BERITA penggantungan Lee Zii Jia oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kejohanan badminton antarabangsa selama dua tahun bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia tetapi juga mendapat reaksi antarabangsa.
Sebenarnya bukan Zii Jia sahaja yang menghadapi masalah sebegini, ramai lagi atlet dan ahli sukan negara yang menghadapi pelbagai polemik sama ada dengan persatuan sukan ataupun masalah peribadi.
Begitu juga halnya seperti yang kita tahu isu mengenai gaji pemain yang tertunggak sehingga tempoh yang lama menyebabkan pemain sendiri menghadapi pelbagai masalah peribadi.
Hal ini juga masih belum dapat diselesaikan. Kita amat berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa perlu dibawa ke mahkamah.
Perkara-perkara ini menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran sukan negara tanpa mengira apa pun jenis sukan. Pertikaian antara pemain, jurulatih dan pengurus juga sering dilaporkan di dada-dada akhbar.
Kalau dahulu kita gah dengan sukan badminton, skuasy, hoki dan takraw tetapi kini terdapat banyak negara luar yang telah menyaingi Malaysia.
Pertikaian dalam intra-sukan ini perlu ditamatkan pada kadar segera dengan cara baik dan rundingan.
Kita sangat bersyukur apabila mengetahui kemelut dihadapi oleh Lee Zii Jia dapat diselesaikan dengan cara baik.
Tahniah diucapkan kepada BAM dan Lee Zii Jia setelah Menteri Belia dan Sukan campur tangan dalam isu ini.
Di sinilah perlunya Kementerian Belia dan Sukan mewujudkan satu pusat perantaraan dalam isu-isu sukan.
Pusat perantaraan atau mediasi ini boleh berfungsi sebagai orang tengah yang terlatih dan profesional dalam menyelesaikan sebarang pertikaian yang melibatkan sukan.
Perantaraan atau mediasi sudah lama wujud di mahkamah syariah dan mahkamah sivil, malah banyak agensi kerajaan juga sudah mula mengadakan perantaraan atau mediasi ini.
RAPATKAN JURANG
Jabatan kerajaan seperti Jabatan Perpaduan Negara juga sudah mula melatih perantara atau mediator dalam menyelesaikan pertikaian masyarakat yang dinamakan sebagai mediator komuniti.
Hal ini berjaya merapatkan jurang masyarakat serta menyelesaikan pertikaian masyarakat.
Begitu juga jika berlaku pertikaian mengenai sukan, Kementerian Belia dan Sukan boleh melatih perantara atau mediator sukan bagi menyelesaikan pertikaian.
Dengan cara ini, saman-menyaman di mahkamah dapat dielakkan dan penyelesaian secara menang-menang mungkin boleh dicapai antara pihak yang terlibat.
Sukan bukanlah suatu bidang yang boleh kita pinggirkan. Sukan boleh menyatukan rakyat. Dalam sukan, rakyat buta ras, gender dan umur.
Contoh yang jelas dalam isu Zii Jia, rakyat tanpa mengira kaum menzahir sokongan mereka kepada beliau, mengkritik BAM yang membuat keputusan yang tidak sesuai.
Oleh yang demikian sangatlah wajar Pusat Mediasi Sukan diwujudkan bagi memberi ruang dan peluang pada mana-mana pihak merujuk ke pusat tersebut sekiranya terdapat pertikaian berkaitan sukan.
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah melatih lebih 300 orang perantara atau mediator bertauliah setakat ini sedia memberi bantuan kepakaran di dalam mewujudkan pusat mediasi sukan. Ia bukan sahaja akan memanfaatkan kualiti sukan negara tetapi menjadi tanda aras baru kepada kemajuan sukan negara.
Sudah tiba masanya Kementerian Belia dan Sukan mengorak langkah berinovasi dalam menjaga kebajikan ahli sukan dan mereka yang terlibat dengan aktiviti kesukanan ini.
Malah ahli sukan, jurulatih, pengurus dan agensi sukan akan berasa lebih terjamin kerana ada ruang perbincangan secara profesional untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dalam bidang sukan. Mereka boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembangunan sukan demi untuk negara. Majulah sukan untuk negara.
Pertikaian dalam intra-sukan ini perlu ditamatkan segera dengan cara baik dan rundingan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca