SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka menentukan titik penghujung kepada gabungan Muafakat Nasional (MN). Jangkaan itu bersandarkan kepada keputusan UMNO dan Pas yang tidak bergabung pada PRN Melaka dan Johor. Justeru melihat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka menentukan titik penghujung kepada gabungan Muafakat Nasional (MN).

Jangkaan itu bersandarkan kepada keputusan UMNO dan Pas yang tidak bergabung pada PRN Melaka dan Johor.

Justeru melihat akan perkembangan itu, pandangan sesetengah pihak bahawa hayat MN akan berakhir mungkin akan menjadi kenyataan selepas usaha untuk memperkukuhkan kerjasama itu dilihat tidak menjadi realiti.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, sehingga hari ini, MN seolah-olah hanya menunggu masa untuk berakhir secara rasmi.

"Ini kerana kita lihat akhir-akhir ini banyak kenyataan yang keluar, ejekan, ancaman sesama mereka yang saya rasakan tidak sihat untuk memperkukuhkan MN.

"Walaupun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan untuk memperkasakan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN), ia tidak dapat diterima oleh UMNO.

"Bagi mereka (UMNO), MN ialah MN tiada PN,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, Pas dan UMNO seolah-olah tidak boleh lagi ke meja rundingan atau bermusyawarah untuk memperkukuhkan MN.

"Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun berkata tidak boleh bertepuk sebelah tangan.

"Jadi PRN Johor kali ini kita akan melihat pertembungan yang dahsyat yang mungkin akan membawa kepada kenyataan rasmi bahawa MN sudah tiada lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sindiran, ejekan dan kecaman yang dikeluarkan oleh pemimpin kedua-dua parti tersebut tidak patut diteruskan.

"Apabila wujud sindiran, ancaman dan ejekan bagaimana kita nak selamatkan MN kerana MN sepatutnya menjadi kerjasama politik yang dapat memperkukuhkan kedudukan ummah.

"Tetapi di Johor akan jadi penghujung bagi kerjasama dalam Muafakat Nasional,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca