan putuskan... insya-Allah akan bincang perkara itu kerana yang penting hasrat kita bertanding bagi mendapatkan mandat rakyat Johor, bangsa Johor untuk bentuk kerajaan PN di peringkat negeri.

"Dari segi calon, kita akan mengambil contoh di (PRN) Melaka yang menyaksikan gabungan orang berpengalaman dan anak muda kerana di Johor ramai tokoh berkelayakan," katanya.

PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari lalu.

Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari depan bagi menentukan tarikh penting seperti hari penamaan awal, mengundi awal dan mengundi biasa.

Klik di sini untuk terus membaca