TINDAKAN Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada minggu lalu sudah boleh dijangka berikutan pelbagai tekanan dan prospek untuk Barisan Nasional (BN) menang selesa. Hasni ketika memohon... Klik di sini untuk terus membaca

TINDAKAN Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada minggu lalu sudah boleh dijangka berikutan pelbagai tekanan dan prospek untuk Barisan Nasional (BN) menang selesa.

Hasni ketika memohon pembubaran menekankan kepentingan membentuk kerajaan yang stabil berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Datuk Osman Sapian pada Disember lalu.

Kematian Osman menyebabkan kelebihan pihak kerajaan hanya dengan satu kerusi. Pada masa pembubaran kerajaan negeri mempunyai 28 kerusi dan pembangkang 27 kerusi.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan tidak akan menjatuhkan kerajaan, namun Hasni melihat ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada kadar segera bagi mengukuhkan semula kedudukan BN sebagai sebuah parti pemerintah.

Menurut Hasni, kerajaan pimpinan beliau tidak dapat berfungsi dengan baik atas ihsan pembangkang atau PH.

Namun tekanan paling utama untuk mengadakan PRN bukanlah kerana kelebihan satu kerusi sahaja.

Faktor menjadikan kerajaan negeri tidak stabil adalah perbalahan antara dua parti utama dalam kerajaan negeri iaitu UMNO dan Bersatu.

UMNO mempunyai 14 kerusi dan Bersatu 11 kerusi membentuk sebahagian besar kerajaan negeri yang turut dianggotai oleh MIC (dua kerusi), dan Pas (satu kerusi).

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor yang selebihnya dalam blok pembangkang dengan DAP mempunyai 14 kerusi diikuti oleh PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Perbalahan antara UMNO dan Bersatu sudah tidak dapat dielakkan lagi. Kemenangan di Melaka memberi keyakinan kepada Hasni dan pucuk pimpinan UMNO untuk meraih kedudukan yang sama di Johor.

Secara kasar, kemenangan selesa BN di Melaka disumbangkan oleh tiga faktor iaitu, peratusan keluar mengundi yang rendah, jumlah pengundi UMNO yang besar dan kemahuan rakyat untuk sebuah kerajaan yang stabil.

Tiga faktor ini telah mendominasi pemikiran para strategis UMNO dalam menggesa pilihan raya umum diadakan pada kadar segera.

PENGUNDI MALASA KELUAR

Jumlah keluar mengundi rendah adalah sesuatu yang mungkin berterusan dalam PRN Johor berikutan kebimbangan sebahagian orang mengenai jangkitan pandemik Covid-19.

Johor merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah kes aktif dan jumlah jangkitan harian Covid-19 yang agak tinggi.

Pada masa ini jumlah penggunaan katil hospital bagi pesakit Covid-19 di Johor mencecah 74 peratus. Nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 di Johor pula ialah 1.14. Belum pun kempen PRN bermula, kadar positif Covid-19 di Johor minggu ini naik 22 peratus.

Faktor ini akan memberi kesan psikologi kepada pengundi yang melihat pandemik ini sebagai satu ancaman serius.

Selain pandemik, peratusan keluar mengundi rendah juga dipengaruhi oleh kekecewaan.

Euforia demokrasi dalam kalangan pengundi atas pagar dan generasi muda telah hampir mati. Minat untuk turun mengundi sudah malap berikutan keadaan politik pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Cuma, antara kebimbangan dalam kalangan rakyat biasa seluruh negara, apakah kemenangan di Johor akan menjadi landasan untuk mendesak Ismail Sabri mempercepatkan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat, sekali gus merencatkan segala usaha pemulihan negara.

Walaupun dari perspektif Hasni pembubaran DUN Johor ini mahu mencari mandat yang lebih stabil, namun dalam hierarki kepimpinan UMNO pusat ini adalah percaturan untuk mempercepatkan PRU15.

Satu lagi kemenangan selesa BN akan mewujudkan gelombang akar umbi UMNO untuk ‘memaksa’ Ismail Sabri membubarkan Parlimen dengan segera.

Sebagai Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri mungkin tiada pilihan kecuali akur dengan kehendak parti.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca