KETIKA ketegangan memuncak antara Ukraine dan Rusia sehingga dikhabarkan akan mencetuskan perang, Korea Utara yang berfahaman komunis pula memulakan tahun 2022 dengan satu siri ujian senjata paling intensif. Ujian itu melibatkan peluru... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA ketegangan memuncak antara Ukraine dan Rusia sehingga dikhabarkan akan mencetuskan perang, Korea Utara yang berfahaman komunis pula memulakan tahun 2022 dengan satu siri ujian senjata paling intensif.

Ujian itu melibatkan peluru hipersonik kepada peluru berpandu jarak jauh.

Selepas sedekad berkuasa, pemimpin negara itu, Kim Jong-un dilanda dengan pelbagai masalah termasuk kemelesetan ekonomi dan terbaharu Covid-19 sehingga mencetuskan kekurangan bekalan makanan, isu diplomasi dengan Amerika Syarikat (AS) terhenti dan sekatan ke atas negara tersebut sehingga meninggalkan kesan yang teruk.

Kim Jong-Un

Setakat ini, Pyongyang telah melakukan enam ujian senjata termasuk ujian peluru berpandu hipersonik.

Pada Jumaat lalu, media kerajaan Korea Utara menyatakan negara berkenaan berjaya melancarkan peluru berpandu jarak jauh dan peluru berpandu balistik jarak dekat baru-baru ini dan sekali gus dianggap memecahkan rekod pelancaran senjata di negara itu.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Selasa lalu, ujian tersebut melibatkan peluru berpandu jarak jauh yang bergerak di ruang udara Laut Timur yang juga dikenali sebagai Laut Jepun dan mengenai sasarannya sejauh 1,800 kilometer (km).

Pada Khamis lalu, Pyongyang turut melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat dan mengenai sasarannya sekali gus membuktikan bahawa kuasa letupan kepala peledak konvensional itu mematuhi keperluan reka bentuknya.

Difahamkan, Korea Utara tidak pernah menguji peluru berpandu balistik antara benua atau nuklear sejak tahun 2017.

Ia juga menangguhkan pelancaran ketika Jong-un memulakan diplomasi peringkat tinggi melalui tiga pertemuan dengan Presiden AS ketika itu, Donald Trump dan pemimpin tertinggi lain.

Namun, baru-baru ini, rejim itu menyatakan ia akan memeriksa untuk memulakan semula semua aktiviti yang telah digantung buat sementara waktu sebagai tindak balas kepada apa yang dipanggil 'provokasi' sekatan baharu AS yang dikenakan selepas ujian senjata dilakukan pada awal tahun ini.

Kali terakhir Korea Utara menguji banyak senjata jenis itu dalam tempoh sebulan adalah pada tahun 2019 iaitu selepas rundingan berprofil tinggi antara Jong-un dan Trump yang menemui kegagalan.

SEKATAN PBB

Pada 12 Januari lalu, AS mengenakan sekatan ke atas lima warga Korea Utara yang dikaitkan dengan program peluru berpandu balistik negara itu sehari selepas Pyongyang melaksanakan apa yang dikatakan sebagai pelancaran peluru berpandu hipersonik.

Berikutan laporan mengenai harga makanan yang melambung tinggi dan kebuluran yang semakin teruk, Korea Utara yang terjejas dari segi ekonomi pada awal bulan ini memulakan semula perdagangan rentas sempadan dengan negara jirannya, China.

Pyongyang turut mendapat bantuan dari China dan Rusia pada 20 Januari lalu bagi menyekat cadangan AS yang mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan sekatan ke atas lima warga Korea Utara sebagai tindak balas kepada pelancaran peluru berpandu baru-baru ini.

Sekatan itu dicadangkan setelah Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC), Jabatan Perbendaharaan AS melaksanakan terlebih dahulu sekatan ke atas lima individu daripada Korea Utara yang bertanggungjawab mendapatkan barangan untuk senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan program berkaitan peluru berpandu balistik.

Pyongyang akhirnya terselamat daripada dikenakan sekatan oleh PBB tetapi tidak AS yang masih terus melaksanakan sekatan ke atas negara berkenaan.

Kekuatan ketenteraan yang dimiliki Korea Utara sering dipamerkan kepada penduduk negara itu. - AFP

Dalam pada itu, ujian peluru berpandu dan hipersonik itu dilakukan ketika negara berkenaan bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun ke-80 kelahiran bapa Jong-un, mendiang Kim Jong-Il pada Februari ini serta ulang tahun ke-110 pengasas negara berkenaan, Kim Il-Sung pada April depan.

Ujian-ujian peluru berpandu dan hipersonik itu diadakan ketika Beijing bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk mulai awal Februari ini dan sebelum Korea Selatan mengadakan pilihan raya Presiden pada 9 Mac depan.

"Setakat mana Korea Utara mempunyai peluru berpandu untuk menguji bagi meningkatkan keupayaan ketenteraan dan menghantar isyarat sebelum Pilihan Raya Presiden Korea Selatan pada 9 Mac, mereka mungkin perlu berbuat demikian sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Beijing pada 4 Februari,” ulas seorang pakar politik antarabangsa, Profesor Leif-Eric Easley di Unversity Ewha, Seoul kepada AFP baru-baru ini.

Namun, seorang rakyat Korea Utara yang kini menjadi pembelot dan penyelidik, Dr Ahn Chan-il menjelaskan bahawa pembangunan peluru berpandu dan senjata mungkin satu-satunya perkara yang Jong-Un boleh tunjukkan dan yakin sebagai pencapaiannya.

"Jong-Un tidak mempunyai banyak untuk ditawarkan kepada rakyat Korea Utara sekarang," katanya kepada AFP.

Walaupun sekatan dikenakan oleh AS ke atas Korea Utara, Washington di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden telah berulang kali menekankan bahawa ia bersedia untuk memulakan semula perbincangan dengan Pyongyang.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price berkata, Washington tidak mempunyai niat memulakan usaha diplomasi dalam isu mengenai Korea Utara walaupun ujian itu masih mencetuskan kebimbangan AS. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca