KRISIS Rusia-Ukraine yang semakin genting ada kemungkinan Rusia akan mengambil tindakan ketenteraan menyerang Ukraine. Pada masa sama, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah bersedia untuk menghadapi... Klik di sini untuk terus membaca

KRISIS Rusia-Ukraine yang semakin genting ada kemungkinan Rusia akan mengambil tindakan ketenteraan menyerang Ukraine.

Pada masa sama, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berperang dengan Rusia.

Seramai 8,500 tentera AS dalam keadaan berjaga-jaga apabila Rusia menempatkan seramai 100,000 tentera di sepanjang sempadan Rusia-Ukraine.

Bagi mengimbangi tentera Rusia, pihak NATO bersedia untuk menggerakkan 40,000 tentera daripada pelbagai negara.

Perlu ditekankan bahawa ini merupakan konflik dan cabaran terhadap keselamatan Eropah paling serius yang melibatkan dua kuasa besar iaitu AS dan Rusia sejak tamatnya Perang Dingin (1945-1991).

AS dan Rusia merupakan dua musuh ketat semasa Perang Dingin. Malah, ada penganalisis berpendapat Perang Dingin Kedua antara AS-Rusia telah bermula.

Jika peperangan antara dua kuasa besar ini berlaku, Eropah akan menjadi medan pertempuran yang terbesar semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1945. Apakah punca kepada konflik antara Rusia dengan Ukraine? Mengapa konflik ini menjadi serius?

REVOLUSI

Hubungan Rusia-Ukraine telah merosot semenjak pengilhakan Crimea oleh Rusia pada 2014. Ukraine memperoleh kemerdekaan pada 1991 apabila Kesatuan Soviet (USSR) telah terbubar.

Ukraine terletak di Eropah Timur dan bersempadan dengan Poland, Belarus, Romania dan Hungary. Majoriti penduduk berbangsa Ukraine diikuti Rusia.

Kebanyakan penduduk yang berbangsa Rusia menduduki bahagian timur Ukraine seperti semenanjung Crimea terletak di kawasan Laut Hitam.

Crimea telah menjadi sebahagian daripada Ukraine semenjak 1991.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk di Crimea terdiri daripada penduduk bangsa Rusia yang lebih mahu dikenali penduduk Rusia berbanding Ukraine.

Justeru itu, telah timbul gerakan pemisah di Crimea yang ingin memisahkan Crimea daripada Ukraine dan menjadi sebahagian daripada Persekutuan Rusia.

Pergolakan politik tercetus di Ukraine apabila Presiden Viktor Yanukovych telah dijatuhkan oleh revolusi pada Februari 2014.

Revolusi terjadi akibat bantahan penduduk Ukraine yang mendakwa berlakunya penyelewengan dalam pentadbiran Yanukovych.

Pada masa sama, gerakan pemisah pro-Rusia di Crimea telah mengambil peluang ketidaktentuan politik di Ukraine untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di Crimea.

Oleh demikian, berlaku rusuhan antara penduduk pro-Rusia dan pro-Ukraine di Crimea sehingga kerajaan Rusia di bawah pentadbiran Presiden Vladimir Putin mengambil keputusan untuk mengilhakan Crimea daripada Ukraine.

Selepas pengilhakan Crimea kerajaan Rusia telah menaja penubuhan Republik Crimea yang pro-Rusia manakala bandar Sevastapol di bawah Rusia.

Tindakan Rusia telah mendapat tentangan daripada masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU). Masyarakat antarabangsa enggan mengiktiraf Republik Crimea dan Sevastapol. Mereka masih dianggap sebahagian daripada Ukraine.

Majlis Keselamatan PBB telah mengeluarkan resolusi mengutuk tindakan Rusia mengilhakan Crimea namun resolusi tersebut telah diveto oleh Rusia.

Sekatan ekonomi telah dikenakan terhadap Rusia dan Crimea oleh AS, Kanada, Jepun dan negara-negara anggota EU.

Permusuhan Rusia-Ukraine berterusan semenjak pengilhakan Crimea. Justeru, Ukraine telah memilih untuk mengadakan kerjasama keselamatan dan latihan ketenteraan bersama NATO demi mengimbangi pengaruh tentera Rusia.

Anggota NATO seperti Britain dan AS telah membekalkan tentera Ukraine dengan pelbagai kelengkapan ketenteraan yang sistem pertahanan peluru berpandu, pelancar roket.

Ukraine secara rasmi telah memohon menjadi anggota NATO. Rusia menganggap dirinya sudah dikepung oleh AS dan NATO.

Rusia sememangnya tidak senang dengan tindakan pembesaran NATO dengan penyertaan negara-negara Eropah Timur seperti Poland, Hungary dan Czech Republic yang suatu ketika dahulu merupakan anggota pakatan WARSAW yang pro-USSR.

Konflik Rusia-Ukraine-AS tidak terhad di Eropah sahaja kerana China telah mengeluarkan kenyataan tetap menyokong Rusia dan turut membantah tindakan pembesaran NATO.

Dunia masih menghadapi rintangan dan dugaan akibat pandemik Covid-19.

Kuasa-kuasa besar seharusnya bekerjasama dalam usaha penyelidikan mengatasi varian baru seperti Omicron dan pemulihan ekonomi daripada berperang semasa sendiri.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca