DULU, apabila dunia memberikan kita gelaran buruk, penarafan hambar atau kritikan negatif banyak rakyat jelata bangkit mempertahankan nama baik negara. Pada masa itu, pentadbiran kerajaan ekonomi negara kukuh. Walaupun kita sudah ada... Klik di sini untuk terus membaca

DULU, apabila dunia memberikan kita gelaran buruk, penarafan hambar atau kritikan negatif banyak rakyat jelata bangkit mempertahankan nama baik negara.

Pada masa itu, pentadbiran kerajaan ekonomi negara kukuh. Walaupun kita sudah ada masalah dengan rasuah tetapi tidaklah seburuk sekarang.

Hari ini, apabila perkara yang sama berlaku, tidak banyak lagi yang mempertahankan kerajaan dan negara malah menambahkan lagi cacian.

Kita boleh kata bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan skim cepat kaya 1MDB telah menjadikan Malaysia sinonim dengan rasuah.

Ini kerana skandal bilion ringgit itu melibatkan Amerika Syarikat dan beberapa buah negara maju yang lain.

Dalam bahasa mudah, Najib telah mengantarabangsakan amalan rasuah sehingga satu dunia hari ini percaya bahawa Malaysia adalah negara rasuah.

Terbaharu, Malaysia jatuh lima anak tangga lagi kepada 62 dalam kalangan 180 negara indeks persepsi rasuah Transparency International bagi tahun 2021. Pada tahun 2020, Malaysia menduduki tempat ke-57.

Penangkapan tiga orang yang disyaki terlibat dengan penyelewengan kontrak pembekalan kapal ronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, serta-merta kes ia mengingatkan seluruh dunia kepada skandal pembelian kapal selam Scorpene pada tahun 2002 yang melibatkan pembunuhan jurubahasa warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Kontrak Scorpene bernilai RM3.7 bilion itu ditandatangani ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan dengan pembantu kanannya, Abdul Razak Abdullah Baginda, sebagai ejen komisen.

Abdul Razak yang dibuang kes dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya, mendakwa kepada akhbar The Edge pada tahun 2016 yang dia menerima 30 juta Euro (kira-kira RM140.4 juta pada kadar tukaran semasa) kerana bertindak sebagai perunding. Bagaimanapun, penyiasatan antarabangsa mendakwa Abdul Razak dan isterinya memperoleh bayaran 114 juta Euro (RM532.38 juta).

SYAK WASANGKA

Walaupun orang ramai mengalu-alukan tindakan SPRM memerangi rasuah tetapi dalam benak mereka timbul syak wasangka kerana imej suruhanjaya itu sendiri telah menjadi bahan pertikaian akibat dakwaan terhadap orang nombor satunya, Tan Sri Azam Baki.

Sekali dicap negara rasuah adalah amat sukar untuk mengubah tanggapan orang ramai.

Indonesia misalnya, mengambil masa hampir 30 tahun untuk membuang label negara rasuah selepas kejatuhan Almarhum Presiden Suharto pada 1998 walaupun lebih 30 orang ahli politik, termasuk menteri, yang terlibat dengan rasuah telah dipenjarakan.

Betullah pendirian Persatuan Bekas Pegawai SPRM yang meminta semua pihak daripada parti politik kepada NGO dan agensi kerajaan serta swasta bangkit menentang rasuah.

Dalam rencana minggu lalu, saya telah ceritakan bagaimana lembaga pengarah dan pengurusan utama Khazanah Nasional Berhad memberi kenaikan gaji yang besar kepada diri mereka sendiri walaupun keuntungan jatuh merudum dan banyak harta syarikat dijual.

Saya juga telah ceritakan mengenai PNB yang terlibat dengan pemilikan saham Sapura Energy Berhad yang rugi akibat kemerosotan industri minyak dan gas serta anak syarikat utamanya, iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank) turut terbabit dengan syarikat yang sama dengan memberi hutang yang dianggarkan berjumlah berbilion ringgit.

Kini, kita dengar pula yang kerajaan senyap-senyap memberi pinjaman mudah sebanyak RM500 juta kepada AirAsia melalui Danajamin dan pada masa sama mengeluarkan lesen operasi penerbangan kepada syarikat baru.

Persoalannya, wajarkah kerajaan menyelamatkan Air Asia tetapi terus membiarkan Malaysia Airlines terumbang ambing sedangkan kita tahu para pengasas Air Asia ini amat bangga dan sombong kononnya syarikat mereka berjaya, inovatif dan berani mengambil risiko.

Kita juga dengar berita tiga buah bank GLC iaitu Maybank, CIMB dan RHB terdedah kepada risiko hutang lapuk yang besar berikutan kemuflisan anak syarikat Kumpulan Genting iaitu Genting Hong Kong Limited.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca