DESAS-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah mula diperkatakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian, sejak 21 Disember lalu.
Minggu lalu, pergolakan politik Johor akhirnya menemui titik penyelesaian apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Dengan keputusan itu, Johor menjadi negeri keempat yang menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari depan bagi menentukan tarikh hari penamaan awal, mengundi awal dan mengundi biasa.
Menurut Hasni, PRN Johor perlu diadakan berikutan kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang.
Beliau beranggapan kedudukan kerajaan negeri yang rapuh itu tidak harus berlaku.
Sebelum DUN Johor dibubarkan, BN dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 28 kerusi dengan pecahan, BN (16), Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) (11) dan Pas (1), manakala Pakatan Harapan(PH) pula memiliki 27 kerusi, iaitu DAP (14), PKR (7) dan Amanah (6).
Mengenai isu pembubaran ini, Lidah Pengarang Sin Chew Daily berpendapat, UMNO Johor tentunya mempunyai tujuan tertentu untuk mengadakan PRN sedangkan beberapa pemimpin PH ada menyatakan tiada keperluan membubarkan DUN berikutan rakyat baharu kembali pulih daripada kemelut berdepan bencana banjir dan pandemik Covid-19. Malahan ada juga yang mencadangkan PRN boleh dielakkan bagi menjimatkan kos.
"Oleh yang demikian, walaupun hanya mempunyai kelebihan majoriti satu kerusi, kerajaan negeri Johor yang dikuasai BN dan PN ini masih dapat dipertahankan dan pembangkang tidak mempunyai perancangan untuk menumbangkannya,” tulis akhbar tersebut.
SUNTIKAN SEMANGAT
Menurut Sin Chew Daily lagi, melihat situasi politik sejak kebelakangan ini, UMNO dipercayai memiliki kelebihan untuk meraih kemenangan dalam PRN Johor.
"UMNO boleh mengambil kesempatan yang ada ketika pihak pembangkang belum bangkit selepas mengalami kekalahan berturut-turut pada PRN Melaka dan Sarawak.
"Dalam kedua-dua PRN itu, PKR antara parti yang paling teruk terkesan kerana gagal meraih sebarang kerusi.
"Sebaliknya, UMNO terima satu suntikan semangat yang baharu apabila memenangi 18 kerusi di DUN Melaka. Inilah peluang yang ingin direbut oleh UMNO Johor untuk mencapai kemenangan sama seperti UMNO Melaka,” ulas akhbar Cina itu lagi.
Sebaliknya bagi PH, kata akhbar tersebut, PRN Johor adalah satu pertandingan yang amat getir, bukan sahaja sukar untuk merampas tampuk pemerintahan negeri, malahan peluang untuk mengekalkan jumlah kerusi yang sedia ada pun nampaknya tidak begitu cerah.
Selain itu, rancangan untuk melumpuhkan kekuatan Bersatu di Johor melalui PRN Johor pun disusun dengan baik oleh UMNO.
"Ada penganalisis merumuskan PRN Johor diadakan pada kadar segera kerana pemimpin-pemimpin UMNO yang ada dalam kerajaan dikatakan mahu Pilihan Raya Umum dipercepatkan. Faktor tersebut dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan krisis dalaman yang berlaku dalam UMNO sendiri,” ujar Sin Chew Daily.
Dengan mengadakan tiga kali PRN dalam tempoh kurang daripada setahun bagaimanapun dianggap satu keputusan yang kurang sesuai.
"Keputusan mengadakan pilihan raya lebih awal tentunya mempunyai percaturan tersendiri oleh kerajaan negeri Johor. Tetapi mereka perlu memikirkan banyak wang, masa dan tenaga dibazirkan apabila mengadakan PRN secara berasingan.
"Apa yang lebih penting, penularan Covid-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya. Sebarang aktiviti termasuk aktiviti politik perlu dielakkan. Apapun, semua pihak seharusnya bekerjasama untuk mengelakkan kluster-kluster baharu selepas berakhirnya PRN Johor ini,” tambah akhbar tersebut.
*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca