SHAH ALAM - Hanya kesanggupan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti pembangkang memasuki 'zon bebas ego' bagi mewujudkan kerjasama politik sesama mereka yang mampu menghalang UMNO dan Barisan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hanya kesanggupan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti pembangkang memasuki 'zon bebas ego' bagi mewujudkan kerjasama politik sesama mereka yang mampu menghalang UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti dua pertiga.

Bekas Pengerusi Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, terdapat cakap-cakap luar mengatakan Bersatu bakal mengemukakan idea bekerjasama dengan parti-parti dalam pembangkang termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) kecuali DAP.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan cadangan Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan Pusat sekiranya UMNO dan BN meneruskan kegilaan berpilihan raya bakal menjadi realiti susulan senario sekarang adalah seumpama 'nasi sudah jadi bubur'.

"Walaupun bukan lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, saya tidak nafi dua cadangan itu telah pun diuar-uarkan dalam kalangan kami dengan perkara itu sudah menjadi rahsia terbuka.

"Secara peribadi, saya percaya koalisi kerajaan campuran PN dan BN tidak lagi akan kembali bersama selepas ini memandangkan ia adalah seperti 'marriage of convenience'.

"Jadi kita boleh lihat pakatan kerjasama BN dan PN di peringkat Putrajaya semakin longgar, bermula PRN Melaka, diikuti Johor dan kemungkinan Perak dan Kedah selepas ini. UMNO dan BN juga pastinya mahu momentum kemenangan mereka diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dirancang diadakan pada September atau Oktober tahun ini," katanya kepada Sinar Premium.

Selain menggunakan strategi dua lambang pilihan raya berbeza, PKR dan PH turut berharap satu kerjasama khemah besar pembangkang dapat dicapai pada PRN Johor.

Mengulas lanjut, Rais Hussin turut berpandangan keadaan blok pembangkang yang tidak kuat dan gagal berkoordinasi dengan baik juga menjadi faktor UMNO dan BN amat berkeyakinan untuk menang PRN Johor dengan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hal itu diburukkan lagi dengan keputusan tidak jelas Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan dua lambang pilihan raya, seolah-olah mereka tidak lagi yakin dengan strategi diatur secara bersama.

"Namun kalau PN akhirnya mengambil keputusan untuk bergabung dengan semua parti pembangkang termasuk Amanah dan PKR, membentuk Gabungan Bangsa Johor, sanggup buang ego masing-masing untuk menggunakan satu lambang, satu misi dan satu manifesto pilihan raya.

"Saya tidak menolak kemungkinan mereka ada peluang besar untuk mencabar UMNO dan BN.

"Cuma, perkara itu hanya boleh menjadi realiti apabila parti-parti ini sanggup memasuki zon bebas ego serta bersedia melaksanakan pengorbanan besar demi menjayakan kerjasama politik pembangkang raya disebutkan tadi," katanya.

PERKASA PN

Bagaimanapun, pandangan Rais Hussin disangkal Ahli MPT Bersatu, Senator Datuk Razali Idris yang menegaskan dua idea signifikan untuk bekerjasama dengan pembangkang dan menarik sokongan terhadap kerajaan Pusat tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat parti.

Sebaliknya, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu itu menegaskan mesyuarat MPT yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah memfokuskan usaha memperkasakan Bersatu dan PN dalam menghadapi PRN Johor.

"Paling penting, kita tidak bersetuju dengan pelaksanaan PRN Johor kerana UMNO Johor selaku salah sebuah parti komponen membentuk kerajaan negeri tidak pernah bincang dengan kami.

"Bagaimanapun, kita tetap akan bersiap-sedia dan yakin UMNO dan BN akan dihukum susulan sikap rakus mereka untuk mendapat kuasa pada saat rakyat Johor baru bangkit daripada krisis ekonomi dan kesihatan akibat Covid-19.

"Kali ini UMNO akan terjerat dengan strategi tamak haloba mereka sendiri," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca