PADA 30 Julai 2020, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.
Walaupun Barisan Nasional (BN) menyatakan memiliki angka majoriti; DUN dibubar atas nasihat Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.
Nombor atau angka menjadi punca pembubaran, benarkah begitu?
Selepas lima bulan, pada 4 Disember 2020, usul undi percaya dibawa ke atas kepimpinan Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau gagal mendapat majoriti. DUN tidak dibubar tetapi sokongan Bersatu, Pas dan UMNO membolehkan Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak baharu. Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak diadakan.
Pada 4 Oktober 2021, tindakan empat ADUN blok kerajaan telah menarik sokongan membawa kepada Ketua Menteri Melaka kehilangan sokongan.
Walaupun, Pakatan Harapan (PH) menyatakan ada nombornya, DUN kekal dibubar. Adakah masalah dalaman menjadi punca PRN diadakan?
Senario di atas berbeza dengan pembubaran DUN Sarawak yang penggalnya tamat pada 6 Jun 2020 tetapi ditangguhkan selepas perisytiharan Proklamasi Darurat. Akhirnya, 3 November 2021 DUN bubar. Ini adalah bersesuaian dengan kematangan tempoh masa penggal DUN Sarawak.
Terbaharu, 22 Januari 2022 melihat DUN Johor dibubar. Ia dibuat kerana dikatakan kerajaan Johor bergantung kepada pembangkang.
Barisan pembangkang turut menyatakan ‘komitmen kestabilan’ yang ditolak oleh Menteri Besar.
Majoriti satu kerusi juga dikatakan punca kepada keputusan pembubaran. Adakah PRN ini juga berpunca daripada pergolakan kerajaan campuran?
Dalam amalan politik kepartian, yang kerap diutamakan adalah timing atau masa untuk membuat keputusan sama ada ia bersifat popular atau di sebaliknya.
IMEJ
Tawarikh UMNO bermula di Johor. Apakah ‘masa’ yang dipilih adalah untuk memulihkan semula imej UMNO negeri?
Begitu juga dengan hubungan dalaman pemerintahan kerajaan negeri yang merangkumi UMNO (14); Bersatu (11); MIC (2) dan Pas (1). Hubungan UMNO dan Bersatu seolah-olah seperti telur di hujung tanduk.
Muafakat Nasional gagal di Melaka. Pas bertembung dengan BN di 8 kerusi manakala Bersatu dan BN pula di 15 kerusi.
Ia akan berulang apabila BN sudah umumkan mahu bergerak bersendirian.
Oleh kerana Pas sudah menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional (PN), maka dilihat condong ke arah PN berbanding BN. Hubungan UMNO, Bersatu dan Pas sekali lagi menjadi tumpuan.
Apakah PRN ini bertujuan untuk menghentikan gerakan figura tertentu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15?
Bagi pembangkang, apabila mahu menggunakan logo berbeza akan menimbulkan kegelisahan pengundi. Apakah ini tandanya masih tidak sepakat?
Begitu juga dengan penamaan calon Menteri Besar PH apatah lagi PN juga akan ada calonnya.
Bagi BN jelas, Datuk Hasni Mohammad adalah calon terbaiknya. Bersediakah pembangkang?
Bila wujud pertembungan tiga penjuru atau lebih, kelebihannya adalah pada BN. Hatta, tidak mengejutkan jika gelombang di Melaka akan berterusan di Johor.
Malahan, dua pertiga juga boleh dilakukan bergantung kepada strategi dan intervensi yang lebih tersusun daripada PRN Melaka.
Di Melaka, perpecahan undi dengan kehadiran PN menyebabkan aliran sokongan daripada PH kepada PN berlaku.
Faktanya, BN berjaya kekalkan blok safe deposit daripada tercicir.
Undi 18 barangkali belum menjadi kingmaker tetapi apakah keyakinan pada pengundi ‘setia pada parti’ menggerakkan PRN Johor.
Penyandang tidak mungkin mahu ke PRN jika tidak yakin menang.
Kemenangan BN di PRK Tanjong Piai menjadi pemangkin kepada penjajaran politik Mac 2020.
Adakah PRN Johor akan menjadi penentu kepada tarikh PRU15?
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca