[MUKADIMAH] Kerjasama di antara UMNO dan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih menjadi tanda tanya selepas parti tersebut belum membuat keputusan walaupun rakannya itu menunjukkan keinginan untuk berkolaboratif.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan secara peribadi menegaskan, UMNO lebih selesa menggunakan formula ‘mujarab’ iaitu bergerak solo seperti yang dilakukan sewaktu PRN Melaka.
Kenyataan Ahmad itu yang merupakan Ahli Parlimen Pontian, sekali gus memberikan bayangan pintu kerjasama di antara UMNO dan Pas di PRN Johor sudah tertutup.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY dan DIANA AZIS serta jurukamera, ROSLI TALIB bersama AHMAD mengenai persediaan dan kerjasama UMNO di PRN Johor.
SINAR HARIAN: Bagaimana peluang UMNO di PRN Johor?
AHMAD: Apabila UMNO-BN memasuki mana-mana pilihan raya, sebagaimana yang telah berlaku pada pilihan raya kecil (PRK) di beberapa tempat dan PRN di Sabah dan Melaka, sudah tentu harapan kita hendak menang.
Kita ada keyakinan boleh menang dalam PRN Johor dan kita harap kemenangan itu setara atau lebih daripada yang kita menangi di Melaka.
Kita harap pencapaian cemerlang di Sarawak jadi satu motivasi untuk kita. Di Melaka, kita menang 75 peratus dan di Sarawak, rakan karib BN iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 92 peratus.
Jadi di Johor, ada 56 DUN dan kita harap boleh memenangi seberapa banyak kerusi.
- Apakah formula bakal digunakan untuk PRN Johor? Adakah strategi sama di Melaka dan Sarawak?
Di Melaka, antara formula mujarab ialah kita mengemukakan calon-calon yang masuk kumpulan calon baharu, muda, wanita, lama, berpengalaman dan berpendidikan.
Jadi, kombinasi calon itu seperti yang disebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai akronimnya ‘wali’ iaitu (winnable, acceptable, likeable) itu satu formula yang mujarab.
Winnable itu ialah boleh menang, acceptable boleh diterima dan likebale pula disenangi oleh rakyat. Jadi, kita masih lagi menggunakan formula itu.
Semasa PRN Melaka, wujud situasi boikot apabila peratusan keluar mengundi rendah. Mungkinkah perkara sama berlaku di Johor?
Itu terpulang kepada pengundi, kita tidak akan menyekat sesiapa. Apabila tiba tarikh dituntut oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita sebagai pengundi kena menunaikan tanggungjawab.
Bererti kita kena terima apa juga keputusan majoriti yang membuat keputusan dan itu konsep demokrasi.
Ada orang tanya saya, kalau ramai keluar mengundi di Melaka, BN akan kalah. Saya kata, siapa suruh awak tak nak keluar. Itu dalam bahasa pasarnyalah. Jadi, terpulang masing-masing ada pendapat.
Ada juga yang kata pengundi Cina akan kurang keluar. Itu semua terpulang kepada pandangan pihak tersebut.
- Apakah strategi untuk menarik pengundi supaya tidak boikot PRN Johor?
Satu perkara yang menjadi cabaran kepada kami ialah 750,000 pengundi yang pertama kali mengundi terutama berumur 18 ke 20 tahun dan 21 tahun ke atas yang terdaftar secara automatik.
Jadi cabaran itu kami hadapi dengan minda terbuka kerana pada asalnya memang BN menyokong undi 18 dan undi automatik ini.
Lambat laun, memang kita kena hadapi dan tiba waktunya di PRN Johor bahawa pengundi automatik dan undi 18 akan dilaksanakan.
Tidak ada sebab kenapa tidak dilaksanakan kerana arahan pewartaan ialah pada 16 Disember 2021 dan mengikut taklimat oleh SPR kepada ahli Parlimen, kerajaan dan juga pembangkang di Dewan Rakyat setiap 16 hari bulan, pengundi baharu terdaftar dengan sendiri dan terwarta dengan sendiri.
Dengan kata lain, 750,000 pengundi itu sudah pasti kami akan hadapi dan ia satu cabaran. Ada orang kata pengundi muda ini tidak sokong BN.
Saya kata apa jaminan mereka akan menyokong pembangkang? Sebab pengundi muda ini ada mak dan ayah.
Kalau mak dan ayah mereka ramai penyokong kerajaan, sudah tentu sedikit sebanyak akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak mereka.
Mungkin anak mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun ini mahu pandangan daripada mak dan ayah, jadi atas kekuatan itu kami menghadapi dengan fikiran terbuka dan harapan terbuka bahawa mereka akan mengundi BN.
- Penggal pentadbiran berbaki lebih kurang setahun sahaja menjelang PRU15, mengapa UMNO tidak boleh tunggu sehingga PRU15?
Parti yang tak setuju pada PRN Johor ini, saya kira mereka kena menerima satu hakikat bahawa kerajaan Johor tidak boleh bergantung kepada ihsan parti pembangkang untuk mentadbir.
Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) ada menceritakan kepada kami tentang kisah baru-baru ini, apabila berlaku seri dalam undian di DUN dalam kes benar atau tidak benar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berada dalam mesyuarat tindakan daerah-daerah.
Menteri Besar dah menyatakan hanya ADUN kerajaan hadir dalam mesyuarat kerajaan, tetapi ADUN pembangkang membawa isu itu ke DUN dan pengundian berlaku seri 27/27.
Yang memutuskan keputusan adalah speaker. Speaker itu pula daripada pembangkang dan kebetulan speaker itu menyokong. Dengan kata lain, kerajaan bergerak atas ihsan pembangkang. Macam mana kita hendak perintah negeri dengan keadaan begitu rupa?
Kedua, sebabnya satu undi majoriti terlalu tipis untuk kita adakan Pilihan Raya Kecil (PRK) atas kematian Allahyarham Datuk Osman Sapian juga, lebih baik kita mendapatkan mandat keseluruhan DUN.
Ketiga, mungkin rasa kurang selesa apabila dalam kerajaan yang ada itu ada 11 kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sedangkan di PRN Melaka kita berlawan dengan mereka.
Jadi, di negeri Melaka kita berlawan, tetapi di Johor kita berkawan. Dalam konteks negeri berjiran ini, ketidakselesaan itu masih berlaku. Itu tidak boleh dinafikan.
Lainlah kalau PPBM itu ada satu atau dua kerusi, atau Pas ada satu, dua kerusi ke. Pas memang ada satu tetapi PPBM ada 11 kerusi. UMNO ada 14 (kerusi), MIC ada dua.
Jadi rasa kurang selesa kita dengan kewujudan orang yang kita tandingi di Melaka dan orang yang kita nak bersama di Johor.
Itu sebab kenapa PRN perlu diadakan. Lagipun, Covid-19 terkawal dan banjir dah selesai.
- Apakah Datuk Seri tidak risau sekiranya isu itu dibangkitkan dalam kempen PRN nanti?
Sudah tentu mereka akan bangkitkan dan kita akan jawab. Kita akan jawab dan terangkan kepada rakyat dan jika PRN boleh diadakan di Melaka dan Sarawak tanpa ada lonjakan kes serta SOP terkawal. Kita juga berharap tiada lonjakan kes di Johor.
- Adakah ia satu signal sokongan kepada BN dan petanda PM perlu mempercepatkan PRU15?
Dalam demokrasi ini, kita perlu mandat rakyat. Mandat rakyat yang tuntas dan solid. Apa yang berlaku di beberapa negeri macam Melaka, Johor dan di Persekutuan juga, mandatnya ialah mandat wakil rakyat. Bukan mandat rakyat yang solid.
Oleh itu, sudah tiba masanya kita mendapatkan mandat rakyat seperti yang berlaku di Melaka dan Sarawak.
Jadi, tiada 'dakwa-dakwi' dan kita nak menjalankan pentadbiran itu mudah. Orang-orang yang ingin laksanakan arahan pentadbiran itu mudah.
Saya ada kekhuatiran jika kerajaan tidak kukuh, pelaksanaan itu terutama daripada segi pembangunan dan sebagainya akan terganggu kerana ada semacam psikologi, kerajaan tidak akan kekal lama.
Jadi, itu satu lagi yang membantutkan banyak perkara sama ada pelaburan masuk yang kerajaan nak buat dan sebagainya.
Itu sebagai contoh perkara yang memburukkan keadaan kalau tidak stabil. Bukti tidak stabil itu dalam masa kurang tiga tahun, tiga menteri besar. Siapa nak kata perkara ini stabil? memang tidak stabil.
- Mungkinkah Perikatan Nasional (PN) dan BN tidak akan bersatu dalam PRN seperti di Melaka?
Model di Melaka itu sesuai untuk kami sekarang. Apa-apa perubahan dalam model di Melaka itu akan diputuskan dalam beberapa hari lagi oleh pucuk pimpinan. Tetapi, saya sendiri melihat model Melaka itu sesuatu yang sesuai.
- Adakah BN juga tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRN Johor?
Kami sudah memberi peluang kepada Pas di Melaka untuk bersama menggunakan lambang mereka di PRN Melaka tetapi semua orang tahu Pas tidak mahu dan tetap mahu gunakan lambang PN.
Oleh itu, berpisahlah kita daripada segi politik di Melaka. Kita dah tawarkan di Melaka dan nak tawarkan sekali lagi itu semacam nak mengulangi apa yang telah ditawarkan di Melaka yang telah ditolak oleh Pas.
Saya kira, setakat ini apa yang model di Melaka itu pada pandangan saya secara peribadi, maka kita ikut model Melaka sehingga sekiranya ada perubahan yang akan diumumkan oleh Presiden UMNO.
- Jika tidak bersama Pas pada PRN Johor, bagaimana dengan jangka hayat Muafakat Nasional (MN)?
Muafakat Nasional ini ada beberapa tujuan lain. Tidak disebut sangat daripada segi perikatan politik.
Muafakat Nasional adalah untuk perpaduan ummah dan perpaduan ummah itu tidak semestinya dari sudut percaturan politik sahaja.
Perpaduan ummah, kalau kita mengundi berbeza, namun atas konsep perpaduan ummah, saya masih lagi boleh pergi ke rumah orang Pas.
Orang Pas boleh pergi ke rumah orang UMNO. Kita elakkan kejadian-kejadian yang kafir mengkafir dan sembahyang dua imam macam dulu.
Kalau tidak bersama dalam politik pun, penyatuan ummah itu dalam MN belum lagi terbatal.
Jadi, bukan hanya satu-satunya angkubah dalam penyatuan ummah itu mesti bersama dalam politik pilihan raya. Ini dua perkara yang berbeza.
Politik pilihan raya mungkin tidak sama tetapi kenduri di kampung kita bersama.
Sembahyang di surau dan masjid kita bersama, gotong-royong kampung kita bersama tetapi dalam politik kita tidak bersama daripada segi pengundian. Perpaduan ummah itu walaupun tidak lengkap tetapi tidak hancur.
- Selepas ini adakah UMNO Kelantan tidak akan bekerjasama dengan Pas?
Saya cuba membezakan antara pakatan politik dan MN. Ada orang tanya kenapa dengan Bersatu tidak boleh berdamai.
Dalam konteks Johor, bukan hanya ahli Parlimen UMNO melompat ke Bersatu, ada tiga ADUN UMNO yang lompat ke Bersatu.
Jadi kalau lihat di peringkat nasional, Bersatu ada 31 kerusi tetapi 25 daripadanya adalah kumpulan yang melompat ke Bersatu, mereka hanya ada enam kerusi original.
Sejumlah 10 lompatan daripada PKR, 15 daripada MP UMNO. Jadi bagaimana UMNO nak berbaik dengan parti yang mengambil ADUN kami, parti yang mengambil MP kami dan ahli-ahli kami.
Jadi kalau orang yang rasional dan tidak emosional, mereka memahami mengapa sukar UMNO untuk bersama dengan Bersatu.
Oleh kerana Pas berminat dengan Bersatu, jadi Pas bersama PN seperti di Melaka, kami melihat fakta.
- Apakah sebenarnya kemelut UMNO dan Bersatu?
Pilihan Pas kalau nak bersama PN, kita ucapkan selamat maju jaya kepada Pas, biarlah dia teruskan bersama, UMNO dah ada BN tetapi oleh kerana PN ada Bersatu yang ada ciri-cirinya tadi, kesukaran untuk kami bersama adalah satu yang amat praktikal di peringkat kawasan dan bahagian.
- Pas masih berpendirian mahu bersama UMNO. Pandangan Datuk Seri?
Kembali kepada MN selaku penyatuan ummah, bukan hanya sewaktu pilihan raya negeri, pilihan raya kecil, pilihan raya umum, dia lebih kepada penyatuan ummah dalam masyarakat.
Kalau nak kata masa depan MN apa akan jadi, pada saya penyatuan ummah itu masih boleh kunjung-mengunjungi, tolong-menolong, masih lagi boleh sembahyang bersama, makan bersama walaupun memangkah lain-lain, saya kira sudah ada kejayaan tertentu dalam penyatuan ummah.
- UMNO tidak akan bekerjasama dengan Pas selepas ini dan boleh bergerak solo?
Saya sebut tadi bahawa model di Melaka telah mencapai kejayaan dan setakat ini tidak ada sebarang keputusan selain daripada itu lagi. Kemungkinan besar di Johor kita akan terus menggunakan model di Melaka.
Walaupun demikian keputusan muktamad masih lagi diserahkan kepada pucuk pimpinan. Setakat ini hanya dalam laporan akhbar kenyataan pimpinan Pas adakan perbincangan dengan UMNO.
Secara realitinya belum lagi berlaku, sama ada di peringkat negeri atau pusat sehingga saat ini.
Oleh kerana belum ada lagi berlaku perkara itu, maka pada saat dan ketika ini saya sebagai Setiausaha Agung UMNO melihat model PRN Melaka akan diteruskan di PRN Johor.
- Terlalu banyak kebocoran maklumat yang dibincangkan hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), contohnya isu ‘posterboy’. Bagaimana UMNO mengatasi kebocoran maklumat dan apakah tindakan yang akan diambil?
Sudah berlaku sekali dua sebelum juga dan kita telah mengingatkan perkara itu. Apa yang dibincangkan itu biarlah dalam perbincangan kami dan saya tidak mahu mengulas.
Setiap kali ada kenyataan media dikeluarkan, anggaplah itu kenyataan media yang dikeluarkan, hal-hal selain itu adalah hal dalaman parti dan tidak perlu dikongsi pada orang luar. Itu kaedah UMNO sejak dulu.
Perbincangan dalam mesyuarat mengambil masa 2 jam, siaran akhbar kalau dibaca hanya dua minit.
Satu jam 58 minit lagi tidak ditulis. Dalam semua sidang media oleh mana-mana parti begitu juga.
Oleh itu apa yang kami nyatakan di luar, itulah yang kenyataan kami. Selain dari itu adalah rahsia parti, kalau ada orang dapat maklumat, maklumat itu tidak sahih.
- Bilakah pemilihan UMNO?
Pemilihan UMNO ditetapkan ROS sebelum 29 Disember 2022, jadi kita ada 11 bulan untuk melaksanakannya.
Oleh kerana ada masa lagi, kita selesaikan perkara yang di hadapan dahulu. Tiada perbincangan setakat ini untuk adakan pemilihan. Bila tiba waktunya kita akan maklumkan.
- UMNO memperjuangkan pengeluaran KWSP, adakah UMNO masih konsisten untuk perjuangan ini?
Perjuangan kami sebahagiannya telah berjaya. Akibat daripada permohonan dan keputusan mesyuarat yang kita laporkan dan kemudian kita bahaskan di Dewan Rakyat, perjuangan kami sebahagiannya telah berjaya dan sebelum ini dah diluluskan pun, untuk fasa pertama ketika PKP Januari hingga Ogos.
Apa yang tidak dicapai adalah permohonan terakhir pengeluaran i-Citra berjumlah RM10,000. Walaupun yang terbaru ini belum berjaya, namun saya anggap perjuangan UMNO berjaya.
Cuma baru-baru ini saya ada sebut di Dewan Rakyat bahawa dalam Akta KWSP membenarkan pencarum untuk membuat pengeluaran bagi kelestarian hidup dan membenarkan untuk kelangsungan hidup. Jadi akta itu memberi harapan kepada rakyat. Memanglah bantuan banjir banyak, tetapi yang mohon untuk pengeluaran KWSP ini bukan sahaja mereka yang terjejas banjir sahaja, ada yang terkesan kerana Covid-19 juga.
Saya harap apa yang kerajaan perlu lakukan adalah antaranya menyelesaikan mereka yang mempunyai simpanan KWSP RM10,000 ke bawah, bagaimana cara untuk meningkatkan pendapatan mereka supaya KWSP mereka apabila pencen nanti ada puluhan ribu. Kita mahukan rakyat berpendapatan tinggi, negara maju.
Apabila rakyat pendapatan tinggi makan caruman KWSP mereka juga tinggi, jadi usaha kerajaan memastikan rakyat berpendapatan tinggi untuk KWSP itu adalah perkara utama.
Pada mereka yang memiliki simpanan KWSP mencecah ratusan ribu, adalah kaedah tertentu untuk mereka jika benar-benar terkesan untuk mereka diberikan peluang supaya kerajaan bercerita antara fakta, adakah kerana terpaksa mencairkan pelaburan, adakah kerana terpaksa menjual saham BSKL yang akan mengganggu, kalau ada cerita begitu, adakah kerajaan terpaksa jual bangunan dan aset mana-mana, mungkin terubat sedikit mereka yang terkesan.
- Selain pemberian bantuan dalam bentuk tunai, adakah cara lain untuk membantu rakyat?
Saya mengharapkan kerajaan memberi bantuan keusahawanan secara percuma kepada kumpulan yang mahu menyertainya supaya mereka sama ada melakukan pertukaran kerjaya daripada makan gaji kepada jadi usahawan.
Pada saya Institut Keusahawanan Negara (Insken) memainkan peranan yang penting supaya latihan keusahawanan ini diperbanyakkan di semua peringkat. Jadi mereka boleh memperbaiki peluang perniagaan sedia ada dan bertukar kerjaya apabila dibuang kerja menjadi usahawan supaya kehidupan mereka boleh diteruskan.
Ia sangat penting, peluang keusahawanan ada pelbagai cabang, termasuk e-dagang dengan segala produk menarik selain makanan.
Jika usaha keusahawanan itu dilaksanakan, latihan keusahawanan diberi secara percuma kepada rakyat yang memerlukan dengan pelbagai peluang, latihan dari pakar keusahawanan, penceramah yang boleh memberikan ilmu dalam masa singkat misalnya, sehingga rakyat boleh menambah nilai kehidupan mereka, saya kira itu akan memberikan sedikit sebanyak kehidupan rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca