SEJARAH pilihan raya di Malaysia menunjukkan satu perkara yang amat jelas. Tidak ada cara lain untuk menumpaskan lawan melainkan dengan bergabung kekuatan. Barisan Nasional (BN) tidak dapat ditumpas sejak merdeka melainkan pada PRU 2018... Klik di sini untuk terus membaca

SEJARAH pilihan raya di Malaysia menunjukkan satu perkara yang amat jelas.

Tidak ada cara lain untuk menumpaskan lawan melainkan dengan bergabung kekuatan.

Barisan Nasional (BN) tidak dapat ditumpas sejak merdeka melainkan pada PRU 2018 apabila parti-parti pembangkang buat pertama kalinya bergabung tenaga dan bersatu di bawah satu logo/bendera menentang lawan mereka. Itulah hakikatnya.

Ia memberi harapan baharu kepada rakyat yang mereka ada pilihan untuk menyaksikan perubahan.

Malang sungguh, mandat yang diberikan ini tidak kekal lama. Sebaliknya kita semua menyaksikan perbalahan, tikam menikam dan lompat melompat akhirnya membawa kepada kejatuhan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah gabungan.

Orang ramai boleh membuat kesimpulan bahawa ini semua terjadi kerana gabungan yang membentuk PH adalah satu ikatan yang rapuh dan berpaksikan matlamat hanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja.

Situasi ini menjadi bertambah buruk apabila kerajaan yang baharu dibentuk itu pada sudut pandang dan kaca mata orang Melayu seolah-olah menjadi satu ancaman kepada masa depan dan kepentingan mereka.

Hakikat bahawa orang Melayu bersedia untuk mengembalikan undi kepada BN atau lebih tepat lagi UMNO walaupun parti itu dalam keadaan yang lemah dan ada vakum kepimpinan adalah bukti jelas mereka rasa lebih selamat berada di bawah BN dan UMNO daripada PH.

Ini adalah satu realiti yang menyedihkan kerana mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU14 dahulu tidak sampai separuh penggal pun lagi untuk parti yang menang membuktikan kemampuan.

Bagaimanapun, perubahan yang berlaku ke atas kerajaan pusat dan negeri bukanlah salah rakyat tetapi salah mereka yang dipilih oleh rakyat.

Undang-undang membenarkan mereka mengubah kedudukan kerajaan dan menjatuh serta menaikkan siapa yang mereka suka.

Maka akhirnya, inilah situasi yang berada di hadapan kita - satu situasi yang rapuh dan tidak menentu.

Sebab itulah, apabila mandat dikembalikan ke tangan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, hasilnya ialah kemenangan besar untuk BN dan UMNO.

Bagi Belalang, ini adalah manifestasi kekecewaan rakyat ke atas situasi tidak stabil yang mereka terpaksa hadapi dan lalui sepanjang tempoh kekacauan politik selepas PRU14.

Bukan kerana BN atau UMNO kuat sangat tetapi kerana rakyat dah meluat dan mereka pilih parti yang pada pandangan mereka akan kurang memberi masalah kepada mereka.

Sekarang situasi yang sama akan dilalui oleh orang Johor. Mereka akan membuat penentuan semula siapakah pada pandangan mereka tidak akan memberikan situasi kacau bilau sepertimana sebelum ini.

Sudah pastinya jika pengalaman di Melaka diambil kira, orang Johor juga akan memberi mandat kepada parti yang mampu memberikan kestabilan politik semula.

Menyedari akan hakikat ini jugalah dalam keadaan yang tenat ini, parti-parti pembangkang perlu kembali meyakinkan pengundi bahawa mereka masih lagi relevan.

Caranya adalah masuk ke gelanggang sebagai satu pasukan.

Di Melaka menunjukkan, pertandingan banyak penjuru hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja - iaitu pihak yang undi terasnya tidak tergugat.

Dalam konteks ini, pihak yang dimaksudkan itu ialah BN dan UMNO.

Namun dalam situasi di mana parti-parti dalam gabungan PH sendiri tidak dapat mencapai kata sepakat dalam penggunaan logo dalam PRN Johor ini, tetapi jika mereka boleh mencapai kata sepakat untuk mengelak daripada pertandingan banyak penjuru dengan parti-parti lain, setidak-tidaknya itu membuka ruang untuk bersaing dengan BN.

Belalang - Berdebar-debar menunggu saat dan hari perhitungan

Klik di sini untuk terus membaca